3 hari berlalu hanya dengan sekelip mata. Hari yang sibuk di restoran tidak sedikit pun mengganggunya daripada memikirkan tawaran Sora.
"Semua orang dalam dunia ni akan lupa pasal kau."
Setiap kali perkataan itu muncul dalam fikirannya, perasaan tidak senang membelenggu Hoshi dengan kuat sekali. Seolah-olah badannya ingin terbelah dua, satu untuk menolak tawaran Sora dan satu lagi untuk terus hidup seperti orang biasa. Akan tetapi dia tahu, dia tidak mampu untuk menipu diri sendiri bahawa dia ingin melihat ibunya. Meskipun ianya kelihatan mustahil.
Hoshi duduk di bangku yang disediakan untuk pekerja sambil mengelap keringat yang perlahan-lahan jatuh. Hari ini adalah hari ketiganya, hari di mana dia sepatutnya membuat keputusan. Tapi Hoshi Masih lagi di tapak yang pertama tidak pasti untuk meneruskan langkah yang membawa kepada beribu-ribu kemungkinan di masa hadapan.
"Kamu tak apa-apa?" Eda datang kepada Hoshi dengan wajah yang risau melihat anaknya. Eda juga perasaan Hoshi seperti memikirkan sesuatu kebelakangan ini.
"Tak ada apalah ayah, Hoshi cuma penat." Hoshi Cuba menyembunyikan kebingungannya dengan senyuman.
"Kamu ingat kamu baru tinggal dengan ayah hari ini? Ada apa dalam otak kamu tu." Kali ini Eda berkata dengan nada yang lebih mengambil berat. Dia betul-betul ingin mendalami perasaan Hoshi.
Hoshi menundukkan pandangannya ke lantai. Tidak pasti apa yang harus dia katakan. Selepas bertarung dengan diri sendiri untuk beberapa saat, akhirnya dia membuka mulut.
"Kalau ayah diberikan pilihan untuk berjuang demi sesuatu yang ayah nak, tetapi perlu gadaikan semua yang ayah ada. Mana yang ayah akan pilih."
Eda menutup matanya sambil mengusap-usap dagu. Seusai beberapa ketika, dia tersenyum dan meletakkan tangannya pada bahu Hoshi.
"Bergantung, kalau yang ayah kejar itu ibu kamu. Mungkin ayah sanggup. Jika ayah hilang Hoshi, ayah pasti Hoshi akan kembali sebab ibu. Tapi perkara ini semua tak mungkin berlaku," Eda menghabiskan kata-katanya dengan tawaan lalu berjalan meninggalkan Hoshi. Rasa sejuk menjalar di tulang belakang Hoshi, meninggalkan bulu romanya meremang. Seketika dia merasakan Eda dapat membaca mindanya.
Akan tetapi, jawapan tadi juga menjadi kunci baginya untuk membuat keputusan muktamad. Hari ini adalah harinya, hari yang di mana dia akan mengikut Sora.
★
Jarum jam menunjukkan pukul 9.30 malam. Hoshi mengemas biliknya yang harus dia tinggalkan sebentar lagi. Semua pakaian sudah tersusun rapi, cuma sebahagian yang dibawanya ke dalam beg untuk kegunaan seharian. Diatas mejanya, dia meletakkan diari Aoi yang cukup berharga buat dirinya. Hoshi sudah meninggalkan sebuah nota di penghujung muka surat jika Eda terdetik untuk membuka buku itu. Walaupun dia tahu Eda tidak akan mengingati dirinya lagi.
Hoshi menyarungkan jaket hitam kepunyaan Aoi. Kain hitam di luarnya diperbuat daripada kapas yang memberikan kehangatan. Manakala dalamnya berwarna merah dengan kain nilon yang memberikan rasa sejuk yang nyaman. Hoshi tidak pernah membasuhnya, risau akan kehilangan memori-memori yang melekat pada jaket itu.
Setelah selesai mengemas semuanya, dia berdiri di samping tingkap lalu dengan berhati-hati membukanya. Dia memandang ke belakang buat terakhir kalinya, lalu menghela nafas panjang. Tangannya hampir menutup tingkap semula, tetapi kakinya tetap terpaku di tempatnya. Nafasnya tidak teratur. Jika dia pergi sekarang... adakah dia akan menyesal? adakah dia mempunyai pilihan lain? Sekiranya ada, mungkin dia akan memilihnya. Walau bagaimanapun, dia perlu mencari jalan untuk mengembalikan Aoi.
"Hoshi pergi dulu, ayah.." dia melangkah keluar. Mulai hari ini, Sudah tiada jalan kembali bagi Hoshi.
Tanpa berfikir panjang, dia terus mengatur langkah ke tempat pertemuannya dengan Sora. Setiap langkah tidak lagi berat. Dia sudah mengerti apa yang harus dia lakukan. Iaitu untuk mengembalikan Aoi, Dan mencari jalan untuk mengembalikan ingatan Eda.
Setelah 30 minit berjalan, langkahnya terhenti di kawasan yang tidak asing baginya. Jalan yang penuh semak serta diselubungi kegelapan. Membuatkan perjalanannya sangat mencabar. Mengerti dengan hal ini, Hoshi telah bersedia dengan membawa pisau kecil dan lampu suluh.
"Aku ingatkan kau takkan datang." Suara wanita yang lembut mengejutkan Hoshi. Apabila Hoshi menyuluhnya, Hoshi serta merta melihat Sora dengan kalung emethisnya yang bersinar cerah.
"Aku datang, dan aku takkan kembali" wajah Hoshi dihias dengan senyuman yang yakin. Dia sudah berjaya membuang semua perasaan ragu-ragunya.
Sora pusing membelakangi Hoshi kemudian mula berjalan. "Ikut aku, jangan sampai tertinggal. Oh ya, matikan lampu itu. Kita tak perlukannya."
Hoshi hanya mengikut Sora tanpa mengajukan sebarang soalan. Semakin lama mereka berjalan, semakin kuat aura pelik yang Hoshi rasakan. Mungkin itu hanya fikirannya, akan tetapi perasaan itu sangat tidak selesa.
"Kita dah sampai," ujar Sora. Di hadapan jalan yang gelap dan bersemak-samun itu terdapat satu kawasan dengan rumput yang pendek serta tidak mempunyai banyak pokok. Adakah ini kawasan rahsia yang tersorok di dalam hutan? Hoshi mempercepatkan langkahnya untuk melihat apa yang ada di sana.
"Apakah…"
Sebuah istana yang gah berdiri di tengah hutan belantara. Pelik, tiada siapa tahu akan kewujudan tempat ini. Bahkan istana ini langsung tidak terlihat dari bandar. Adakah ini juga sebahagian daripada magis Sora?
"Jangan sampai tertinggal." Sora meneruskan langkah, meninggalkan Hoshi yang terpaku melihat istana yang tidak sangka wujud.
"Eh, sabar dulu!" Hoshi cepat-cepat mengekori Sora semula.
Sora perlahan-lahan menolak pintu istana yang bersaiz 20 kaki dari tanah. Sangat besar, bahkan boleh memuatkan sebuah kereta kebal. Angin berderu-deru keluar daripada pintu seolah-olah mulut raksasa yang mendengus sebaik sahaja pintu itu terbuka. Di dalamnya, kegelapan membungkus ruang, seolah-olah udara sendiri menjadi tebal dan berat.
"Kau takut?" Sora tersenyum sinis. Mata ungu nya manatap wajah Hoshi yang kelihatan sedikit pucat. Tanpa mengendahkan Hoshi, Sora terus berjalan masuk. Dengan sekelip mata sahaja tubuhnya hilang ditelan kegelapan.
Hoshi semakin gemetar. Akalnya tidak habis-habis memikirkan apa di sebalik pintu itu. Tetapi dia sendiri yang membuat keputusan ini. Jadi dia harus memberanikan diri.
Dia masuk ke dalam istana yang gelap itu. Sebaik sahaja dia melangkah masuk, pintu gerbang di belakangnya serta merta tertutup sendiri. Bunyi yang kuat, kesan daripada pintu itu, mengisi kesunyian di dalam istana tersebut.
"Sora! Kau dekat mana?" Suara Hoshi bergema dengan kuat. Tetapi tiada siapa yang menyahut. Dia melemparkan pandangannya ke kiri dan ke kanan, tetapi ia sama sahaja seperti dia menutupkan mata. Kosong dan gelap.
Dia kini mengatur langkah. Satu demi satu lalu mempercepatkannya. Tidak sekali pun dia melanggar apa-apa. Tiada kerusi, meja, atau pasu di mana-mana. Ini sememangnya suatu ruang kosong yang tiada penghujung. Dada Hoshi bagai dihimpit-himpit, dibelenggu rasa cemas dan risau.
"Apa benda ni.. aku tak faham.."
Dia melutut, jantungnya berdegup terlalu kencang. Keringat sudah membasahi dahi sambil otaknya ligat memikirkan langkah seterusnya. Lalu dia menghidu sesuatu.
Bau hapak menusuk hidung, tajam dan memedihkan dada. Asap hitam berputar di sekelilingnya, semakin lama semakin pekat. Ia menyelinap ke dalam paru-parunya, seperti belati halus yang mencengkam dari dalam. Hoshi terbatuk, tangannya menampar dada, cuba mendapatkan udara.
Hoshi dengan pantas berdiri, mendepakan tangannya ke kiri dan ke kanan untuk membuka jalan di dalam kepulan asap yang mengepung dirinya. Matanya sudah mulai pedih dan berair tetapi dia masih mencuba untuk membebaskan dirinya.
Kini, dia berdiri di hadapan sebuah pintu yang berwarna putih, pucat, sama seperti dirinya. Kayunya sudah usang dimamah usia, dengan cat yang sudah mengelupas dan belukar yang mendakap erat pintu itu. Tombolnya pula sudah berkarat ditemani lingkaran duri-duri yang setia menjadi penjaganya.
Kemudian, muncul pintu lain di belakang Hoshi. Ianya lebih besar serta dihiasi dengan cahaya yang terang benderang melimpah keluar daripada celahan pintu. Kelihatan jelas ukiran-ukiran seni pada badannya yang tidak ada pada pintu-pintu biasa selain buat keluarga bangsawan.
Jarak kedua-dua pintu itu adalah sama dengan Hoshi, seolah-olah menyuruh Hoshi untuk membuat pilihan.
"Kau takutkan?" Suara Sora tiba-tiba bergema dengan kuatnya. "Manusia biasa macam kau, tidak sepatutnya kenal dan mahu bekerja dengan aku. Kau bukan sebahagian daripada 'kami'. Jadi ambillah jalan yang di belakang kau. Pintu yang cantik dengan jalan yang mudah. Sesuai dengan manusia yang lemah."
"Tetapi jika kau berdegil, aku sudah sediakan jalan di hadapan kau. Dengan rupanya yang hodoh dan duri yang bersedia untuk menyengat daging kau. Itu pun kalau kau mahu."
Suara itu tiba-tiba menghilang. Tinggallah Hoshi yang masih kebingungan dan dipaksa membuat pilihan. Rasa pening daripada asap tadi masih menghantui dirinya, tetapi ia tidak menghalang Hoshi untuk membuat keputusan muktamad. Bahkan tidak perlu disoalkan lagi pilihannya.
Dia menyusun langkahnya ke hadapan, perlahan tetapi tidak gemetar. Dia berdiri dengan penuh tekad sambil memerhatikan tombol yang dipenuhi duri-duri. Perlahan-lahan tangannya memegang tombol itu, lalu memulasnya. Namun sedikit pun tidak menggerakkan tombol itu. Sekarang dia faham, ini bukanlah lagi sebuah jalan yang mudah baginya. Walau bagaimanapun, dia harus berkorban.
Kini, dengan lebih yakin Hoshi menggenggam tombol itu. Duri-duri tersebut menusuk daging Hoshi tanpa belas kasihan. Darah merah, pekat, menitik-nitik ke lantai. Sebaliknya, tiada tangisan yang jatuh dari mata Hoshi. Malahan genggamannya semakin kuat seiring waktu. Lalu terus memulas tombol itu.
Akhirnya, ia bergerak. Sedikit, demi sedikit sehingga pintu itu berjaya dibuka sepenuhnya. Hoshi melepaskan genggamannya dan darah mengalir semakin deras. Mulut pintu itu sudah terbuka luas, menjemput Hoshi masuk ke dalam ruangan yang tidak diketahui isinya.
Dengan tangan yang sudah mulai kebas, dan kaki yang lemah, dia meneruskan langkah yang harus dia paksakan. Duri yang melekat pada tangannya sedikit pun tidak diendahkan. Dia terus berjalan, langkah, demi langkah…demi langkah… demi langkah…. Sehingga dia tersungkur, menyembah lantai bumi.
★
"Mak…mak!"
"Aku.. aku tak nak mati!"
"sesiapa tolong aku…"
"*?!#@!"
"$¥€!#?"
…
"Ini adalah perjanjian."
Beribu-ribu suara yang samar-samar membisik di telinga Hoshi. Suara siapa itu? Aku.. tak boleh nak buka mata… pening.. telalu pening..
"Ini adalah perjanjian."
Tolong aku…sesiapa..Sora..Ibu…
Tiba-tiba Hoshi merasakan rasa pedih pada bahunya, seperti api kecil yang membakar kulit tanpa henti. Namun apakan daya, Hoshi tidak mampu membuat apa-apa. Dia hanya berada di situ, menunggu nasib yang akan menentukan kehidupannya.
★
"Kau yakin ke dia 'Hoshi' yang sebenar?" Ujar seorang lelaki dengan suara seperti anak kecil.
"Sejujurnya, aku tak percaya. Tapi hati aku yakin itu dia" Sora membalas.
"Aku tidak mahu masuk campur urusan ini. Kalau itu betul dia, panggil aku semula. Kalau bukan, engkau sendiri yang perlu selesaikan." Lelaki itu menghabiskan kata-katanya lalu berjalan pergi.
"Aku tak tahu kenapa. Tetapi semua tentang Hoshi ini… mengingatkan aku tentang 'dia'." Sora menyilangkan tangannya. Lalu memikirkan apa yang sedang berlaku di hadapannya.