Darjah 6 Part 4

Sesungguhnya, tahun 2006 adalah tahun yang mencabar buat aku. Selalunya aku berasa geram dengan sikap S. Entah la, mungkin ada silap aku dimana-mana yang membuatkan dia sengaja kenakan aku. Aku tidak menyimpan dendam malah aku gembira apabila melihat perkembangan kehidupannya yang sekarang. Kami berpisah kerana masing-masing memasuki sekolah yang berbeza. Aku memilih untuk ke sekolah harian kerana aku seorang yang mudah rindukan rumah. Aku gembira sepanjang bersekolah di sekolah ini kerana disini aku betul-betul rasakan jalinan persahabatan antara aku dengan rakan-rakanku sangat kuat.

Kisah kali ini tidak lah terlalu panjang. Aku pun ingat-ingat samar sahaja. Banyak perincian cerita yang aku tidak berapa ingat dan aku tidak dapat mencantum cebisan ingatan aku untuk dijadikan satu cerita panjang. Kisah terjadi pada hujung tahun cuti persekolahan darjah 6. Kalau tak salah, peristiwa ini berlaku selepas keputusan UPSR diumumkan. Rata-rata daripada kami telah mendapat keputusan UPSR yang sangat cemerlang. Boleh dikatakan 'batch' kami telah mengharumkan nama sekolah pada tahun tersebut kerana hampir separuh pelajar darjah 6 memperolehi keputusan 5A dan 4A. Ia merupakan satu kejayaan yang boleh dibanggakan kerana sekolah kami hanya sekolah biasa dan sekolah kampung.

Rakanku merancang untuk mengadakan parti perpisahan, kononnya bahawa kami semua akan berpisah membawa haluan masing-masing. Bagi pendapat aku, perkara ini sangat melucukan kerana parti ini hanya diadakan untuk 2 kelompok sahaja iaitu kelompok lelaki 'hot' dan kelompok perempuan 'hot'. Sampai sekarang aku tertanya-tanya kenapa aku boleh tergolong dalam golongan perempuan 'hot' sedangkan aku ini hanyalah indah khabar dari rupa. Maklumlah, ahli kumpulan 'hot' tapi hakikatnya aku seorang 'duhhh'. 'Hot' yang aku gunakan bukanlah bermaksud panas atau seksi. Ia adalah simbolik kepada perkataan 'popular' atau terkenal.

Baiklah, kembali kepada cerita asal kita. Aku lupa siapa yang tetapkan tarikh dan tempat parti tersebut. Sejujurnya, aku tidak ingin pergi ke majlis tersebut kerana aku malas nak mengadap muka S dan N. Tepat sekali, kisah ini berlaku selepas kisah Darjah 6 Part 3.

Dear Myself from 14 Years Ago,

Aku bingung kenapa aku boleh bersetuju untuk pergi ke parti perpisahan ini. Kalau boleh aku dah tidak ingin mempunyai apa-apa hubungan dengan mereka semua. Cukup lah hati aku terluka selama 3 tahun ini. Walau macam mana pun, aku tetap juga berdiri di depan restoren ini. Mereka telah menempah satu ruang makan peribadi yang berhawa dingin sebagai tempat parti perpisahan ini berlangsung. Not bad, fikirku. Aku tak nak orang luar fikir kenapa tiba-tiba ramai budak-budak bawah umur makan di restoren ini dan pada waktu malam begini. Aku malu.

Sangat berat kakiku melangkah masuk kedalam restoren ini. Jujur. Ini kali pertama aku menjejaki restoren tersebut. Restoren ini merupakan satu-satunya restoren yang menyediakan menu chicken chop. Dahulu, tiada KFC atau Mcd atau restoren makanan segera di kampungku. Boleh dikatakan restoren yang dipilih rakanku merupakan restoren yang cukup 'decent' dan ekslusif. Cukup 'decent' sehinggakan aku mundar-mandir mencari ruang makan yang ditempah oleh rakanku. 'Oh, adik pergi depan sikit, belok kiri. Yang sliding door, ha tu la bilik yang ditempah'. Setelah mengucapkan terima kasih kepada pelayan kerana membantuku lalu aku pergi dengan mengikuti maklumat yang telah diberikan.

Aku berdiri menarik nafas dalam-dalam di hadapan pintu tersebut sebelum membukanya dengan cara menolak pintu ke kanan. Sejuk. Itu yang kurasakan setelah pintu dibuka. Crap! Pakaian aku tak cukup tebal untuk menahan kesejukan begini. Cerahnya bilik ni! Apabila mataku telah dapat menyesuaikan dengan kecerahan yang tiba-tiba, aku lihat, terdapat satu meja panjang ditengah-tengah ruang dan dikelilingi oleh hampir 20 kerusi. Rupa-rupanya semua rakanku telah tiba di sini. Mataku meliar mencari kerusi kosong. Aku nk duduk di bahagian hujung, tolonglah tolonglah. Berdoa ku.

'Sini ada kosong, D!' Mataku terarah pada kerusi kosong tersebut. Nampaknya aku tak ada pilihan, duduk je la. Aku melabuhkan punggungku dan melihat suasana sekeliling bagi menghilangkan rasa janggal. Terbeliak mataku bila aku dapat tahu orang yang berada bertentangan denganku adalah N. Hmm. Tak makan la aku malam ni.

Banyak yang aku lupa dalam kisah ini. Yang aku boleh simpulkan, aku kesejukan. Aku hanya mendiamkan diri hampir 30 minit. Aku rasa ingin segera pulang. Aku rasa menyesal bersetuju untuk datang kesini. Aku tak ada selera nak makan chicken chop sebab N ada didepanku. Aku tak tahu apa yang kawan-kawanku berborak. Aku gementar kesejukan dan gemuruh kerana ini adalah kali pertama aku keluar makan dengan rakan sekelasku yang lelaki.

Seingatku, salah seorang daripada mereka bertanya kepadaku kenapa aku tak sentuh makanan itu dan aku hanya menggelengkan kepala. Setelah itu, majlis masih belum tamat lagi tetapi aku sudah bangun untuk pulang ke rumah. Aku letakkan duit harga makanan chicken chop untuk seorang di atas meja dan aku keluar dari bilik tersebut. Suffocated. Aku rasa lemas. Lemas dengan situasi dan keadaan bilik tersebut. Sempit dan tertutup. Tiada aliran pengudaraan. Sumpah, aku tak akan datang lagi ke sini.

Keseluruhannya, aku berpendapat bahawa kisah ini berterabur dan kabur dalam mindaku kerana keadaan asal peristiwa ini memang melemaskan aku. Tiada satu pun perkara yang menyedihkan bagiku dalam kisah kali ini. Puas aku cuba ingat babak demi babak, tapi tidak berhasil.

Tuan-tuan dan puan-puan, para pembaca sekalian, pernahkah anda berada dalam situasi seperti penulis?