Bab 12 : Mesyuwarah Pemimpin Utama 1523

Badang Selatan kelihatan gusar. Dia berjalan mundar mandir di perkarangan istana. Perkhabaran yang baru diterimanya amat menggusarkannya. Ternyata bukan calang-calang masalah yang bakal menimpa jajahan takluknya itu. Masakan tidak, keberangkalian peperangan dahsyat bermula amat tinggi. Malah, kerajaan Modèra yang dipimpin oleh raja yang baharu enggan menjadi sekutunya.

Adinda Mahsuri yang berangkat pulang kelihatan melalui perkarangan istana tanpa menyapa sang suami. Dia sudah arif akan riak wajah insan kesayangannya itu dan tidak mahu mengganggu. Budi Karai yang berjalan mengiringi Adinda Mahsuri kelihatan agak serius. Dia yang diamanahkan untuk melindungi isteri tuannya itu sudah dapat menghidu bahaya yang bakal tiba. Perkhabaran dari risikan rahsia telah sampai ketangannya. Pembunuh upahan yang disogok oleh Petra Warami kini sudah semakin berani menghampiri istana.

Setahun yang lalu, skuad elit dari rejimen tentera kesultanan Melaka telah menumpaskan segerombolan pejuang berhaluan kiri. Lokasi yang mereka pilih untuk memulakan provokasi ternyata strategik. Oleh itu serangan balas ke atas mereka amat sukar untuk direalisasikan. Mujur tiga orang perantis skuad elit yang berwibawa berjaya membuat perangcangan bagi menjerat kesemua pengkhianat tersebut kecuali seorang lelaki bernama Petra Warami.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, Petra dikatakan berada dalam misi untuk membuka Gerbang Roah bagi membangkitkan makhluk serigala. Dia dibantu oleh Si Luncai Perak serta Seorang bangsawan yang masih belum diketahui indentitinya. Perancangan mereka untuk menguasai dunia ternyata sudah hampir ke penghujungnya. Kunci serta azimat purba yang diperlukan bagi membuka gerbang tersebut sudah semakin lengkap. Malah, Kota Sulaiman yang kebal juga telah berjaya ditundukkan oleh Si Luncai. Mungkin sudah hampir 20 tahun mereka hidup tanpa peperangan, oleh itu sistem pertahanan di Samudera Konra juga semakin longgar. Armada yang menguasai persisiran Kota Sulaiman juga berkurangan dari tahun ke tahun. Malah dikatakan bahawa Laksamana ulung lima bersaudara juga tiada di lokasi semasa kejadian tanpa diketahui puncanya.

*****************************

Berita kejatuhan Kota Sulaiman tersebar dengan pantas. Disebalik berita yang gempar itu, ada senyum yang terukir di wajah seseorang. Senyuman puas yang penuh dengan nafsu duniawi. Senyuman yang menyimpan seribu satu rahsia. Seketika kemudian baginda ketawa dengan kuatnya.

Hanuman Siam yang setia kepada raja yang telah mangkat masih gagal ditemui. kelibatnya juga tidak diketahui oleh kenalan rapat serta jiran. Sejak pemergian Choprikorn atau Aduka Alam melepasi sempadan, Hanuman Siam turut ghaib. Biarpun ada yang mengetahui akan lokasi Si Hanuman, mereka sudah berjanji mati agar rahsia itu kekal sebagai rahsia. Mereka terlebih dahulu mengetahui akan perancangan jahat yang cuba dilakukan oleh Raja muda Chongkorn serta dua lagi lelaki asing. Kedatangan mereka ke istana Modèra telah dihidu lebih awal oleh perisik-perisik Pahlawan diraja itu. Malah Hanuman serta beberapa lagi laksamana perang Balsik telah sepakat untuk memastikan Putera Choprikorn keluar dari jajahan Modēra. Ini adalah demi keselamatan waris mutlak kerajaan Modèra suatu hari kelak.

Kesetiaan Hanuman kepada raja Modèra membuatkan dia cekal untuk terus mengekori Aduka Alam hingga dia tamat perguruan. Namun dia tidak boleh membongkarkan risikannya itu atas sebab-sebab tertentu. Malah, kehadirannya pasti mendatangkan keraguan kepada Aduka lantas menggagalkan persediaan bakal raja itu. Tatkala Aduka berjaya melepasi ujian mendapatkan Kerambit Alam, Hanuman bersorak girang di dalam hati dek kerana kesyukuran yang teramat sangat. Di benaknya sudah terbayang akan kemasyhuran yang bakal menggagalkan misi jahat Chongkorn.

Keesokannya, Hanuman telah berangkat meninggalkan Aduka untuk mengumpul para pemimpin utama di setiap penjuru nusantara bagi mengadakan 'Mesyuwarah Semboyan'. Perbincangan empat mata pemimpin agung itu bakal menentukan hala tuju keamanan di bumi. Destinasi pertama yang bakal di singgahnya ialah Wilayah Selatan. Kota di hujung Malaya yang terkenal dengan pembangunan yang pesat membangun. Pemimpin ulung yang bakal ditemuinya ialah Badang Selatan.