Bab 8: Satu Pasukan, Satu Identiti

Petang itu, matahari sedikit redup, memberi bayang panjang di atas gelanggang terbuka kawasan perumahan. Suasana bising dengan jeritan semangat dan derapan kasut sukan di atas simen.

Wei Lin meniup wisel kecil yang tergantung di lehernya.

“Lima minit rehat!” serunya kepada kumpulan perempuan.

Di satu sudut lain, Arun dan Haikal sedang memimpin pasukan lelaki. Haikal sibuk melatih teknik menembak, manakala Arun memantau formasi bertahan.

Latihan luar sekolah ini bukan wajib — tapi kehadiran hampir penuh menunjukkan betapa semua pemain mula rasa teruja dan komited untuk pertandingan MSSD yang bakal tiba. Tambahan pula, latihan luar ini lebih bebas, tanpa tekanan guru.

Selepas hampir dua jam, mereka semua berkumpul di pondok berhampiran untuk minum dan berbual. Gelak ketawa mula kedengaran, dan hubungan antara ahli pasukan lelaki dan perempuan juga semakin mesra.

Sebaik sahaja tiba di rumah, Wei Lin duduk di meja belajarnya. Teringat cadangan yang terlintas dalam fikiran semasa latihan tadi.

"Kalau kita semua pakai jersi rasmi, mesti lagi semangat."

Tanpa buang masa, dia mencipta satu group WhatsApp khas:📱 Bola Keranjang Perempuan MSSDGambar profil: bola berwarna ungu dengan nama "SMK Seri Damai"

Wei Lin tulis mesej pertamanya:

“Hai semua. Wei Lin sini. Saya cadang kita buat jersi khas untuk pasukan kita. Putih jadi warna utama ikut arahan cikgu. Kita bincang design dan harga dalam group ni ya.”

Sementara itu, Arun dan Haikal, juga ada fikiran yang sama. Mereka buka satu lagi group:📱 Pasukan Lelaki MSSD 2025Haikal yang jadi admin, dengan Arun sebagai co-admin.

Haikal hantar mesej santai:

“Wey geng, kita nak nampak padu sikit masa pertandingan nanti. Jom buat jersi! Cikgu suruh guna warna cerah — putih. Sesiapa ada idea design, share sini. Nanti kita pilih paling cantik dan cari harga okay.”

Dalam masa kurang satu jam, kedua-dua group mula aktif. Ada yang mula berkongsi gambar jersi pasukan luar negara sebagai rujukan, ada juga yang mula lukis design tangan dan hantar gambar. Ada yang tanya:

“Nak letak nama belakang ke?”“Nak lengan panjang atau pendek?”“Kalau kain jenis dry-fit lagi best ke?”

Wei Lin dengan cepat mengatur undian untuk tiga design pilihan.Arun pula buat senarai anggaran harga dari kedai sukan yang dia kenal. Haikal, seperti biasa, jadi penghubung yang menceriakan — buat lawak sambil pastikan semua respon.

Cikgu Faizal yang ada dalam group lelaki hanya balas satu mesej:

“Saya bangga tengok semangat kamu semua. Tapi pastikan design tak terlalu melampau. Simpan profesional, ya.”

Dan malam itu, walaupun tidak di gelanggang, semangat mereka tetap membara — kerana mereka sedang mencipta identiti mereka sendiri sebagai wakil sekolah… satu pasukan, satu warna, satu tujuan.