Bab 10: Saat Penuh Bangga

Dua minggu berlalu dalam sekelip mata. Latihan demi latihan diteruskan, walaupun semua tidak sabar menanti jersi rasmi yang dijanjikan. Hari itu, langit cerah dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa — seperti tahu sesuatu yang istimewa sedang berlaku.

Pagi itu, Wei Lin menerima mesej dari Cikgu Faizal:

📩 “Jersi dah sampai. Boleh datang ambil lepas rehat.”

Tanpa berlengah, Wei Lin segera mencari Arun.

“Arun, jom ikut saya. Cikgu Faizal kata jersi dah sampai!”

Arun mengangguk dan senyum lebar. “Let’s go.”

Mereka pergi ke bilik guru dan membawa dua kotak besar yang penuh dengan jersi berwarna putih, bersinar bawah cahaya matahari. Di luar kotak tertera pelekat:“SMK SERI DAMAI - JERSI BOLA KERANJANG MSSD”

“Terasa macam angkut trofi kejuaraan,” Arun berseloroh sambil mengangkat kotak.

Setelah berbincang sekejap, mereka membuat keputusan untuk agihkan jersi kepada semua pemain di Dewan Terbuka sekolah selepas tamat waktu persekolahan.

Wei Lin menaip dalam kedua-dua group WhatsApp:

📢 “Hai semua, jersi kita dah sampai! Semua pemain lelaki & perempuan diminta berkumpul di Dewan Terbuka jam 1.30 petang nanti. Sila datang ikut masa ya 🙏🏻”

Jam menunjukkan tepat 1.30 petang. Seorang demi seorang mula tiba di dewan. Wajah masing-masing terpancar keterujaan — ada yang duduk bersila, ada yang berdiri sambil melihat ke arah dua kotak besar di hadapan Wei Lin dan Arun.

Haikal datang sedikit lewat kerana ada tugas pengawas, tapi dia tetap tersenyum lebar bila nampak kotak jersi.

Wei Lin bangun dan bersuara:

“Terima kasih sebab datang tepat pada waktunya. Hari ni kita terima satu simbol rasmi sebagai pasukan bola keranjang wakil sekolah. Kita pakai bukan sekadar untuk bertanding, tapi untuk bawa nama sekolah kita.”

Arun menyambung:

“Jaga jersi ni elok-elok. Nama kamu ada di belakang. Ingat, bila kamu pakai jersi ni, kamu wakil kepada seluruh warga SMK Seri Damai.”

Satu persatu jersi diagihkan mengikut senarai. Semua orang kelihatan kagum dengan kualiti kain dan rekaan yang dipilih bersama. Ada yang terus pakai di situ juga — dan bila berdiri berbaris, mereka kelihatan seperti pasukan profesional.

Haikal bersuara sambil ketawa kecil,

“Macam nak pergi perlawanan kebangsaan dah aku tengok korang ni.”

Wei Lin hanya tersenyum, tapi matanya hampir berkaca — bukan sebab sedih, tapi sebab rasa bangga dan puas. Semua penat lelah perancangan mula menunjukkan hasilnya.

Mereka bergambar bersama — satu pasukan perempuan, satu pasukan lelaki — dan satu gambar besar bergabung, dengan ketiga-tiga pemimpin di tengah: Wei Lin, Arun, dan Haikal.