Bunyi loceng sihir berdenting tiga kali, melantun dari dinding-dinding kristal yang menghiasi menara akademi.
Ruang kelas 3-Arkadium terletak di tingkat empat bangunan timur, salah satu kelas khas bagi pelajar elit yang berjaya dalam ujian kemasukan tahun sebelumnya. Tapi di sebalik nama gah dan suasana prestij itu, ada satu tempat duduk yang paling tidak disukai pelajar lain, tempat duduk Chester Kerl, di sudut kiri belakang kelas, menghadap tingkap besar yang menampakkan taman latihan magik.
Chester duduk di situ kini, berpura-pura melonggarkan lehernya seperti Chester selalu buat. Meja kayu gelap yang disediakan untuknya penuh dengan contengan sihir yang tidak dapat dipadam. Ada ukiran simbol sihir lama, lukisan abstrak, dan perkataan kotor yang pernah diukir oleh pelajar-pelajar terdahulu, semua ditinggalkan di situ kerana ‘Chester tak kisah’.
Di depan kelas, papan sihir terapung bersinar dengan cahaya biru samar. Seorang guru lelaki berusia lingkungan 60-an, berjubah magik yang menjuntai hingga ke lantai, sedang menulis menggunakan pen sihir. Debu-debu cahaya mengikut gerakan jarinya setiap kali dia mencoret huruf kuno di atas papan.
“Topik hari ini: Teori Konduksi Elemen – Kenapa kebolehan sihir boleh melimpah atau kehilangan bentuk?”
Namun bagi Chester, hari ini bukan hari untuk memahami elemen.
Hari ini ialah hari untuk melihat apa rintangan harus dia lalui pula
Suasana kelas tenang. Hanya bunyi kertas diselak, suara pelajar berbisik perlahan, dan helaan nafas malas dari mereka yang sudah bosan dengan kuliah teknikal.
Alise duduk empat baris di hadapan, sebelah tingkap, sama seperti dalam novel Postur tubuhnya tegak, gaya menulisnya kemas. Tapi yang pelik…
Sesekali dia memandang ke belakang.
Ke arah tempat duduk Chester.
Dia tak pernah buat begitu dalam mana-mana jilid yang aku baca... Atau mungkin...
Chester menyandarkan badan ke kerusi. Matanya memerhati sekeliling kelas. Di sisi kanan, sekumpulan pelajar bangsawan yang suka mengkritik secara pasif. Di bahagian depan sekali, tempat pelajar terpandai duduk, termasuk Alexandre Brookhaven, MC dalam dunia novel ni, sangat berkarisma dan popular.
Alexandre, dengan rambut perang keemasan dan sorot mata yakin, sedang tekun mencatat nota. Dikelilingi oleh aura keunggulan, dia memang tampak seperti ‘hero’ novel.
Tapi bagi Akira, dia tahu. Bukan semua hero terlihat seperti hero.
“Chester!”
Nama itu disebut dengan nada tajam. Guru tua di hadapan sudah menuding jari ke arahnya.
Akira tersentak sedikit. “Ya?”
“Berikan saya formula konduksi elemen campuran apabila sihir angin dan air digabungkan untuk menghasilkan bekuan.”
Err… bab ni tak masuk dalam jilid terkini.
Dia bangun perlahan-lahan. “Err… angin dan air… menjadi…”
Gelak ketawa kecil mula kedengaran dari sudut lain kelas.
“Jangan cakap dia tak tahu teori paling asas,” bisik seorang pelajar.
“Dia ada di sini pun sebab ayah dia guru besar.”
Alise menoleh ke belakang. Pandangannya bersilang dengan Akira, tapi tiada reaksi. Hanya renungan kosong.
Guru tua itu menghela nafas. “Duduk, Chester. Seperti biasa.”
Akira duduk semula, diam.
Tapi dalam hati, dia sedang menyusun rancangan.
Bukan untuk jawab soalan.
Tapi untuk cari tahu siapa dalam kelas ini yang tahu lebih daripada yang mereka tunjukkan… dan siapa yang mungkin mencipta loop ini.
Bunyi loceng keempat berdentum, menandakan waktu rehat telah bermula. Suara pelajar mula bergaung memenuhi lorong-lorong akademi.
Chester bangkit dari tempat duduknya tanpa sepatah kata. Pelajar lain mula beransur keluar, sesetengah menolak kerusi dengan kasar, seperti sengaja mahu mengganggu ruangnya. Ada yang hanya melirik penuh jijik, lalu berjalan menjauh, seolah-olah kehadirannya membawa penyakit yang memualkan.
“Apa lagi dia nak buat hari ini agaknya…” bisik satu suara dari barisan kiri.
“Ayah dia patut buang budak tu sendiri dari akademi ni,” kata seorang lagi perlahan tapi cukup kuat untuk didengar.
Chester tidak melayan.
Langkahnya menyusuri lorong kelas yang dibina dengan batu marmar berukir. Tingkap kaca berwarna mencipta pantulan cahaya lembut ke dinding, tapi keindahan itu tidak bermakna apa-apa. Di matanya, lorong ini adalah medan sindiran yang tidak pernah senyap. Bisikan-bisikan mengiringi setiap langkahnya, seperti bayang yang tak mahu berpisah.
“Dia tu pengacau… tapi pandai berlakon tak bersalah.”
“Bayangkan ada orang macam dia di kelas elit. Memalukan.”
Dia terus berjalan. Tidak memperlahankan langkah. Tidak menjawab. Tidak menoleh.
Dia melangkah sehingga tiba di kantin.
Ruang kantin akademi sangat luas, berlantai kayu hitam dengan kemasan emas di bahagian sudut dinding. Lampu sihir berbentuk kristal tergantung dari siling tinggi, memancarkan cahaya keemasan yang memantulkan warna dari piring-piring makanan di setiap kaunter.
Kantin ini bukan sekadar tempat makan, ia juga tempat reputasi diuji. Di sinilah pelajar memilih siapa yang akan duduk dengan siapa. Siapa yang akan dihormati… dan siapa yang akan dibuang jauh seperti sisa makanan.
Chester berjalan tenang ke arah salah satu kiosk makanan ringan di penjuru kanan, tempat pelajar membeli pastri magik, roti cair keju, dan teh herba panas yang popular.
Barisan itu pendek, cuma empat orang. Dia beratur di belakang seorang pelajar perempuan berambut perang ikal, mengenakan jubah rasmi akademi versi musim luruh. Dia tidak kenal siapa, atau mungkin dia patut, tapi Chester kini hanya mampu berpura-pura tahu.
Dia menunduk sedikit, memerhati senarai makanan di papan terapung di depan kaunter.
Tiba-tiba—
"Jangan sentuh aku!"
Jeritan itu bergema ke seluruh kantin.
Semua kepala berpaling.
Pelajar perempuan di hadapannya melangkah ke depan sambil memeluk bahunya sendiri dengan ekspresi terkejut, malah... ketakutan palsu. Mata-mata pelajar lain mulai tertumpu kepada Chester, dan bunyi bisik-bisik mula naik semula, kali ini lebih kuat, lebih menyakitkan.
“Dia buat hal lagi…”
“Aku dah agak. Dia tak pernah berubah.”
Langkah mendatang dari arah sisi membawa kehadiran yang dikenali ramai.
Alexandre Brookhaven.
Wajah tenangnya biasa menyimpan senyuman ringan, tapi kali ini, matanya tajam dan langkahnya pantas. Dia berdiri hanya beberapa inci dari Chester, cukup dekat untuk menampakkan ketegangan antara mereka.
“Chester.” Suaranya perlahan tapi tajam. “Aku tak peduli apa alasan kau. Tapi kalau kau sentuh pelajar perempuan lagi… kali ini aku sendiri yang akan laporkan pada ayah kau.”
Chester mendongak sedikit, memandang Alexandre tepat di mata.
Tiada kata-kata keluar. Tiada reaksi ketara.
Hanya satu hela nafas. Dalam.
Dia kemudian berpaling tanpa berkata apa-apa dan meninggalkan barisan. Pelajar-pelajar yang lalu di sisinya segera menjauh, seperti dia membawa kutukan.
Bunyi kasutnya menyentuh lantai kayu menjadi irama yang sunyi dan pahit, berlawan dengan hingar kantin yang kembali sibuk.
Namun dalam benaknya—
“Kalau loop ini tentang menyelamatkan Alise... kenapa dunia seakan-akan mahu aku tenggelam dulu?”
Dan barangkali... bukan semua fitnah datang dari mulut manusia.
Ada skrip yang sedang dimainkan. Dan Chester bukan penulisnya.
Satu hela nafas dilepaskan.
Chester berjalan perlahan menuju ke sebuah tempat yang sering watak ini pergi, taman belakang akademi.
Taman belakang akademi bukan tempat yang ramai tahu. Ia tersembunyi di balik gerbang lengkung yang diliputi bunga liar dan semak berduri. Lorong sempit yang membawa ke sana sudah lama tidak dirawat, lantainya dipenuhi dedaun kering dan akar kecil yang menyelinap dari tanah.
Di sinilah Chester duduk kini.
Di bawah sepohon pokok tua yang dahannya menjalar lebar seperti payung raksasa.
Angin bertiup lembut, membawa aroma kayu lembap dan bau samar bunga liar yang hanya mekar pada musim gugur.
Tempat ini bukan sekadar tempat bersembunyi.
Ia satu-satunya ruang yang tidak menuntut dia menjadi seseorang.
Tiada guru yang menyindir, tiada pelajar yang mengata.
Tiada siapa yang memanggilnya Chester si pengacau.
Dia menyandarkan tubuhnya ke batang pokok. Nafasnya berat, namun tenang, seperti mengusir semua bisikan kotor yang mengelilinginya sepanjang hari.
"Kalau ini betul-betul dunia yang aku baca… kenapa aku bukan jadi watak utamanya?"
Dia memejamkan mata.
"Kenapa aku tak jadi Alexandre Brookhaven? Orang yang dihormati. Disukai. Diberi peluang. Yang boleh cakap dengan Alise tanpa dia menjeling macam nak tikam."
"Kalau aku jadi dia… pasti semuanya akan mudah. Aku tak perlu pura-pura. Aku tak perlu bimbang tiap langkah. Mungkin Alise akan senyum... bukannya tampar aku."
"Tapi takdir pilih Chester."
Dia mengangkat tangan, melihat jari-jarinya sendiri, masih belum terbiasa dengan tubuh ini.
"Seorang lelaki yang aku sendiri benci ketika membaca cerita itu. Lelaki yang pernah… hampir buat Alise kehilangan maruah di pesta akademi. Lelaki yang semua orang doakan agar dikeluarkan dari cerita."
Nafasnya bergetar sedikit.
"Aku tak tahu siapa yang pilih aku masuk ke sini. Tapi kalau dia dengar… aku cuma nak tahu satu perkara. Kenapa aku perlu masuk ke dunia ini... sebagai orang yang paling tak layak dicintai?"
Dia tunduk. Tenang. Tapi jauh di dalam jiwanya, retak.
Angin berdesir perlahan, menggoyangkan rumput tinggi di sekelilingnya.
Tiba-tiba—
"A-Apa yang kau buat di sini... sendirian?"
Satu suara perempuan kedengaran dari arah laluan masuk.
Chester terangkat kepala.
Langkah kakinya segera membawa dia memanjangkan leher sedikit, menjenguk dari celah pokok.
Alise.
Berdiri di antara dua batang pokok kecil, wajahnya sedikit memerah, tapi bukan kerana marah. Kedua-dua tangan di belakang punggung, seakan-akan berusaha menyembunyikan rasa tidak selesa sendiri. Bahunya agak tegang, tapi suaranya cuba kelihatan tenang… walaupun jelas ada getar halus.
“Tempat macam ni… tak sesuai untuk orang macam kau,” sambungnya lagi, dengan nada tsundere yang hampir… lucu, jika tak kerana degup jantung Chester yang kini mulai rancak.
Dia bangkit perlahan dari duduk.
“Tempat ini milik sesiapa saja yang sudi lari dari caci maki,” balas Chester pendek, nadanya tidak pedas seperti biasa. Dia ikut dialog yang pernah watak ini ucapkan ketika ayahnya menyoalkan perkara yang sama.
Alise terdiam sejenak.
Angin menolak anak rambut keemasan di wajahnya. Cahaya matahari petang menyinari sisi pipinya yang kemerahan.
“Aku cuma… lalu,” katanya, perlahan.
Chester mendongak sedikit, menyipitkan mata.
“Ikut aku masuk ke sini?”
Alise berdehem kecil dan memalingkan muka. “Kau fikir aku nak cari kau ke? Jangan perasan.”
Dia berpaling hendak pergi… tapi tidak bergerak. Hanya berdiri memandang ke arah bunga liar di tepi kolam kecil.
Beberapa saat sunyi mengalir di antara mereka.
Kemudian, suara Alise kedengaran semula. Perlahan. Jujur.
“…Semalam… di kafe.”
Chester tak menjawab. Dia tunggu.
“Aku tahu apa yang kau buat.”
Dia menoleh.
“Kenapa kau buat begitu? Kau tak dapat nama baik. Kau tak dapat apa-apa. Tapi kau selamatkan aku.”
Chester menghela nafas.
“Aku dah kata kalau itu cuma sebuah kebetulan saja. Berniat untuk ganggu je”
Mata Alise membulat sedikit, tapi dia tidak bertanya lanjut.
Seolah-olah… dia memahami maksud itu.
Tapi yang paling mengejutkan, dia tidak pergi.
Dia hanya berdiri di situ, memandang Chester, memegang perasaan yang dia sendiri tidak dapat tafsirkan.
Mungkin untuk pertama kali, bukan hanya Chester yang keliru.
"Benarkah?" Nada Alise perlahan dengan sedikit ragu-ragu.
Chester menghela nafas panjang lagi, dan bertanya balik.
"Kalau memang betul aku semalam berniat nak selamatkan kau, apa kau ingin lakukan sekarang?"
Alise melihat ke arah Chester dengan reaksi yang keliru. Dia mengetap bibir. Menyusun jawapan yang pasti.
"Takde... Takde apa pun" Jawab Alise sedikit malu.
"Kalau begitu, aku nak sorang-sorang kat sini" Chester menyilangkan tangan dengan membuat wajah malas
Kemudian, dia melangkah ke arah tempat dia berehat dengan badan berpaling daripada Alise.
"Nak aku temankan?"
Degup jantung Chester berdetak kencang. Langkahnya terhenti seketika.
Tidak... Tidak mungkin Alise akan berkata begitu kepada Chester. Ini cuma prank kan. Mesti dia akan jerit macam pelajar perempuan tadi dan nanti pasti Alexandre akan datang lagi dan tunjuk aksi 'hero' dia.
Jadi menyampah pula daripada karakter yang dia mainkan sekarang.
"Aku takkan termakan umpan korang lah. Nak tundukkan aku konon!" Nada Chester sedikit kuat. Emosinya hampir membuak-buak, tetapi dia perlu pertahankan karakter Chester.
"Apa maksud kau?" Soal Alise.
Wajah Alise seolah-olah keliru, entah sengaja atau tidak, Chester tidak tahu. Dia tidak mahu lagi termakan perangkap percakapan manis kerana dia tahu dirinya dalam dunia ini pernah termakan umpan yang sama, oleh Alise sendiri.
"Sudahlah, baik aku lompat pagar, ponteng dari akademi. Tak peduli pun kau nak lapor kat ayah aku pun" ucap Chester dengan langkahnya sudah mulai memanjat pagar besi itu.
"Biar aku ikut sekali!" Ucap Alise.
Chester memandang Alise dengan tatapan tak pasti. Dia melihat wajahnya, tiada rasa benci, tiada rasa jijik. Tapi satu tatapan yang seolah-olah berani menantang dirinya.
Chester mengendahkan hal itu lalu melompat dari pagar itu dan berjalan menjauhi akademi. Dia menoleh ke belakang
"-!?"
Alise mengikutinya dari belakang.
Apahal dengan dia ni?
Sebuah tanda tanya yang tak dapat dijawab dengan pasti. Dan sudah tentu... Jawapan itu mungkin akan dia dapat jika dia biarkan Alise terus mengikutinya atau menjawab soalan yang dia berikan awal tadi.