Setelah Berhari-hari menempuh hutan dan paya, juga beberapa siri serangan binatang buas, akhirnya Choprikorn tiba di perkampungan orang yang dicari-carinya. Berbekalkan semangat yang jitu serta keazaman yang tinggi, beliau cekal menjayakan misinya bagi bertemu seorang guru jurus terulung nusantara.
Pernah semasa beliau menyusuri sungai Dedili, ilmu pertarungannya diuji oleh seekor buaya putih yang dikenali sebagai Sang Guntar oleh penduduk tempatan. Pertarungan yang berlanjutan selama setengah jam itu hampir-hampir meragut nyawanya. Sang Guntar yang bersaiz 80 kaki itu ternyata lawan yang dahsyat. Dengan bersenjatakan taringnya yang besar serta tajam, ia bersungguh-sungguh mencuba untuk mengoyakkan tubuh sang penceroboh. Matanya yang merah menyorot ganas ke arah lawan yang berkali ganda lebih kecil darinya.
Choprikorn yang semakin lemah tidak lagi mampu menyerap asakan demi asakan dari Sang Guntar. Beberapa kesan tusukan taring yang terhasil mula memberi impak kepadanya. Mujur di hujung sungai ada sebongkah batu besar yang mampu dicapai Choprikorn. Maka dengan pantas dia memautkan tangan untuk menaiki batuan besar itu demi menyelamatkan diri. Sang Guntar yang turut kepenatan terpaksa melepaskan habuannya itu. Seraya itu juga ia berlalu pergi.
Nafas Choprikorn terasa agak sesak. Dadanya turun naik dengan pantas dan bercelaru. Sambil bersandar ke sebatang pohon, Choprikorn merasakan ada sesuatu yang menghampirinya. Dari jauh ianya sekadar aura yang biasa-biasa sahaja. Semakin ia hampir, kekuatan aura itu kian terasa ketajamannya. Namun Choprikorn sedar tuan siempunya aura ini tidak berniat jahat. Auranya juga bersifat putih.
Saat itu dia hanya berserah akan takdirnya. dia juga sudah kehabisan tenaga. Luka-luka pada tubuh badannya sedikit sebanyak melemahkan kudratnya. Belum pun sempat aura itu menyapanya, dia sudahpun pengsan.
***************************
Jalan yang dilaluinya sekejap rata sekejap berbenggel-benggel. Pandangan matanya juga sekejap kabur dan terang. Dia masih belum sepenuhnya sedar dari pengsan. Yang dia pasti, ada beberapa orang yang sedang mengusungnya ke suatu kawasan kampung yang terpencil.
Deria baunya dengan pantas menangkap bau-bauan yang menyenangkan. bauan bercampur sitrus dan bungaan itu menyegarkan ronggan nafasnya. Seketika kemudian, dia pun tersedar. Persekitaran yang amat berbeda serta keselesaan yang dikecapinya saat itu begitu aman dan segar. Dia tidak pernah berasa setenang itu. Malah sewaktu di istana, kesibukannya menguruskan kepimpinan tentera yang digalasnya menjadikan dirinya alpa akan matlamat hidup. Teman seusianya masing-masing sudah berumahtangga. Malah ada yang sudah beranak pinak. Seketika kemudian, terasa ada air yang merecik ke mukanya.
"Bangun anak muda" bentak Pak Jentayu yang sibuk merenjis wajah pemuda di hadapannya. Sedekali terdengar dia terkumat kamit membaca mentera sambil ditanganya mengepal-ngepal dedaun herba. Sebelum herba tersebut ditepek ke atas luka-luka pemuda tersebut, dia meludah cairan merah yang pekat ke atas dedaun herba yang sudah lumat itu.
Selesai proses perubatan dan pemujaan, Pak Jentayu yang dilantik sebagai tok batin Kampung Jejalur Rimba pun memperasapkan pemuda iti dengan hirisan limau yang dibakar di atas bara. Beberapa saat kemudian, Choprikorn pun segar kembali seperti sediakala.
"Siapa nama kamu wahai anak muda?" soal lelaki tua itu kepadanya. Choprikorn yang tidak ingin identitinya terbongkar, lantas memetik nama yang pernah didengarinya dahulu.
"Sayalah yang digelar Aduka, tok." jawabnya menipu. Riak wajahnya jelas kelihatan bersalah. Pak Jentayu yang sedar akan pembohongannya sekadar meraut-raut janggut putihnya sambil tersenyum. Dia maklumkan akan perihal anak muda itu dan tahu akan asal usulnya. Seketika dia mengangguk-nganggukkan kepalanya.
"Kamu bakal menempuh ranjau yang perit dalam perjalanan hidup kamu." Pak Jentayu menarik nafasnya dalam-dalam. Kemudian dia menyambung. "Watak kamu dalam dimensi ini baru sahaja bermula. Kelak dimensi yang lain turut mengharapkan kudrat kamu." Aduka atau Choprikorn yang kebingungan hanya mampu mengerutkan dahinya.
"Apa maksud kata-kata Tok itu?" soalnya pelik.
"Kelak kamu akan faham dan saat itu kamu akan bertemu seorang Pahlawan Ulung.."