Episod 4:Dania berubah

Episod 4: Dania Berubah

(POV Tasha)

Kampus Universiti Teknologi Timur sibuk pada hari itu. Minggu orientasi untuk pelajar baharu berjalan meriah, dan Tasha, sebagai pelajar senior, berdiri di tepi laluan utama menuju dewan kuliah, menyambut pelajar baru dengan senyuman yang terpaksa, walaupun tubuh sudah penat.

Namun, senyumannya tiba-tiba pudar apabila satu sosok tubuh melintas di hadapannya.

Langkahnya terhenti. Dada terasa sesak, seolah-olah angin dingin membeku di dalamnya.

Gadis itu…

Langkahnya penuh keyakinan, bergaya ala bandar, tudung satin kemas terikat, memakai kasut tumit tinggi, membawa beg berjenama. Mata tajam, wajah dihias mekap tipis menonjolkan kematangan.

Tasha kenal wajah itu. Wajah yang tak pernah hilang dari ingatannya.

Dania.

“Dania…?” bisiknya, tapi suara itu terkurung dalam dada.

Yang paling menyakitkan hati — Dania tidak menyapa. Hanya menjeling sekejap. Mata mereka bertentang, namun tiada senyuman, tiada sapaan. Hanya diam dan sunyi yang menusuk.

Tasha terpaku, jantung berdegup laju.

Kau masih pakai gelang tu… tapi buat macam aku tak wujud?

(POV Dania)

Langkah Dania terasa tidak pernah senyaman ini, tapi hatinya penuh debu.

Dia terlihat Tasha, sahabat kecilnya yang dulu selalu menangis apabila main pondok-pondok usang.

Dia ingat. Dia kenal.

Jelingan itu bukan sombong, tapi penuh ketakutan.

Takut ditolak. Takut jika Tasha berkata, “Kau bukan Dania yang aku kenal.”

Dania sudah lama bertahan hidup dalam dunia bandar yang keras. Budaya siapa paling cantik, siapa paling kaya, siapa paling hebat, menyedut segala jiwanya. Dia terpaksa belajar menjadi ‘mereka’ supaya terus berdiri.

Dia bukan mahu berubah, tapi terpaksa.

Namun hari ini dia lemah. Tak cukup kuat untuk menyapa Tasha. Hanya sempat memastikan satu benda — gelang benang di tangan Tasha masih ada.

Sama seperti miliknya.

“Kau masih simpan kita, kan Tasha?”

(POV Ilham)

Ilham menolak pintu kafeteria sambil memegang buku sketsa. Dia duduk di bangku kayu panjang menghadap fakulti seni bina, sibuk melakar bentuk bangunan.

Tiba-tiba matanya terpaku pada satu wajah yang tidak pernah disangka akan dilihat semula.

Gadis itu duduk sendirian, meneguk air dalam gelas plastik.

Bukan wajahnya yang menarik perhatian Ilham — kini lebih runcing, gaya lebih ‘bandar’ — tetapi gelang di pergelangan tangan kirinya.

Ilham melihat ke tangannya sendiri.

Gelang benang biru-ungu yang sama.

Waktu seakan berhenti. Suasana sekeliling hilang bunyi. Hanya degup jantung yang kuat berdengung di telinga.

“Dan… Dania?” Ilham berbisik, penuh tak percaya.

Namun sebelum dia sempat bangun menyapa, seseorang melangkah masuk dari belakang.

(POV Areeq)

Areeq masuk ke kafeteria sambil menatal telefon. Projek tahun pertama jurutera benar-benar menyesakkan kepala, tapi kelaparan memaksa dia keluar.

Langkahnya terhenti melihat Ilham terpaku seperti patung.

“Apa hal kau ni, Il—”

Dia ikut pandangan Ilham.

Gadis itu.

Rambut terbalut kemas, duduk senyap, matanya memerhati meja. Tangan kirinya memegang sesuatu — gelang benang.

Dan saat itu wajahnya terpancar jelas di pandangan Areeq.

Dania.

Sahabat kecil mereka. Yang hilang tanpa kata. Ditinggalkan hanya sepucuk surat. Yang dulu selalu menjerit, “lastik burung!” sambil tertawa sumbing.

Namun hari ini… wajah itu bukan lagi milik yang sama.

Wajah yang menyimpan seribu rahsia.

Dan entah mengapa, Areeq rasa — Dania bukan sekadar berubah luaran. Ada sesuatu yang lebih besar disembunyikan.

(Perjumpaan Tanpa Kata)

Malam itu mereka bertiga — Tasha, Ilham, dan Areeq — berkumpul di gazebo universiti. Tiada tawa seperti dulu, hanya keheningan yang memekakkan.

“Dia dah berubah…” bisik Tasha perlahan.

“Dia masih pakai gelang tu,” balas Ilham.

Areeq diam. Dia membuka galeri telefon.

Gambar mereka berempat zaman sekolah. Basikal buruk, pokok jambu, ais krim kongsi.

“Soalannya sekarang…”

“Masihkah kita sanggup terima Dania… kalau dia bukan lagi seperti dulu?”