Episode 1 : Pertemuan Pertama

CITRA FATAMORGANA

Episode 1 : Pertemuan Pertama

( POV- sudut pandang pertama )

Aku terpaku menyaksikan suasana yang belum pernah ku lihat seumur hidupku. Di manakah aku kini? Tempat ini seakan-akan diselubungi misteri yang belum terungkap.

Pandanganku liar menyapu kiri dan kanan, memerhati setiap inci persekitaran yang asing namun menenangkan. Langkahku terus diayun, perlahan namun pasti, membawa diriku semakin jauh ke dalam keindahan yang memukau.

Sehinggalah mataku terpaku pada suatu fenomena air terjun yang mengalir megah dari tebing tinggi, mencurah-curah bak untaian permata jatuh dari langit. Suara gemericik airnya meresap jauh ke dalam jiwaku, membelai fikiran yang pernah kacau, kini menjadi tenang.

Burung-burung berterbangan riang di sekitar pohon-pohon rendang yang berdiri megah berdekatan denganku. Alam seolah-olah menyambut kehadiranku ke dalam dunia yang penuh rahsia ini.

Aku terus melangkah lagi, menyusuri permukaan yang bening hingga kaki ku tenggelam di tengah-tengah air yang sejernih kaca. Dingin yang menyapa terasa menusuk hingga ke tulang, namun memberi ketenangan yang sukar diungkapkan.

Tiba-tiba, terasa ada jemari halus menyentuh bahuku lembut seperti sutera yang membelai kulit. Seiring itu, hadir pula haruman yang memikat, semerbak bak untaian kasturi yang tersembunyi di balik bayang.

Aku menoleh ke belakang, dan di hadapanku terpampang sosok seorang wanita anggun, berpakaian seperti kerabat diraja dari zaman silam. Keindahan wajahnya disempurnakan dengan senyuman yang begitu memukau memancar bagai cahaya bulan di permukaan tasik.

Siapakah gerangan si jelita ini? Pandangannya melirik penuh keayuan, hingga lidahku kelu, tiada kata mampu terucap. Hanya hati yang terpaut, terbuai dalam pesona yang tak terjangka.

"Engkaukah itu? Lama benar aku menantimu, wahai jejaka yang hatinya telah luluh oleh getir cinta dunia nyata. Berapa kali luka menyapa hatimu yang setia? Berapa kali kepercayaanmu dikhianati tanpa belas? Alangkah pilunya takdir yang kau tanggung, begitu berliku dan mencengkam jiwa. Namun bersabarlah, izinkan aku membuktikan ucapanku ini bahawa malammu yang kelam akan disinari cahaya rembulan, dan bintang-bintang yang berkelipan akan mendendangkan damai, menghantar bahagia yang telah lama engkau tunggu.”

Itulah sebuah kata-kata yang diucapkan oleh wanita misteri berdiri berhadapan denganku. Ketika itu, aku masih terlena dengan kata-kata yang begitu manja sekali didengari. Aku seperti membisu melihat pandangan wajah yang begitu jelita. Dia memejamkan matanya seketika, sepertinya dia sedang membuat kaku ku pulih kembali.

“Siapakah dirimu? Dini manakah tempat keberadaan ku ini?”

Dia terus tersenyum sambil melihat ku dengan pandangan yang begitu indah.

“Andai hatimu masih percaya bahawa tempat ini terindah di antara segala ciptaan, maka kelak kau akan menganggapnya sekadar bayangan khayalan semata. Namun sebelum itu, izinkan aku bertanya. Berapa kali dirimu dihancurkan oleh wanita yang kau cintai? Berapa kali kepercayaanmu dikhianati, hingga akhirnya kau temui aku di sini… di tempat yang diselubungi misteri dan penantian tanpa suara?”

Aku mula menghayati setiap butir kata yang terucap dari bibirnya. Sungguh, setiap ucapan yang lahir dari dirinya terasa begitu mendalam, seolah menyentuh ke dalam jiwaku. Saat aku ingin membalas dengan bicara, tangannya menggenggam tanganku erat sehingga tuturku terhenti, dan bibirku terkunci tanpa kata.

"Renungilah tempat ini," tuturnya dengan suara sehalus embun, "akan kupimpin langkahmu ke sebuah dunia yang dipeluk keindahan, tempat di mana duka yang pernah disemai oleh perempuan yang melukai hatimu, lenyap bagaikan debu dihembus angin senja.”

“Bolehkah aku bertanya, siapakah namamu?” Aku bertanya kepadanya.

"Tidak perlu engkau tahu siapa namaku. Cukup sekadar kau mengenali insan yang rela menggenggam tanganmu ini dalam diam dan setia," ucapnya perlahan.

Ketika itu, dia membimbing langkah kakiku menuju ke permukaan sebuah gerbang air terjun. Namun sungguh menghairankan, air terjun itu langsung tidak membasahi tubuh kami. Bahkan setitik percikan pun seolah-olah menghindar.

“Kenapa badan kita berdua tidak terkena percikan air terjun ini? Dan kamu membawa aku ke gerbang permukaan ini untuk apa sebenarnya?” Aku bertanya kepadanya.

“Inilah tempat kediaman ku, dan kau juga akan tinggal bersama ku walaupun seketika. Aku berjanji membuatmu bahagia bersamaku walaupun seketika. Aku juga berjuang menyembuhkan hati dirimu yang masih terluka.” Katanya.

Dia terus memimpin langkahku masuk lebih dalam ke dalam gua itu. Sesekali, dia menoleh ke arahku, wajahnya penuh misteri dan tenang.

"Apakah gelap ini meragut seluruh cahayamu? Namun sabarlah, kerana kelak akan hadir sinar yang membelah kegelapan ini. Lihatlah, setitik cahaya jauh di ufuk sana, kecil namun teguh, itulah janji yang bakal menerangi kita bersama. Dan aku berdoa agar engkau akhirnya merasai apa yang belum pernah menyentuh hatimu selama ini. Kehangatan rasa yang tidak dapat diungkap oleh kata, hanya dapat dirasai oleh jiwa yang menanti.” Dia berbisik kembali.

Setelah aku dan dia tiba di tempat yang kami impikan bersama, aku terpaku melihat keindahannya. Tempat itu kelihatan seperti sebuah istana. Aku nampak sebuah mahkota berlapis emas, berkilau dengan permata yang memancar cahaya.

"Aku telah membaca isi hatimu, kau memandang ke arah mahkota itu, bukan? Ketahuilah, mahkota itu akan menjadi milikmu suatu hari nanti. Kerana dirimulah yang paling layak memilikinya. Pakailah ia tanpa ragu, kerana kebahagiaan itu milikmu. Dan tiada sesiapa pun yang berhak menghalangnya.” bisiknya penuh yakin.

Aku terkejut. Dia mampu membaca fikiran dan isi hatiku! Siapakah sebenarnya wanita misteri ini? Bagaimana dia tahu segala yang tersembunyi dalam diriku? Tubuhku mula bergetar. Ketakutan menjalar seperti kabus yang menyelimuti jiwaku. Namun sebelum aku sempat melangkah mundur, dia merangkul tubuhku erat.

“Jangan takut, aku akan membalas segala yang telah menghancurkan hidupmu selama ini. Katakan padaku, dengan pelukan ini masihkah kau merasa takut?” bisiknya lembut ditelingaku.

Hatiku kembali tenang sebaik mendengar bisikannya. Perlahan-lahan aku memandang wajahnya semula. Namun tanpa sepatah kata, dia menghulurkan sekuntum bunga mawar kepadaku. Aku menyambutnya dengan tangan yang sedikit bergetar. Sebaik sahaja jari-jariku menyentuh kelopak mawar itu, satu fenomena aneh menyelubungi diriku. Perasaan yang belum pernah aku rasakan sebelumnya. Degup jantungku berubah irama. Wajah wanita ini seolah-olah aku pernah melihatnya. Di mana?! Bilakah?! Adakah ini yang disebut sebagai deja vu?!!

“Sudahkah kau kini benar-benar faham?” tuturnya sambil menghadiahkan senyuman yang menusuk ke dalam jiwaku.

“Tetapi... aku masih belum memahami semua ini...” Saat aku hendak menghabiskan bicara, dia menyentuh bibirku dengan jemarinya yang halus dan lembut.

“Sudahlah, tak perlu berbicara lagi. Anggaplah ini sebagai pertemuan pertama kita dan akan ada kejadian-kejadian bermisteri yang belum kau ketahui. Aku hanya mahu kau menjalani semuanya dengan hati yang terbuka.” bisiknya perlahan.

Dia menggenggam tanganku, membawaku ke suatu tempat yang tenang. Di hadapan kami terbentang sebuah kolam jernih, permukaannya berkilau disinari cahaya yang lembut. Ikan-ikan berenang riang, seolah-olah menyambut kehadiran kami berdua.

“Lihatlah, ikan-ikan itu menyambut kedatangan kita.” bisiknya sambil tersenyum.

Tiba-tiba, dia memercikkan air kolam itu ke wajahku. Tawanya pecah, begitu jernih dan menggembirakan. Aku tersentak sebentar, lalu membalas dengan tawa yang sama dan aku pun memercikkan air ke wajahnya. Suasana menjadi riang, seolah dunia hanya milik kami berdua pada saat itu.

Wahai citra fatamorgana sejati,

Rayuan apa yang telah kau beri,

Sehingga malam terdiam sepi?

Lirikan matamu sentiasa menghantui,

Sungguh menjelma tersandar di hati,

Kian lama menanti tapi tak pernah kembali,

Bersambung....

Penulis : Jerryson Cpyrian