Prolog

Langit Osaka kelihatan muram pagi itu. Awan kelabu berarak perlahan, seolah-olah menyembunyikan cahaya matahari yang sepatutnya menceriakan bandar yang sentiasa sibuk ini. Di kejauhan, bangunan pencakar langit berdiri megah, berdampingan dengan lorong-lorong sempit yang menyimpan aroma era lama Jepun. Hiruk-pikuk manusia tetap berjalan seperti biasa. Bunyi tapak kasut bergema di stesen Umeda, bertembung dengan dentingan kereta api yang meluncur pergi.

Namun, di tengah segala rutin biasa itu, ada sesuatu yang aneh pagi ini.

Di sebuah lorong kecil berhampiran kompleks beli-belah yang sibuk, seorang lelaki tua duduk bersandar pada dinding batu yang berlumut. Pakaiannya lusuh, rambutnya kusut masai, dan kulitnya tampak lebih tua daripada usianya. Tangannya memegang sebuah buku nipis berwarna kelabu pudar, seolah-olah ia telah lama terlupa di bawah timbunan debu.

Mata lelaki tua itu tidak memandang sesiapa. Dia hanya menatap kosong ke arah langit kelabu, sesekali bibirnya bergerak, berbisik sesuatu yang tiada siapa pedulikan. Para pejalan kaki yang lalu di hadapannya hanya melirik sepintas lalu sebelum kembali dengan urusan masing-masing.

Namun, sesiapa yang cukup dekat mendengar bisikannya pasti akan merasa sesuatu yang janggal.

"Tak sepatutnya berlaku begini..." bisiknya perlahan, lebih kepada dirinya sendiri.

"Cerita itu... sepatutnya berakhir..."

Suasana lorong itu terasa sedikit sejuk, walaupun musim panas baru bermula. Angin tipis menyapu helaian kertas yang tertinggal di hujung lorong, membawa bersama bunyi detik jam digital yang terpancar dari skrin iklan bersebelahan jalan utama.

Di sisi lelaki tua itu, buku nipis yang digenggamnya terbuka perlahan, ditiup angin. Pada helaian itu, kelihatan tulisan tangan yang tidak kemas, perkataan yang separuh pudar:

"Chester: Watak Pengganggu."

Dan di bawahnya, ada satu nota kecil yang disilangkan dengan pen merah:

"True Ending..." Beberapa tulisan lagi tidak kelihatan.

Seolah-olah dunia itu sendiri menunggu sesuatu. Sesuatu yang telah lama dirancang, menunggu ia benar-benar berlaku.

---

Di salah satu apartmen lama di pinggir Osaka, seorang remaja lelaki menjalani hidupnya seperti sebuah mesin yang rosak perlahan-lahan.

Akira Tajima, tujuh belas tahun, pelajar sekolah menengah atas yang tidak pernah dikenali sesiapa di sekolahnya. Tiada teman rapat, tiada aktiviti kelab, tiada sesiapa yang akan menunggu kepulangannya di rumah kecuali bunyi jam dinding tua yang sentiasa mendahului waktu beberapa minit.

Setiap pagi, dia akan bangun tepat jam 6:30 pagi. Mandinya sepuluh minit, sarapan sebungkus roti krim murahan yang dibeli di kedai serbaneka malam sebelumnya. Tiada ucapan "Ittekimasu" ketika keluar pintu. Hanya bunyi pintu kayu yang berat ditutup perlahan-lahan.

Perjalanan ke sekolah ditemani bunyi kereta dan motorsikal yang lalu-lalang. Osaka bukanlah bandar yang asing baginya, tapi dia selalu berasa seperti orang asing di situ. Orang-orang berjalan pantas, membawa beg kerja, telefon pintar di tangan — hidup mereka bergerak, sedangkan dia terasa seperti diam di tempat yang sama.

Di sekolah, Akira hanya pelajar biasa yang duduk di bahagian belakang kelas. Guru-guru tahu nama keluarganya, tapi jarang menyebut namanya. Kawan sekelas… ada, tapi lebih kepada sekadar berkongsi ruang belajar, bukan berkongsi cerita.

Apa yang menunggu Akira setiap kali pulang ke rumah hanyalah satu perkara, novel-novel yang bersusun di rak kayu kecil di tepi katilnya. Dunianya bukanlah Osaka. Dunianya adalah dunia-warna yang dicetak dengan dakwat di atas kertas, dunia di mana dia tidak perlu bercakap dengan sesiapa, tidak perlu menjelaskan siapa dirinya, tidak perlu berpura-pura kuat.

Dan di antara semua novel yang dia baca berulang kali, hanya satu yang benar-benar melekat di hati — "Magic Revolution."

Itulah satu-satunya kisah yang membuatkan jantungnya berdegup sedikit lebih laju. Bukan kerana magiknya, bukan kerana pertarungannya, tapi kerana satu watak, Alise Antoinette Seraphim.

Dia sendiri pun tidak tahu sejak bila perasaan itu tumbuh. Mungkin bermula sejak jilid ketiga diterbitkan, ketika watak Alise menunjukkan sisi rapuh di sebalik sifat keras kepala yang selalu ditunjukkannya.

Di dunia nyata, Akira hanyalah pelajar biasa tanpa siapa-siapa. Tetapi di dunia itu, dia tahu semuanya. Dia tahu siapa yang akan mati, siapa yang akan mengkhianati siapa, tahu perasaan setiap watak, seolah-olah dia sendiri yang menulis kisah itu.

Dan setiap malam, rutin Akira tetap sama. Makan malam yang hambar, mandi cepat-cepat, duduk bersila atas katil, memegang novel itu… dan membaca semula dari awal, meskipun dia sudah tahu apa yang akan berlaku.

Seolah-olah dia takut jika lupa walaupun satu perincian.

Namun, ada satu perkara yang pelik sejak seminggu kebelakangan ini. Setiap kali dia cuba membaca novel itu, ada rasa aneh yang menusuk di hujung fikiran. Bukan rasa bosan, tetapi seolah-olah ada sesuatu yang hilang. Seperti… cerita itu belum selesai.

"Walaupun aku baca berulang kali, ending cerita ni macam tergantung je, seolah-olah sekuel baru mungkin saja akan diterbitkan. Mungkinlah" ucap hati Akira.

"Lagipula aku nak tengok scene romantis Alise walaupun aku terpaksa terima kalau dia memilih MC" tambahnya lagi.

Malam ini, ketika angin musim panas bertiup masuk dari tingkap yang sedikit terbuka, Akira sekali lagi membuka novel itu. Tangannya bergetar sedikit tanpa sebab.

Di luar, dunia tetap berjalan. Di dalam bilik, hanya detik jarum jam tua menemaninya seperti biasa.

Tapi tanpa dia sedar, malam ini bukan seperti biasa.

Ketika mata itu terbuka, cahaya samar dari celahan tingkap kayu menyapa pandangan. Bau debu bercampur aroma kayu tua memenuhi udara, sangat asing, tetapi tidak sepenuhnya asing. Dia tahu bau ini, tapi… tidak sepatutnya.

Langit di luar bukanlah langit Osaka. Warna jingganya terlalu pekat, terlalu sempurna seperti lukisan dan akhirnya berganti malam yang tenang.

Akira sudah pun terlena.

Namun, sesuatu janggal berlaku tanpa dia sedari.

Pagi menjelma, perlahan-lahan Akira bangkit dari katil. Tapi, itu bukan katil biasa. Tilamnya keras, hampir tidak selesa. Tangan kanannya menyentuh kain selimut kasar, terasa seperti linen zaman pertengahan.

Dia memandang sekeliling.

Ini… bukan bilik aku.

Bilik itu luas, jauh lebih besar berbanding apartmen kecilnya. Dinding-dindingnya diperbuat daripada batu, dihiasi rak buku berdebu, lilin setengah cair di atas meja kayu yang berat. Di sudut bilik, tergantung kot hitam panjang yang seperti sering dipakai oleh… seseorang.

Perlahan, dia berdiri dan melangkah ke hadapan. Derap langkahnya bergema lembut di atas lantai kayu yang berkeriut.

Ketika itulah matanya tertancap pada satu benda di atas meja.

Sebuah lencana. Lambang Akademi Agung Magis terukir jelas padanya, simbol yang terlalu dikenalinya.

Degup jantungnya berhenti seketika. Simbol itu bukan sekadar reka bentuk, tetapi logo yang sering muncul di halaman awal setiap jilid Magic Revolution.

Tangan Akira bergetar kecil. Perlahan, dia menurunkan pandangan ke tubuhnya sendiri.

Seragam pelik. Bukan seragam sekolah Jepun. Bukan pakaian tidur yang dia pakai sebelum ini. Ini… seragam akademi magis.

Dan yang lebih membuatkan mulutnya terasa pahit—

Di sisi meja, sebuah bingkai gambar tergantung. Gambar itu memaparkan seorang lelaki muda bersama seorang lelaki tua berambut kelabu yang tersenyum lebar.

Wajah lelaki muda itu…

… adalah wajah Chester Kerl.

Nama yang dibencinya. Nama watak lelaki pembuat masalah yang selalu dia kutuk sepanjang membaca novel.

Akira tergamam. Nafasnya terasa berat.

Kenapa aku ada di sini?

Kenapa aku… jadi dia?

"Chester! Bersiap sekarang! Kita akan bertolak sebentar lagi."

Suara lelaki tua bergema lantang dari luar bilik. Dalam situasi biasa, mungkin suara itu hanya sekadar teguran seorang ayah kepada anaknya. Tapi bagi Akira, suara itu bagai petanda malapetaka yang menjerut lehernya perlahan-lahan.

Akira tersentak dari lamunannya. Panik. Nafasnya terputus-putus. Mindanya berpusing laju, cuba memproses semua yang berlaku. Dia cuba meyakinkan diri.

Bertenang. Bertenang. Ini mesti mimpi. Ini cuma mimpi.

Tapi realiti itu menjawab dengan kejam. Rasa kasar pada kain seragam di tubuhnya, bau kayu tua, dan gemeretak papan lantai di bawah kakinya, semua itu terlalu nyata untuk sekadar mimpi.

Dan suara itu datang lagi, kali ini lebih dekat.

"Jangan buat aku datang masuk ke bilik!"

Akira mengerutkan dahi. Kalau dia berterusan membatu, ‘ayahnya’ pasti masuk dan perkara akan menjadi lebih buruk. Dengan langkah teragak-agak, dia pantas mencapai kot hitam yang tergantung di sudut bilik, menyarungnya secepat mungkin, walaupun sedikit kekok.

Tangan gemetar menyapu rambutnya secara kasar ke belakang, cuba meniru gaya Chester dalam ilustrasi novel. Dia tidak tahu bagaimana Chester bercakap secara langsung, tapi… arogan. Biadab. Penyibuk. Itu semua antara sifat Chester yang dia tahu.

Menarik nafas dalam-dalam, dia melangkah keluar.

Dan di sana berdiri seorang lelaki tua, berpakaian kemas dengan seragam formal, berambut kelabu keperakan, dengan wajah garang yang tidak asing, Kerl Ormund, Pengetua Akademi Agung Magis.

Lelaki itu menjelingnya tajam, kemudian menghela nafas berat.

"Ajaib. Kau bangun awal hari ni."

Suasana senyap seketika. Akira terasa lidahnya beku. Otaknya ligat mencari respons. Kemudian, perlahan, satu senyuman sinis terukir di bibirnya, cuba sedaya upaya meniru watak Chester yang dia benci selama ini.

"Apa? Aku tak boleh berubah ke sekali-sekala?" katanya, separa malas, separa mencabar. Dalamannya hampir luruh, tetapi luaran harus sombong.

Lelaki tua itu mengangkat kening, sedikit terkejut. Kemudian, dia ketawa perlahan. "Kalau begitulah, jangan buat aku malu di akademi hari ni."

Tanpa sempat berkata apa-apa lagi, Akira (Chester) ditarik mengikuti langkah ayahnya menuju ke luar rumah.

Dan di hadapan mereka, sebuah kereta kuda mewah telah sedia menunggu. Kuda-kuda hitam kelihatan gagah, lengkap dengan lambang keluarga Kerl di sisinya.

Akira naik, duduk bertentangan dengan lelaki yang kini bergelar ‘ayah’nya.

Suasana dalam kereta kuda agak sempit, senyap untuk seketika kecuali derap tapak kuda yang bergema di luar.

Tiba-tiba, suara Kerl Ormund memecahkan kesunyian.

"Kau tak buat masalah dengan budak perempuan itu lagi, bukan?"

Budak perempuan itu. Akira tahu siapa yang dimaksudkan — Alise Antoinette Seraphim.

Hatinya mendadak berdebar. Dia menahan nafas sebelum menjawab, cuba meniru sikap Chester yang angkuh.

"Tsk. Perempuan macam tu… aku bukan bodoh sampai cari masalah dengan dia waktu macam ni."

Lelaki tua itu memandang tepat ke arah Akira. Ada sinar hairan, ada sinar jengkel.

"Aku tak tahu apa rancangan kau, Chester. Tapi pastikan kau tak jatuhkan lagi maruah keluarga kita."

Akira hanya mengangguk perlahan, menggenggam hujung kotnya erat-erat.

Dan ketika itu, barulah dia benar-benar sedar.

Ini bukan mimpi. Ini adalah neraka yang dia pernah baca, dan sekarang… dia adalah watak yang paling dia benci.

Dia adalah Chester Kerl.

Kereta kuda itu terus meluncur di atas jalan berbatu, membawa Akira menuju ke tempat yang selama ini hanya wujud dalam halaman-halaman novel, Akademi Magis Agung.

Kereta kuda itu perlahan-lahan berhenti. Bunyi tapak kaki kuda yang berderap tadi kini diganti oleh suara ramai orang, hiruk-pikuk pelajar berpakaian akademi yang berbaris di halaman luas.

Dan di hadapan mata Akira… Akademi Magis Agung.

Ia persis seperti yang diceritakan dalam novel. Bangunan batu putih dengan menara tinggi yang menusuk langit, dihiasi dengan ukiran kuno yang menggambarkan lambang keluarga bangsawan dan jata-jata kebesaran zaman dahulu. Halamannya dipenuhi pelajar, ada yang sedang berbual, ada yang membaca, ada yang bertengkar kecil, semuanya hidup, bergerak, wujud.

Tapi semua itu kelihatan seperti lukisan cantik yang menyimpan sesuatu yang buruk di sebaliknya.

“Turun.”

Arahan ayahnya membuatkan Akira tersentak. Dengan cepat dia melangkah turun, namun tubuhnya terasa asing dalam pakaian seragam rasmi Chester. Ada rasa salah. Ada rasa pelik. Dia cuba menyembunyikan semua itu di balik langkah perlahan penuh pura-pura.

Belum sempat dia melangkah jauh, bisik-bisik sudah mula kedengaran.

“Itu Chester Kerl, kan?”

“Tsk. Apa lagi yang si celaka tu nak buat hari ni?”

“Jangan sampai aku lalu depan dia. Nanti cari gaduh tak pasal-pasal.”

Kata-kata tajam menusuk dari segala arah. Wajah-wajah pelajar yang memandangnya bukan dengan kagum, tapi dengan rasa benci. Jijik. Geram.

Dan Akira tahu kenapa. Ini bukan pandangan untuk Akira. Ini pandangan untuk Chester.

Di sinilah dia sedar, segala kebencian yang dia sendiri pernah rasa ketika membaca novel itu, kini terpantul kembali kepadanya dengan lebih nyata, lebih tajam.

Dan kemudian…

Langkahnya terhenti. Nafasnya membeku.

Dia muncul.

Di tengah-tengah pelajar lain, seorang gadis berdiri megah dengan rambut emas berkilauan seperti cahaya matahari pagi. Mata biru safirnya menatap lurus ke depan, dengan wajah yang memancarkan keyakinan, keanggunan, dan karisma.

Seragamnya lebih kemas daripada yang lain, dengan lencana kebangsawanan tersemat di dadanya.

Alise Antoinette Seraphim.

Watak heroin kesukaannya. Waifu yang pernah dia puja.

Tapi kini, gadis itu memandangnya dengan pandangan yang membuatkan jantungnya seolah berhenti.

Benci.

Bukan sekadar benci biasa. Ini benci yang lahir dari jijik yang mendalam. Seolah-olah seluruh dunia akan lebih baik tanpa kehadirannya.

Dan Akira, yang kini Chester, hanya mampu berdiri kaku, ditelan oleh beban watak yang tak pernah dia inginkan.

“Menjijikkan,” bisik Alise perlahan, cukup jelas untuk didengar oleh telinganya sendiri.

Dan dengan langkah anggun, gadis itu berlalu pergi bersama beberapa pelajar bangsawan yang lain.

Akira hanya mampu berdiri di situ. Kaku. Nafasnya naik turun dengan dada yang terasa kosong.

Ini bukan novel lagi. Ini kenyataan.

Dan dia adalah watak jahatnya.

Langkah demi langkah, Akira melangkah masuk ke kawasan akademi, berusaha keras menyusun nafas dan senyuman sinis yang selalu dipakai Chester dalam novel.

Itu pun jika dia masih ingat betul-betul gaya Chester yang selalu menyakitkan hati orang lain.

Di matanya, akademi ini kelihatan asing walaupun dia tahu setiap lorong, tangga dan ruang dari pembacaannya. Dunia fiksyen yang dulu hanya wujud di kertas kini bernafas di sekelilingnya. Bukan lagi huruf, tetapi suara. Bukan lagi deskripsi, tetapi bau. Dan semuanya menuntut dia untuk memainkan peranan.

“Oi, Kerl.”

Satu suara kasar menyapa, membuatkan Akira tersentak seketika.

Tiga orang pelajar lelaki berdiri di hujung koridor. Seragam mereka kemas. Salah seorang di antara mereka mempunyai badge elit—mereka bukan watak rawak, Akira mengenali mereka.

Pelajar elit yang membenci Chester Kerl.

Dalam novel, mereka sering menjadi sasaran ejekan Chester. Sering bergaduh di sudut koridor, sering diusik, sering diprovokasi. Tetapi Akira bukan Chester. Dia tidak tahu apa reaksi yang sepatutnya dilakukan dalam situasi ini.

Berlakon. Kau kena berlakon.

Dia angkat kening sedikit, mempamerkan senyuman miring yang kelihatan sinis.

“Apa kau pandang aku macam tu?” balas Akira, cuba meniru gaya penuh ego Chester. Suaranya sedikit bergetar tetapi cukup tegas.

Ketiga-tiga pelajar itu melangkah mendekat, dengan riak muka tidak senang.

“Biasanya kau dah mula buka mulut carut semua orang. Apa hari ni kau datang nak berlakon jadi suci?”

Akira mengetap gigi dalam hati. Tangan dia hampir menggigil. Tapi dia teringat satu perkara, Chester memang terkenal dengan mulut celupar, tapi juga licik.

Dia ketap bibir, kemudian menggeleng perlahan, mempamerkan ekspresi menyindir.

“Tak ada mood layan badut pagi-pagi. Pergilah main dengan kawan kau yang lain.”

Dia berbalik, melangkah meninggalkan mereka.

Dan anehnya, itu berkesan. Ketiga-tiga pelajar itu hanya saling berpandangan seketika sebelum menggerutu perlahan.

“Tsk. Bodoh sombong.”

Mereka berlalu pergi.

Akira menggenggam erat tepi poket seluarnya. Kaki hampir lemah. Tetapi dia berjaya.

Berjaya jadi Chester, sekurang-kurangnya untuk kali ini.

Namun itu belum selesai. Bahaya sebenar bukan datang dari pelajar lain.

Bahaya sebenar itu bernama Alise.

Dan seperti dirancang takdir yang kejam, langkah seterusnya membawanya ke perkarangan taman di belakang akademi.

Di situ, Alise sedang berdiri sendirian, membetulkan ikatan pita rambutnya, ditemani angin lembut yang menggerakkan helaian emas di rambutnya.

Seketika, pandangan mereka bertembung.

Bibir gadis itu melengkung sedikit. Tapi bukan senyuman.

“Ada apa kali ini, Kerl? Nak ganggu aku lagi?”

Nada suaranya dingin, seperti ais yang meluncur turun dari gunung bersalji.

Akira terkaku. Ini bukan sekadar pertemuan biasa.

Ini permulaan kepada hubungan paling beracun dalam cerita ini.

Dan dia terperangkap di tengahnya.

Akira telan liur perlahan.

Dia tahu siapa yang berdiri di hadapannya. Dia tahu betapa berharganya gadis itu di dalam novel, betapa dia menyukai Alise sebagai pembaca dulu, tapi di mata gadis itu sekarang, dia hanyalah sampah.

Sampah bernama Chester Kerl.

Dia terpaksa.

Dengan satu senyuman miring yang dibuat-buat, dia melangkah mendekat perlahan, tangan dimasukkan ke dalam poket, seperti mana Chester selalu lakukan.

“Kenapa berdiri seorang diri, puteri bangsawan? Tak ada pengikut ke hari ni?” Nada suara itu sinis, dibentuk hasil ingatan dia tentang gaya Chester.

Alise mengerutkan dahi. Mata biru cemerlang itu bersinar tajam.

“Jangan panggil aku macam tu. Hilang selera pagi-pagi.”

Akira mengangkat bahu, berpura-pura tidak kisah. Hakikatnya, dadanya berdebar. Setiap patah perkataan terasa seperti pisau menikam dirinya sendiri.

“Alah, aku cuma nak temankan. Lagipun, siapa tahu… mungkin ada orang nak letak racun dalam teh kau hari ni.” Dia sengaja menyandarkan tubuhnya ke dinding pagar taman, bersilang tangan.

“Lagi-lagi dengan sikap kau yang selalu buat orang sakit hati.”

Satu tusukan. Tajam. Menyakitkan. Akira sendiri hampir menyesal membuka mulut, tapi dia tahu Chester memang jenis begini. Dia perlu bermain watak itu. Dia perlu membuat Alise membenci dirinya. Itu peranan Chester.

Alise mendengus perlahan. Matanya memandang Akira dari atas ke bawah, penuh jijik.

“Kalau ada racun pun, aku lebih rela telan daripada terus mendengar suara kau.”

Dada Akira terasa sesak.

‘Kasar betul mulut kau, Alise…’

Tetapi dia ketawa kecil, pura-pura gembira.

“Wah, sampai macam tu sekali kau suka aku, ya?”

Kata-kata itu bukan sekadar menyakitkan Alise, tetapi lebih menyakitkan Akira sendiri.

Dia mahu lari dari tempat itu. Mahu teriak, mahu memberitahu bahawa dia bukan Chester, bukan lelaki menjijikkan itu.

Tapi belum masanya.

Dia harus bertahan sedikit lagi.

Alise akhirnya melangkah pergi, sengaja menghentak kasut kulitnya agar kedengaran di atas jalan batu. Akira hanya mampu berdiri kaku di situ, memandang punggung Alise yang semakin jauh.

“Gila.”

Satu kata itu meluncur perlahan keluar dari bibir Alise, cukup jelas untuk telinga Akira tangkap sebelum langkah gadis itu hilang di sebalik koridor.

Akhirnya, Akira menunduk, mengusap wajahnya sendiri dengan tapak tangan.

‘Aku benci watak ni.’

Tapi…

…kalau ini harga untuk melindunginya, aku sanggup jadi lelaki paling menjijikkan sekali pun.

Langkah demi langkah, Akira menapak masuk ke kawasan utama akademi.

Bangunan sekolah itu indah, klasik, penuh ukiran magik yang berkilau samar pada tiang-tiang marmar putih. Jalan utama dipenuhi pelajar yang bertegur sapa, ketawa mesra, atau berbincang soal tugasan magik terkini. Semua kelihatan… sempurna.

Tapi bagi Akira, semuanya rasa berat. Terasa seperti masuk ke dalam pementasan teater murahan dan dia pelakon utamanya.

Mereka memandang. Satu persatu pelajar yang bertembung dengannya melontarkan pandangan yang sama muak, menyampah, benci.

Ada yang berbisik perlahan. Ada yang sengaja menghempas bahu mereka ke arahnya semasa berselisih jalan.

“Ugh, si pembuat masalah tu lagi…”

“Dia tak kena buang lagi ke?”

“Kalau bukan sebab ayah dia… dah lama dia jadi bangkai dalam longkang belakang akademi.”

Akira hanya berjalan lurus, pandangan mata kosong ke hadapan. Dia mahu marah, tapi siapa dia nak marah?

Ini semua bukan salah mereka. Ini salah Chester. Salah tubuh yang dia duduki sekarang.

Di salah satu sudut taman akademi, sekumpulan pelajar lelaki tersenyum sinis melihatnya.

“Hei, Chester!” Seorang daripada mereka melambai, nada sinis. “Apa, datang nak cari gaduh lagi hari ni?”

Akira kenal wajah-wajah itu. Watak sampingan dalam novel. Golongan pelajar bangsawan kelas pertengahan, selalu jadi ‘mangsa’ buli Chester. Kalau ikut jalan cerita asal, Chester akan mula mempersendakan mereka, mencabar mereka bertarung magik kecil-kecilan dan akhirnya membuat kecoh di akademi.

Akira berhenti sejenak. Nafasnya berat.

Skrip lama atau improvisasi?

Kalau dia terus melawan, dia akan kekal sebagai Chester si bajingan, dan risiko dibenci oleh semua semakin tinggi. Tapi kalau dia tunduk, mereka akan pelik, Chester tak pernah tunduk.

Akhirnya, dia memilih jalan tengah.

Dia sengaja mengangkat sebelah kening, memandang mereka seperti melihat semut.

“Tch. Aku bosan dengan muka korang hari-hari. Lain kali kalau nak provoke, cari ayat yang baru.”

Dia melangkah pergi, meninggalkan kumpulan itu tergamam sebentar. Satu-satunya cara untuk meniru Chester, buat orang rasa muak tanpa perlu menyalakan api.

Di dalam kelas pula, keadaannya tak jauh berbeza.

Guru yang masuk, seorang lelaki berusia dengan jubah panjang dan rambut sedikit uban, hanya memberikan lirikan malas kepada Chester.

“Tak sangka kau datang kelas hari ni, Chester Kerl. Dunia nak kiamat agaknya.”

Beberapa pelajar ketawa kecil, segelintir lain hanya mendengus.

Akira tersenyum kecil, berpura-pura malas. “Bosanlah dekat luar. Dalam kelas pun, boleh tengok muka kau yang tak berubah dari lima tahun lepas.”

Ketawa kecil kedengaran lagi. Guru itu memandang Akira tajam, tapi akhirnya hanya menggeleng kecil dan mula menulis nota magik di papan hitam.

Akira duduk.

Tempat duduk yang paling belakang, paling hujung, paling dekat dengan tingkap. Tempat asal Chester.

Angin dari luar meniup perlahan, membawa bau bunga dari taman akademi.

Dan di hadapan, empat baris daripada tempat duduknya, Alise.

Gadis itu duduk tegak, rambut perangnya terurai kemas di atas seragam akademi yang putih bersih. Dia menulis nota tanpa sedikit pun memandang ke belakang. Seolah-olah Chester tidak wujud.

Akira hanya mampu melihat bahunya dari jauh, menahan rasa bersalah yang menyesakkan dada.

‘Aku benci semua ni.’

Tapi dia tiada pilihan. Dia kena hidup sebagai Chester.

Setidak-tidaknya… sehingga dia tahu kenapa dia berada di sini.

Lonceng besar di menara akademi berdentang perlahan, menandakan tamatnya sesi kelas hari itu. Suasana yang tadinya riuh dengan suara guru dan pelajar kini berganti dengan derap kaki yang bersahutan. Ada yang tergesa-gesa, ada yang masih leka berbual sambil mengemas barang masing-masing.

Angin petang menyapa lembut melalui tingkap yang terbuka. Matahari mulai condong ke ufuk barat, meninggalkan sinar emas yang menyinari laluan marmar akademi, mencipta bayang-bayang panjang di halaman.

Akira melangkah keluar dari kelas, menyandar sebentar di tepi salah satu tiang besar bangunan itu. Nafasnya panjang, berat. Badan terasa lenguh walaupun yang lelah bukan tubuhnya, tapi jiwanya.

“Harap-harap hari ni boleh habis tanpa drama…”

Baru sahaja dia ingin melangkah ke pintu utama, langkahnya terhenti.

Dari arah selekoh taman akademi, dia terdengar suara yang cukup dikenalinya. Suara yang sampai sekarang masih terasa seperti paku dalam dadanya.

Alise.

Gadis itu sedang berbual dengan beberapa rakan perempuannya. Tertawa kecil, nada suaranya jauh berbeza dari saat dia berinteraksi dengannya pagi tadi.

“Jadi, petang ni kita terus ke Café Lilin Putih tu, ya? Aku dengar kek karamel di sana baru saja ditambah menu minggu ni.”

“Aku setuju! Dah lama tak lepak luar akademi. Lagipun, cuaca cantik.”

Alise tersenyum, tenang dan sederhana. “Aku ikut saja. Lagipun aku bosan menghadap buku magik.”

Percikan tawa mengiringi langkah mereka yang mulai bergerak keluar dari kawasan akademi.

Akira menunduk sedikit, menyembunyikan wajahnya dari pandangan mereka. Dia perasan, salah seorang teman Alise sempat melirik ke arahnya sambil berbisik, tak perlu dengar pun, dia tahu itu tentang siapa. Nama Chester memang sinonim dengan masalah.

Café Lilin Putih, huh?

Akira menghela nafas. Tempat itu disebut beberapa kali dalam novel. Sebuah kafe kecil di sudut kawasan pelajar luar akademi, terkenal dengan suasana tenang dan kek buatan tangan pemiliknya.

Tempat biasa untuk event kecil, babak karakter berbual, kadang-kadang babak konflik ringan.

Biasa. Sepatutnya biasa.

Tapi entah kenapa, hati Akira rasa tak tenang. Sesuatu macam… firasat buruk. Naluri yang berkata "jangan abaikan perkara remeh macam ni."

Dia mengetap gigi perlahan.

“Masalah aku… atau masalah Chester?”

Langkahnya diteruskan perlahan ke arah pintu utama. Di sana, kereta kuda keluarganya sudah menunggu. Ayahnya berdiri bersebelahan kusir, melipat tangan, berbual dengan seseorang yang kelihatan seperti pegawai keselamatan akademi.

Sinar matahari senja menyilaukan sedikit pandangan. Dunia seakan damai, tapi ada sesuatu yang meresap dari bawah permukaan.

Sesuatu yang menunggu saatnya untuk pecah.

Deru roda kereta kuda bergema di atas jalan berbatu, berirama bersama derapan langkah kuda yang gagah. Langit petang mula berubah jingga, membakar awan dengan warna merah tembaga, seakan menandakan sesuatu sedang mendekat, sesuatu yang belum jelas bentuknya.

Akira duduk diam di dalam kereta kuda itu, memandang keluar jendela. Bangunan-bangunan batu, kedai kecil, dan lorong-lorong sempit meluncur perlahan di sisi pandangannya. Dunia ini masih terasa asing walaupun dia cuba meyakinkan dirinya sudah terbiasa.

Di hadapannya, lelaki separuh abad duduk tenang dengan pakaian kemas, jubah guru besar tersarung kemas di bahunya. Lelaki itu menoleh sekilas, memandang Akira dengan dahi sedikit berkerut, seakan cuba membaca sesuatu yang ganjil.

“Jarang kau bangun awal pagi macam tadi, Chester.”

Nada suaranya datar, tidak menunjukkan emosi yang jelas. Tetapi dari sorotan matanya, Akira dapat membaca, curiga.

“Bertahun-tahun aku tengok kau tidur sampai lewat pagi, malas bangun, cari alasan untuk ponteng kelas… Hari ni lain benar.”

Akira hampir tertelan air liurnya. Dia berpura-pura tenang, menyandarkan bahunya ke dinding kereta kuda.

“Sekali-sekala aku rajin, tak salah, kan?” jawabnya perlahan, dengan nada malas yang cuba disesuaikan dengan gaya Chester yang dia baca sebelum ini.

Ayahnya mendengus perlahan. “Heh. Kalau aku tak kenal kau, aku mungkin percaya. Tapi kau… ada angin lain agaknya hari ni.”

Tiada balasan dari Akira. Dia hanya mengangkat bahu, pura-pura tidak peduli.

Lelaki itu kembali memandang ke luar jendela, matanya tajam merenung dunia luar. Ada beban di matanya. Seorang bapa… seorang guru besar… dan juga seorang lelaki yang menyimpan rahsia lebih banyak daripada yang dia tunjukkan.

“Dengar sini,” suara lelaki itu kembali perlahan, lebih serius. “Aku tak peduli kau nak buat apa di akademi. Tapi ingat satu perkara… Nama keluarga ini ada atas bahu kau. Kalau kau jatuh, aku tak akan hulurkan tangan.”

Kata-kata itu berat, menusuk, walaupun bagi Akira ia bukan miliknya. Namun nada suara lelaki itu sudah cukup membuatkan dia tahu, hubungan Chester dan bapanya memang renggang. Bukan hubungan bapa dan anak… lebih kepada hubungan majikan dan pekerja. Beku. Kosong.

“Faham.”

Hanya satu kata itu yang keluar dari bibir Akira. Dan setelah itu, mereka kembali diam sepanjang perjalanan.

Hanya bunyi roda, tapak kuda, dan bisikan angin petang menemani mereka hingga cahaya senja hampir padam.

Malam turun perlahan, menyelimuti bangunan-bangunan batu dengan bayang-bayang pekat. Kota ini tenang, seolah-olah tiada apa-apa yang aneh berlaku. Namun di dalam rumah kediaman keluarga Kerl, ketenangan itu terasa seperti tirai yang menyembunyikan sesuatu yang rapuh.

Rumah Chester bukan rumah bangsawan biasa. Ia besar, dengan ruang tamu yang luas, dinding berlapis kayu gelap, lampu-lampu sihir menggantung di atas siling tinggi. Elegan, tapi… sunyi. Tak ada suara gelak ketawa keluarga. Tak ada pelayan yang berbual. Hanya gema tapak kaki dan dengusan angin dari celah-celah jendela tua.

Akira melangkah perlahan ke biliknya di tingkat atas, melalui koridor panjang yang dipenuhi lukisan-lukisan potret orang terdahulu. Mata-mata mereka seolah-olah memerhatikannya. Dia cuba mengabaikan rasa tidak selesa yang merayap di belakang tengkuknya.

Sampai saja di bilik, dia mengunci pintu perlahan. Ruang itu luas, mewah, ada rak buku, ada katil empuk tapi semuanya terasa dingin. Perabot-perabot di situ seperti barang hiasan di rumah kosong, hidup tanpa jiwa.

Akira duduk di birai katil, menatap tangannya sendiri.

"Aku… betul-betul masuk ke dunia ini."

Dia masih belum faham bagaimana semua ini terjadi. Semuanya terlalu nyata. Suhu malam, bunyi angin dari celah jendela, malah rasa tegang antara dia dan lelaki yang bergelar ayah tadi… semuanya terasa hidup. Terasa salah, tapi terlalu nyata untuk sekadar mimpi.

Dia memandang ke arah meja kecil di sisi katil. Di atasnya, sebuah buku usang terletak senget. Akira mengambilnya perlahan.

Buku itu bukan sembarang buku.

Itu adalah ‘Magic Revolution’, novel yang dia baca selama bertahun-tahun. Novel dunia ini.

Namun… ada sesuatu yang membuatkan keningnya berkerut.

"Ini jilid terakhir… tapi…"

Dia menyelak halaman demi halaman.

"Apa benda ni?"

Beberapa muka surat di tengah-tengah buku itu — kosong.

Bukan tercabut. Bukan koyak. Tapi kosong… seolah-olah ceritanya berhenti di situ.

Akira meraba halaman yang kosong itu, rasa gelisah perlahan-lahan menapak ke dada. Kenapa novel ini ada di sini? Kenapa ada halaman yang kosong?

Dan kenapa…

Kenapa dia rasa cerita di sini belum selesai ditulis?

Ketukan di pintu memutuskan lamunannya.

“Chester.”

Suara lelaki tua — ayahnya — dari luar pintu. Datar. Dinginnya tidak berubah.

“Aku akan ada urusan di Akademi lewat malam ni. Jangan buat masalah. Faham?”

“Faham,” jawab Akira perlahan.

Langkah kaki menjauh. Kemudian, sunyi.

Akira menggenggam buku itu erat.

Dan jauh di dalam fikirannya… satu nama muncul, membuat dada berdebar sedikit lebih kuat.

Alise.

Tanpa sedar, jemarinya menggenggam lebih erat.

Dia tahu. Esok, hari yang pelik itu akan bersambung lagi.

Dan semuanya bermula malam ini.

Cahaya pagi menyelinap perlahan dari celah langsir bilik. Hangat, redup. Suasana kota masih diam dalam kabus tipis. Bunyi derik jendela tua yang disentuh angin menjadi latar kepada pagi yang kelihatan biasa.

Akira membuka mata perlahan. Pandangannya kabur seketika, namun dia dapat rasakan sentuhan linen katil mewah di bawahnya. Bilik itu… masih bilik Chester. Masih sama.

Dia bangun perlahan. Nafas ditarik panjang.

Dia berbisik sendiri. Perasaan itu, perasaan berat yang tidak dapat dijelaskan. Seakan ada sesuatu yang terlupa. Sesuatu yang… tidak kena.

Namun, ketukan di pintu mengejutkan lamunannya.

“Chester! Bersiap sekarang! Kita akan bertolak sebentar lagi!”

Suara ayahnya dari luar. Suara yang sama, nada yang sama.

"Jangan sampai aku masuk ke dalam bilik itu!"

Akira hampir terlupa, dia harus meniru menjadi Chester. Dia bergerak cepat, menyarungkan pakaian akademi yang tergantung di sisi almari. Tubuhnya bergerak automatik. Walaupun fikiran dipenuhi keraguan, badannya masih mengikuti gerakan rutin, seperti sudah hafal sebelum ini.

Tangannya sempat meleret di atas buku yang sama di meja sisi sebelum dia berlari keluar dari bilik.

Kereta kuda yang membawa mereka meluncur perlahan meninggalkan kawasan rumah Kerl. Jalanan batu kota terasa basah sedikit, bekas embun pagi yang belum habis kering. Kocakan roda kayu menyatu dengan hembusan angin pagi yang sejuk.

Di dalam kereta kuda, ayahnya duduk tegak seperti semalam, tak banyak berbicara. Hanya sebuah lirikan aneh sempat dilemparkan padanya.

“Ajaib. Kau bangun awal hari ni,” ucap lelaki tua itu akhirnya.

Nada suara itu… sama. Ucapan itu sama.

Sejenak, Akira menoleh. Jantungnya berdegup sedikit lebih laju.

“Ya… cuma… tak boleh tidur sangat,” jawabnya cuba bersahaja, meniru gaya Chester seperti sebelumnya.

Ayahnya mengangguk kecil, kemudian kembali diam memandang ke luar jendela. Suasana pagi terasa… biasa.

Terlalu biasa.

Akademi. Bangunan besar batu putih dengan pancaran sinaran pagi yang menyentuh lengkungan atapnya. Bendera akademi berkibar perlahan di tiupan angin. Pelajar-pelajar berseragam berjalan di halaman utama. Senyuman, gelak tawa, perbualan santai—semuanya tampak… biasa.

Namun biasa itu terasa janggal.

Akira melangkah masuk ke kawasan akademi, matanya melirik setiap sudut bangunan, setiap wajah yang lalu di hadapannya.

Setiap langkah yang dia ambil terasa seperti dia pernah melangkah di tempat itu sebelumnya. Setiap suara, setiap bisikan pelajar lain… pernah kedengaran. Tak salah lagi.

Perasaan déjà vu menjalar semakin kuat.

Kemudian, suara yang paling dia cam.

“Menjijikan!”

Alise.

Dia berpaling. Alise berdiri bersama dua orang temannya. Tangan di pinggang, raut wajah menyimpan rasa tak puas hati. Suara, nada, gaya berdiri — semuanya sama seperti semalam.

Seketika, satu demi satu fragmen memori menjelma jelas di fikirannya. Perkataan demi perkataan yang keluar dari mulut Alise—semuanya sama. Gerakan angin menyentuh helaian rambutnya—sama.

Akira kaku seketika. Namun, cepat-cepat dia menarik nafas dan cuba memulakan semula watak Chester. Kalau ini satu kebetulan, dia tak mahu orang curiga.

Sehingga waktu sekolah tamat, semuanya berlaku seperti salinan kasar dari semalam.

Di bawah langit senja yang mula berjingga, Akira melangkah perlahan di halaman luar akademi. Kumpulan pelajar mulai bersurai, ada yang pulang dengan kereta kuda, ada yang berjalan kaki menuju ke kawasan bandar.

Dan sekali lagi — dia mendengar perbualan itu.

"Jadi, petang ni kita terus ke Café Lilin Putih tu, ya? Aku dengar kek karamel di sana baru saja ditambah menu minggu ni.”

“Aku setuju! Dah lama tak lepak luar akademi. Lagipun, cuaca cantik.”

Suara teman Alise berbunyi di telinganya.

Akira berdiri membatu.

Kafe.

Kata-kata itu bergema.

Petang. Kafe. Perkara yang sama berlaku semalam.

Tapi hari ini.

Dan semakin matahari terbenam, rasa aneh itu menebal dalam fikirannya. Bulu roma di lengannya mulai meremang.

Dia pulang ke rumah seperti biasa, dengan ayahnya yang tetap dingin di sepanjang perjalanan.

Malam menjelma.

Dan pagi berikutnya.

Buka mata. Siling kayu tua. Suara angin. Ketukan pintu.

“Chester! Bersiap Sekarang!Kita akan bertolak sebentar lagi!”

Perkara. Yang. Sama.

"Jangan buat aku masuk ke dalam bilik."

Akira duduk, memegang kepala.

“…Apa yang sedang berlaku ni?”

Tiga kali.

Tiga pagi yang sama. Tiga hari yang serupa. Satu salinan yang diputar semula seperti kaset lama.

Dan hanya dia yang sedar semuanya.

Kini, debaran di dadanya bukan lagi kerisauan tentang menyamar sebagai Chester.

Sekarang, persoalannya lebih besar.

Kenapa semuanya berulang?

Dan lebih penting…

Apa sebenarnya yang sedang cuba ‘cerita’ ini lakukan kepadanya?