BAB TIGA BELAS

Lama juga Vee duduk berteleku di atas tikar sejadahnya. Dia cuba untuk memuhasabah diri sendiri dengan duduk berzikir dan berwirid. Hatinya yang kacau dan berkecamuk pasti akan tenang jika dia mulai bersujud dan berzikir. Entah berapa lama dia hanya duduk berdiam diri di situ, dia sendiri tidak pasti. Apa yang dia tahu, setelah kakinya mulai terasa lenguh dan sakit barulah dia tersentak dari monolog jauhnya sebentar tadi.

Puas mencermin diri sendiri di atas tikar sejadah dan berdoa untuk di permudahkan segalanya, dia akhirnya bangkit dari tempat solatnya dan berlalu keluar ke balkoni untuk menghayati suasana malam itu sendirian.

Dia berdiri menghadap arah Laut China Selatan yang beribu batu jauhnya sambil menutup mata, cuba untuk menghayati suasana tenang itu. Hembusan angin malam yang bertiup sepoi - sepoi bahasa pada malam itu benar - benar memberikannya satu perasaan tenang dan damai. Dengan menarik nafas dalam beberapa kali, dia mengukir senyuman nipis kerana masih di berikan peluang untuk menghayati keadaan indah itu. Sesekali anak matanya akan singgah ke arah balkoni sebelah yang kini gelap.

Sudah pasti Ariel sudah lama terlena. Malam pun bukannya masih muda lagi. Waktu sudah pun hampir mencecah pukul satu setengah pagi dan dia sendiri masih lagi berdiri di luar cuba untuk mencari secebis ketenangan untuk dirinya malam itu. Vee mendongak ke atas dada langit yang kelihatan terang dengan cahaya bulan dan bintang yang bersinar menerangi segenap ruang dada langit yang cukup cantik dan sempurna sekali pada pandangan matanya.

Vee mengucap syukur di dalam hati beberapa kali. Cahaya malam yang cukup terang dan indah itu mampu menyuluh segenap penjuru ruang bumi tanpa ada sebarang cacat celanya. Bak kata pepatah orang - orang lama, di mana ada bulan, pasti bintang akan turut sama menemani. Begitu juga dengan air laut yang pasti akan singgah ke pantai jua biarpun cuma seketika. Sama seperti manusia juga, sejauh mana kitta pergi atau sebanyak mana harta kekayaan yang kita ada pasti kita akan kembali jua kepada sang pencipta yang Esa.

Vee kembali memejamkan matanya. Rambutnya yang panjang di biarkan lepas dan di tiup angin malam yang lembut. Senyumannya lebar. Dia benar - benar sudah kembali berasa tenang semula. Tidak ada lagi perasaan sakit hati mahu pun perasaan tidak puas bersarang di dalam hati dan juga mindanya. Dia berpeluk tubuh dengan mata yang masih lagi segar.

Dia langsung tidak menyedari kehadiran Ariel di balkoni sebelah sejak tadi, yang begitu asyik memerhatikannya dalam diam. Vee yang masih lagi termenung jauh, mengerut dahi bila terdengar satu suara yang cuba untuk mengganggu ketenangannya. Dia tarik muncung panjang.

"Psst... psst..." Vee membuka kelopak matanya perlahan - lahan. Dia berpaling. Ariel melambaikan tangan padanya. Vee sekadar membalas dengan tersenyum tipis. Ariel memang kelihatan lebih berbeza dan tampan bila mengenakan pakaian sebegitu. Wajahnya kelihatan jauh lebih matang.

Lengan kemejanya di singsing ke paras siku dengan ikatan tali leher yang sengaja di longgarkan dengan beberapa butang baju kemejanya di biarkan terbuka, membuatkan dia kelihatan lebih maskulin. Pandangan Ariel membuat Vee tidak senang berdiri. Dia melarikan pandangannya ke dada langit semula. Ariel berdehem seketika. Dia berpeluk tubuh.

"Kenapa renung bulan?" Vee sekadar jungkit bahu selamba tanpa mengalihkan sedikit pun pandangannya.

"Dari U mendongak ke atas renung bulan dengan bintang yang tetap akan bersinar macam itu, baik U pandang I dekat sini, lagi baik dan berfaedah!" Vee tersenyum dengan cebikan lucunya. Usikan Ariel itu mengundang satu perasaan aneh di dalam hatinya yang mula berdegup kencang.

"Saya bukan renung bulan dengan bintanglah!" balas Vee acuh tidak acuh. Ariel sekadar tersengih lucu. Senyuman Vee membuatkan hatinya berdetik hebat.

"Habis tu yang asyik sangat mendongak dekat atas tu, kenapa?"

"Saya tengah kira bintanglah!" Balas Vee berlelucon.

Ariel ketawa. Satu perubahan yang agak baik di antara mereka berdua bila Vee mulai hendak bergurau dengannya. Ariel jungkit kening. Dia gembira melihat perubahan gadis itu dalam diam.

"Sesekali tu nak jugak tengok kalau - kalau wajah kekasih saya ada dekat situ. Kirim salam melalui angin, bertanyakan khabar berita dia yang nun, nun jauh dekat sana..." ujar Vee sambil ketawa.

Ariel turut kuntum senyuman lucunya.... Too much fairytale stories!! Ni mesti layan novel cinta banyak sangat sebab itulah dia cakap macam tu... Urm.

"Awak pulak dari mana? Segak semacam je..."

"Adalah. U tak penat?"

"Penat? Why should I? saya bukannya ada buat kerja berat pun" ujar Vee dengan kening yang bertaut. Dia tidak faham dengan maksud kata - kata Ariel itu.

"Iyalah, kan dah lewat ni... awak tak penat? Tak mengantuk lagikah?" Vee akhirnya angguk faham.

"Tak! Saya okey lagi. Awak tu yang kena tidur sekarang. Dari tadi asyik menguap je saya tengok. Tidur ajelah Ariel" Ariel kembali tersengih semula.

Memang betul apa yang di katakan oleh gadis itu. Dia perlukan rehat dan tidur yang cukup. Masalah yang dia sedang lalui sekarang terlalu banyak hingga membuatkan dia mudah berasa letih dan penat. Namun Ariel berat hati untuk meninggalkan Vee bersendirian, melayan perasaannya di situ malam itu. Peluang yang terbuka seperti itu harus di manfaatkan Ariel dengan sebaiknya.

Senyuman Vee yang kelihatan lebih ikhlas dengan tutur bicara yang lembut dan pandangan mata yang bagi Ariel cukup teduh dan redup itu menggetarkan hati Ariel dalam diam tanpa Vee sedari. Hatinya yang mulai berlagu sumbang membuatkan dia semakin berani untuk meluahkan apa sahaja yang terlintas di ruang mindanya saat itu.

"Mata I ni memang dah mengantuk. Tapi ni hah... berat hati nak tinggalkan U sorang - sorang dekat sini. Habis tu nak I buat macam mana kalau hati I berat hati nak tinggalkan U?" ujar Ariel sambil menunjuk pada dada kirinya yang semakin berdebar hebat. Pandangan Vee juga membuatkan hati lelakinya semakin terusik hebat.

Takkan dia pun runsing jugak? Humm... kenapa kami perlu melalui detik dan masalah yang sama? Perlu duduk berjiran dan belajar di kampus yang sama sedangkan pada hakikatnya kami sering tidak sehaluan pun! Mengapa cuma dia seorang saja yang sering buat aku naik angin? Takkanlah... mustahil!!... Vee kembali kuntum segaris senyuman manis.

"Apa yang awak nak runsingkan, Ariel? Awak bukannya suami mahu pun tunangan orang, iya tak? Lainlah kalau awak ada masalah dengan kekasih awak tu..." Ariel ketap bibir. Namun dia tidak mencela dan membiarkan gadis itu untuk meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya.

"Nak kata exam lambat lagi. Takkanlah awak nak kahwin lari dengan buah hati awak kot... siapa gadis tak bertuah tu?" Ariel mengerling tajam. Mulut gadis itu memang cukup lancar bila berkata - kata. Ariel lepas keluhan kecil. Dia melontarkan pandangannya jauh ke hadapan.

"Habis tu, U nak hidup membujang?"

"Of course lah tak!! Cuma saya rasa jodoh saya lambat lagi. Awak?"

"Samalah. Tapi rasa - rasanya jodoh I sudah agak dekat dah... cuma, kadangkala tu I terasa dia macam sengaja nak menjauhkan diri dia dari I pun ada jugak! Humm... entah apa lagi yang I nak kena buat untuk bagi tahu dekat dia tu..." balas Ariel sedikit lemah.

Vee angkat kening tinggi. Dia merenung wajah itu di balik cahaya lampu yang terang..... Asyik sangat mengeluh dari tadi... berat sangatkah masalah Jepun sesat ni sampai poyo macam tu sekali? Atau dia sengaja nak reka cerita supaya aku dapat berkongsi masalah dengan dia?

"Baik awak berehat sajalah, Ariel. Tengok muka awak macam tu, buat saya rasa letih pulak. Masalah, takkan pernah selesai..." Ariel tersenyum.

"I tak boleh tidur kalau orang dekat sebelah tu, tak tidur jugak!" Vee ketawa.

Pandai juga Ariel bergurau rupanya. Terbayang wajah Aloy di ruangan matanya.... Apalah agaknya yang Aloy sedang buat sekarang dekat oversea tu?...

"Ehem.... ehem!" Vee menoleh berpaling ke arah Ariel yang sedang merenungnya. Entah apa yang mencuit hati lelaki itu sehinggakan dia tersengih - sengih sendiri.

"U tidur ajelah. Tak perlu ikut macam I ni yang dah biasa tidur lewat malam" ujar Vee mengikut slang Ariel yang ber I dan ber U dengannya.

Kadang - kadang Ariel turut menggunakan ayat kau, awak atau saya dengan Vee bila berbual dan ia kedengaran agak janggal pada pendengaran telinga Vee kerana dia tahu Ariel sudah terbiasa menggunakan I dan U.

"Nanti terkejut pulak bakal wife U tengok, mata U lebam kena belasah dengan bantal!" sambung Vee berseloroh, lucu. Ariel turut ketawa kecil.

"I belum ada calon isteri lagi! Setakat ni I masih single lagi tau. U pulak?"

"Muka macam I ni tak boleh memilih sangat. Boyfriend tak ada lagi, inikan nak pilih calon suami, gilakah apa!"

"Eleh, cakap aje tu. Padahal dalam hati tu dah ada orang yang punya..." Vee menarik muncung panjangnya. Ariel ketawa bila melihat gadis itu mulai merajuk dengannya semula.

"Busy, apasal?"

"A'ha... U ni memang pantang kena usik sikit dengan I mulalah nak buat muka macam tu. Melenting dengan I... but just forget it. Seriously, I nak tanya U kenapa U menangis petang tadi?" Ariel teringat dengan peristiwa, guli yang di lempar oleh Vee petang tadi yang meretakkan skrin telefon bimbitnya.

Dia teringin untuk mengetahui apakah masalah yang sedang di hadapi oleh gadis itu. Ariel tahu, angin Vee memang sukar untuk di ramal. Bila - bila masa sahaja angin La Nina, Tsunami dan ribut dia boleh datang merasuknya. Tapi sebagai seorang sahabat dan juga jiran, tidak salah kalau dia tahu apa masalah yang sedang melanda jirannya itu. Mana tahu dia boleh memberikan pertolongan mahu pun nasihat.

"Adalah... thanks for asking!"

"Okey. I faham kalau U tak nak berkongsi masalah dengan I. Erm, by the way besok awak free tak? Awak ada kelas?" Vee jungkit keningnya tinggi.

Biar betul Jepun sesat ni! Dia nak ajak aku keluar dating dengan diakah?? Aisssh... jangan. Nanti ramai yang makan hati berulam jantung pulak kalau nampak aku keluar dengan kau! Hehehe...

"I nak ajak U keluar dengan I. Just for a drinks, nothing else... I swear!" sambung Ariel lagi. Suaranya terasa sedikit bergetar. Pandangan Vee juga membuat Ariel resah menunggu jawaban.... Please say yess, please, please!!

"Untuk apa?"

"Ooo, U jangan salah faham pulak! I tak ajak U pergi date tau. I saja nak ajak U keluar sebagai tanda yang kita dah berbaik dan boleh jadi kawan. Itu aje..."

"Ooo, macam tu... okey. Nak jumpa dekat mana?" cantik! Alhamdulillah.... Jawaban Vee itu membuat Ariel kembali ceria. Dia kuntum senyuman lebar.

"Besok, dekat... erm, dekat... nanti jelah I bagi tahu U dekat mana. Tak pun I datang jemput U, okey?"

"No!...no, no... awak tak payah jemput saya. Saya sendiri yang akan pergi jumpa awak. Just name the place and we'll meet there" balas Vee pantas menolak pelawaan Ariel.

Dia takut papa dengan mama atau sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan keluarganya, melihatnya keluar bersama - sama dengan Ariel. Jenuh dia mahu menjawab soalan papa yang panjang lebar itu nanti. Paling teruk sekali pun, papa akan cuba membuat andaian yang bukan - bukan mengenai hubungannya dengan Ariel nanti.

"Apa kata, Starbucks?"

"Okey. Starbucks it is! Pukul dua petang besok, boleh?"

"Boleh" Ariel angguk setuju.

Mereka kembali terdiam semula dan melayan perasaan masing - masing. Tidak lama selepas itu, Vee meminta diri untuk berlalu dan meninggalkan Ariel bersendirian di ruang balkoni biliknya.

Ariel menarik nafas leganya. Pasti Vee sudah tertidur memandangkan lampu di bilik tidur gadis itu sudah pun di matikan sebaik saja dia masuk tadi. Ariel mendongak ke langit semula. Memang betul apa yang di katakan oleh Hakimi. Dia perlu menelan sedikit egonya kalau dia mahu mengenali Vee dengan lebih mendalam lagi.

"Telan sikit ego tu... nanti dia di kebas orang, kau juga yang berputih mata!" Ariel tersenyum.

Dia perlu banyak bertolak ansur dengan Vee kalau dia mahu mendekati gadis itu pada masa akan datang. Ariel yakin dengan perasaannya. Dia cukup yakin yang dia memang sukakan Vee sejak kali pertama lagi dia melihat wajah gadis kacukan itu.

Princess yang dia maksudkannya selama ini ialah tidak lain dan tidak bukan adalah Vee sendiri. Ariel tidak berterus terang mengenai gadis pujaan hatinya itu kepada Hakimi kerana takut di jadikan bahan usikan oleh teman baiknya itu.

Gadis yang nyaris - nyaris menjadi mangsa keretanya beberapa bulan yang lalu itu ialah, Vee. Dia yang memang sudah lama menaruh hati dengan Vee, terpaksa menolak perasaannya terhadap gadis kacukan itu jauh - jauh dari dalam hatinya bila bayangan wajah Sweet kerap muncul di dalam lenanya.

Ariel meraup wajahnya. Entah sudah berapa kali dia melepaskan keluhan berat malam itu. Dia terpaksa membuat pilihan sama ada mahu meneruskan niatnya terhadap Vee atau terus menanti dan mencari Sweet sehingga mereka bertemu semula.

Walau pun Sweet cuma seorang kawan baik ketika zaman kecilnya, tapi perasaan cintanya hadir sedikit demi sedikit ketika dia mulai meningkat usia remaja. Ikatan persahabatannya itu bertukar menjadi ikatan sayang, dan membuatkan dia semakin tidak sabar untuk kembali semula ke tanahair sebaik sahaja dia tamat sekolah tinggi dari luar negara.

Namun dia hampa bila orang yang di cari dan di tunggu - tunggunya selama ini, hilang tanpa sebarang khabar berita. Bukannya dia tidak pernah mencuba. Malah melihat kelibat Vee pada waktu kejadian hari itu juga membuatkan dia kembali bersemangat semula.

Gelang yang tersarung pada tangan Vee ketika itu amat jelas menunjukkan itu ialah gelang yang sama yang pernah dia berikan kepada Sweet satu ketika dahulu. Tapi dia hampa bila Vee langsung tidak memberikannya peluang untuk mendekatinya. Malah detik permulaan itulah yang menjadi punca kepada setiap perselisihan faham yang terjadi di antara mereka berdua. Sweet... where are you??