"Tolong aku!"
"Lari.. lari!"
"Ini adalah sebuah perjanjian"
Serta merta Hoshi terjaga dari mimpinya. Keringat perlahan-lahan mengalir di pipi. Entah apa yang dia dengar sebentar tadi, tetapi suara itu sangat dekat. Seperti betul-betul di sebelah telinganya.
"Aku dekat mana…"
Pandangan Hoshi melekat pada ukiran siling yang mewah. Katil empuk bersarungkan sutera menyerap kesejukan malam, membawa rasa nyaman kepada kulitnya.
Perlahan-lahan dia cuba bangun dan duduk di atas katil itu. Di sisinya, terdapat sebuah pedang yang terbalut rapi dengan kain putih. Tertulis padanya tulisan-tulisan kuno berwarna merah yang belum pernah dilihat Hoshi. Namun fikirannya tidak mampu untuk fokus pada pedang itu. Terlalu banyak benda yang berlaku dan harus dihadam.
Tiba-tiba pintu bilik itu dibuka.
"Kau dah bangun?" suara seorang perempuan menyapa Hoshi dengan lembut. Sora Maikano.
Sora melangkah masuk, blouse putihnya berkilau suram seperti sisa cahaya bulan di permukaan air, lembut tetapi dingin. Kristal ungu di lehernya berkelip samar, pantulannya seolah-olah menyimpan gema sesuatu yang pernah megah, kini hanya bayangan yang hampir dilupakan.
"Lama ke aku pengsan?" Soal Hoshi.
"Cukup lama, aku ingatkan kau tak nak bangun." Sora membalas dengan nada yang menyindir.
Sora memalingkan tubuhnya ke arah pintu. Kelihatan daripada gayanya, seperti dia tidak mahu lama di situ.
"Kau mesti peningkan? Mari ikut aku jalan-jalan. Sambil-sambil aku bercerita serba sedikit." Sora memberi senyuman yang kelihatan kekok mungkin kerana masih belum kenal sepenuhnya.
Hoshi yang masih terpinga-pinga mengangguk sahaja dengan pelawaan Sora. dia pun bangun dari katil dan mengekori Sora keluar. Dia cuma berjalan di belakang Sora yang membawanya seperti sedang mengembara.
Koridornya panjang, dihiasi karpet bercorak bunga-bungaan. Tetapi aneh, Setiap pintu dalam istana ini berdiri seragam, barisan yang sempurna tanpa tanda perbezaan. Seolah-olah sebuah labirin tanpa hujung.
"pelik?" Sora akhirnya bersuara. "Jangan risau, ada lagi berpuluh tingkat yang serupa begini."
Tiba-tiba langkah Sora berhenti di hadapan sebuah pintu "Apa kata kau cuba buka satu? Mungkin boleh menjawab persoalan dalam minda kau." Sora seperti tahu yang Hoshi tertanya-tanya akan isi di sebalik pintu itu.
Hoshi memanjang tangannya untuk menggenggam tombol pintu di hadapan Sora, lalu memulasnya. Tiba-tiba cahaya jingga keemasan keluar dari celah pintu, ditemani dengan angin sepoi yang bertiup perlahan.
Pada masa yang sama, telinga Hoshi menangkap bunyi percikkan air dan kicauan burung.
"Bukan ke ni… pantai?" berkerut dahi Hoshi, setahunya mereka berada di tengah-tengah hutan. Mana mungkin tiba-tiba munculnya laut terbentang luas.
"Setiap pintu di sini, akan bawa kau ke tempat yang berbeza-beza. Sesuai dengan kehendak aku. Jadi kalau kau nak balik ke bilik kau semula, mungkin bergantung pada nasib." menyeringai Sora dengan ketawa yang mengusik.
Hoshi menghela nafas panjang. Belum pernah dia menjumpai wanita sejengkel ini. Kemudian mereka berdua melemparkan pandangan ke lautan yang terbentang luas. Kali ini, air muka Sora telah berubah. Yang tadinya bermain-main, sekarang lebih serius.
"Kau tak pernah beritahu aku. Kenapa kau nak kerja dengan aku?" soalan diajukan kepada Hoshi tanpa Sora memandang kepadanya.
Hoshi mengambil beberapa ketika untuk memberikan jawapan. Bukan kerana dia tidak mempunyai sebab. Tetapi kerana sebab itu kelihatan mustahil bagi manusia.
"Dalam dunia ni, ada kuasa yang dapat menghidupkan orang mati. Dan aku nak hidupkan balik ibu aku." Hoshi berkata dengan nada yang penuh azam dan tekad.
Sora hanya mendiamkan diri, tidak memberikan sebarang kata-kata dan tidak juga kelihatan terkejut.
"Bukan kali pertama aku mendengar hajat yang seperti itu," Nada Sora lebih dingin. "Tapi tak bermakna aku pernah nampak benda itu berlaku depan mata aku"
Sora berpaling semula ke arah pintu dan melangkah kembali ke istana.
"Dalam dunia ini ada 12 kuasa zodiak," Sora berkata sambil menyusun langkah. Hoshi juga turut mengikutinya walaupun tidak pasti destinasi seterusnya.
"Masing-masing mempunyai tempoh masa yang tersendiri." Sora sekali lagi berkata-kata. Tetapi ianya seolah-olah sengaja diberhentikan di setiap ayat yang pendek. Seperti memberi masa untuk Hoshi menghadamnya satu persatu.
"Mereka tidak memilih jalan yang sama seperti golongan 'baik' mahupun 'jahat'."
"Mereka bergerak atas kehendak mereka sendiri—melawan apa yang dirasakan salah, mempertahankan apa yang dirasakan benar" Langkah Sora terhenti.
Tanpa Hoshi sedari, mereka berada di lobi utama. Dua tangga melingkar dari arah berlawanan, pegangan emasnya berkilau di bawah cahaya candelier. Di antara tangga itu, sebuah air pancut berdiri megah, memantulkan warna kaca berwarna di dinding. Namun, apa yang benar-benar menarik perhatiannya ialah dua potret besar—seorang lelaki berpakaian kebesaran pemerintah, dan seorang wanita dalam gaun biru anggun, tatapannya lembut tetapi penuh misteri.
Buat seketika Sora hanya berhenti di situ. Menatap gambar itu dengan sepenuh hati, diselit rasa sayu yang boleh dilihat di matanya. Dan akhirnya dia meneruskan langkah.
Di belakang air pancut tersebut, terdapat sebuah pintu yang kelihatan usang. Dengan kayu yang sudah berlubang dan akar pokok yang mendakap erat pintu itu. Ini bukan kali pertama Hoshi melihat pintu itu. Ianya pintu yang sama saat pertama kali dia diuji oleh Sora.
Sora, memegang tombol pintu itu dan memulasnya. Ianya tidak kelihatan sukar seperti yang dia lakukan dahulu. Apabila pintu itu dibuka, cahaya biru terpancar dengan terangnya dari celah pintu. Hawa dingin yang lembut juga turut dirasai kulit Hoshi.
Sebaik sahaja mereka melangkah masuk, suasana sekeliling berubah serta merta. Ianya seperti berada di dunia yang berbeza. Di hadapan mereka terbentang luas sebuah dinding dengan permukaan seperti gua. Ada pada dinding itu, lakaran-lakaran kuno yang dibuat dengan batu marmar berwarna emas.
Ada juga pada dinding itu, batu-batuan biru yang memancarkan cahaya. Terdapat 12 batu biru kecil yang melekat pada dinding bersama-sama lakaran tadi. Dan ada juga batu-batu biru yang lebih besar berselerak di sekitar gua itu untuk mencahayai kawasan. Sesungguhnya pemandangan yang menakjubkan.
"Apabila tempoh masa bagi zodiak itu tamat, kita perlu mengambilnya semula." Sora kembali bersuara sambil berjalan menghampiri sebuah takungan air di hadapannya. Airnya kelihatan seperti langit malam yang dihiasi bintang-bintang. "Tetapi tidak semudah itu."
"Kita perlu membunuh mereka." Tiba-tiba suara seorang budak lelaki muncul di sebelah Hoshi.
Hoshi terus memandang ke sisi. Seorang budak lelaki berdiri di sebelahnya. Dia sendiri tidak perasan keberadaannya di situ. Pakaian tradisional jepun, Hakama, yang dipakainya kelihatan kemas dan bersih. Warna biru pekat baju itu memancarkan aura misteri membuatkan rasa sejuk menjalar pada tubuhnya.
"Souta, salam kenal." Mata birunya memandang Hoshi dengan tatapan yang bersahaja tetapi tajam. Meskipun warna matanya sama seperti Hoshi, tetapi mata Souta kelihatan lebih gelap sama seperti pakaiannya. Seolah-olah telah hilang cahaya kehidupan dalam sepasang mata yang kecil itu. Ibarat melihat lautan dalam yang kosong dan sunyi, tetapi bergelora dalam diam.
"Yang akan menguruskan proses pengambilan kuasa itu, adalah aku," Souta mengarahkan telunjuknya ke Hoshi "Dan kau".
Kata-kata itu menyentak fikiran Hoshi, sekejap saja matanya membesar sebelum kembali tenang. Tangannya di sisi mengepal ringan, jantungnya berdetak lebih laju, namun bibirnya tetap terkunci.
"Jika itu harga yang harus aku bayar untuk lihat orang yang tersayang kembali. Aku lebih dari sanggup." Hoshi memandang tepat kepada ke mata Souta. Meskipun terpancar tekad dan keberaniannya masih jelas ketakutan terselit pada reaksinya.
"Menarik." Souta melangkah menghampiri Sora "Aku tak sabar nak lihat kemampuan kau."
"Hoshi, mulai hari ini kau dan Souta akan bekerjasama untuk mengambil semula kuasa Zodiac." Sora kembali berkata-kata, kali ini wajahnya sudah kelihatan sedikit ceria dan senyuman nipis terukir pada bibirnya. "Dan kamu berdua akan dikenali sebagai 'moon reaper'."
Mata Hoshi membesar dengan gelaran itu sebelum senyuman lebar menghiasi wajahnya. Dia rasakan yang dia sudah selangkah menghampiri impiannya. Untuk melihat Aoi kembali.
★
"Hah…hah..ha-"
Hoshi berlari sekuat tenaga, deruan nafasnya berat dan tidak terkawal. Kakinya melangkah laju meredah hutan yang gelap, namun bayang-bayang di hadapannya tetap semakin menjauh. Hembusan angin malam menggigit kulitnya yang berpeluh, dan ranting-ranting kecil yang tajam mencakar lengannya setiap kali dia melangkah terlalu hampir dengan pokok-pokok liar.
"Souta... kau terlalu laju!" Hoshi mengerang, suaranya hampir hilang di celah dedaunan yang bergetar. Dia memaksa kakinya untuk terus melangkah, menggunakan sisa tenaga yang masih bersarang di tubuhnya.
Namun, langkahnya semakin berat. Lututnya melemah.
"Aku tak boleh—"
Tubuhnya hilang keseimbangan.
Dalam sekelip mata, kakinya tersadung akar besar yang mencuat dari tanah. Dunia di sekelilingnya berpusing, dan sebelum dia sempat berbuat apa-apa, badannya terhempas ke tanah dengan kuat. Dedaunan kering berterbangan, bersatu dengan keringatnya yang sudah membasahi wajah.
Dadanya turun naik dengan deras, matanya kabur.
Saat itu, memori perlahan-lahan berputar dalam fikirannya.
...
"Istana ni dah cukup luas untuk aku, sekarang aku kena meredah hutan pula?" Hoshi memandang Souta dengan wajah tidak puas hati, tangannya bersilang di dada.
Mereka berdiri di halaman belakang istana, di mana cahaya matahari samar-samar menyuluh tanah lapang yang luas. Di hadapan mereka, hutan tebal berdiri megah, seolah-olah menanti mangsa baru untuk masuk ke dalam perangkapnya.
Souta hanya menatapnya dengan mata biru gelapnya yang kosong. "Jika kau nak kuat, kau tak ada pilihan selain ikut aku."
Hoshi menelan air liur, dadanya bergetar halus saat matanya tertancap pada hutan tebal di hadapannya. Bayang-bayang gelap yang berselirat di antara pepohon seakan menyimpan sesuatu yang tidak terjangkau oleh fikirannya. Namun, walau gemetar, dia tahu dia tiada pilihan lain.
"Baiklah, tunjukkan apa yang kau ada," ujar Hoshi akhirnya, walaupun jauh di sudut hatinya, dia sudah menyesali keputusan itu.
Souta tidak menjawab. Dia hanya berbalik dan melangkah ke dalam kegelapan hutan.
Dan begitulah semuanya bermula.
…
"Berapa lama kau nak tercegat dekat situ?" Ujar Souta dengan nada yang tegas.
Hoshi tersentak, kembali ke realiti saat suara dingin Souta menembusi fikirannya. Pandangannya yang kabur mula jelas, hanya untuk disambut oleh sepasang mata biru gelap yang tajam menikam ke arahnya. Souta berdiri tidak jauh, tangannya bersilang, ekspresinya kosong seperti biasa—seolah-olah melihat Hoshi jatuh tersungkur bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Hoshi mengetap gigi, menolak tubuhnya untuk bangkit, namun lututnya masih lemah, menggigil akibat keletihan. Nafasnya masih belum teratur, dadanya berombak deras. Dia mengangkat kepala, memandang Souta dengan pandangan geram bercampur penat.
"Kau—kau langsung tak nampak ke aku dah separuh mati ni?" Hoshi mengeluh, tangannya menggenggam tanah dan daun kering di bawahnya.
Souta tidak berganjak. "Kalau itu sudah cukup buat kau menyerah, macam mana kau nak hadapi Zodiac Holders?"
Kata-kata itu menikam ego Hoshi seperti bilah pedang tajam. Dia mendengus, cuba sekali lagi untuk bangun. Kali ini, dia berjaya berdiri, walaupun kakinya masih terasa berat.
Souta menepuk debu yang melekat pada bajunya. "Kita baru berlari lima kilometer. Masih banyak yang perlu kau lakukan."
"Lima kilometer?!" Hoshi melopong. "Kau nak bunuh aku ke?"
Souta hanya memandangnya tanpa ekspresi. "Bunuh kau? Aku baru panaskan badan."
Hoshi menutup wajahnya dengan satu tangan. "Aku dah buat keputusan yang salah…" gumamnya perlahan.
Souta berpaling, melangkah ke hadapan tanpa menoleh ke arah Hoshi. "Kalau kau ada tenaga untuk merungut, kau ada tenaga untuk sambung lari. Mari."
Hoshi mengerang, tetapi kakinya tetap bergerak. Kerana dia tahu—tiada pilihan lain.
★
7 hari berlalu.
Hoshi mendarat dengan kasar di atas tanah, kakinya terasa perit akibat hentakan yang tidak sempurna. Nafasnya terputus-putus, peluh membasahi dahinya hingga menitis ke dagu. Sekali lagi, dia mendongak dan melihat bayang Souta semakin jauh di hadapan, melompat dengan lincah dari satu akar ke akar yang lain seolah-olah graviti tidak memberi kesan kepadanya.
"Aku... dah... tak tahan…" Hoshi mengeluh, lututnya hampir menyerah.
Namun, tiada ruang untuk berehat. Dari atas, suara tenang Souta kedengaran, disertai dengan bayang tubuhnya yang bergerak pantas di antara pepohon tebal.
"Kalau kau berhenti sekarang, kau akan jatuh jauh ke belakang."
Hoshi mendongak dengan wajah berkerut. "Kau… kau serius ke nak aku lompat macam kau?"
Souta mendarat di atas akar besar yang melintangi udara, tangannya disilangkan di dada. Mata birunya yang kosong memandang ke bawah, tepat ke arah Hoshi yang termengah-mengah.
"Kau nak buru Zodiac Holders, kan?" Nada suaranya masih sama—dingin, tidak beremosi. "Kalau kau tak boleh kejar aku, lupakan saja cita-cita kau."
Darah Hoshi terasa mendidih. Dia tahu Souta hanya bercakap berdasarkan fakta, tapi caranya yang langsung tidak menunjukkan simpati itu benar-benar menyakitkan hati.
"Aku akan buktikan yang aku boleh buat." Hoshi mengetap gigi, lalu menguatkan semula langkahnya.
Tanpa berfikir panjang, dia menolak tubuhnya ke atas, melompat ke akar yang terdekat. Keseimbangan tubuhnya bergoyang, hampir membuatnya tergelincir, tetapi dia sempat mencengkam dahan kecil di sebelahnya. Nafasnya bergetar, jantungnya berdegup kencang.
Souta masih berdiri di tempatnya, menunggu.
"Teruskan," ujarnya tanpa riak.
Hoshi meneguk air liur. Dia melihat akar seterusnya yang terentang di udara, lebih jauh dari yang sebelumnya. Jika dia gagal, dia mungkin akan jatuh terhempas ke tanah.
Tapi dia tidak boleh kalah.
Mengumpul semua kekuatan yang tinggal, dia mengatur nafas, menunduk sedikit, dan—
Melompat.
Udara menyapu wajahnya, dunia seakan menjadi perlahan saat dia terapung seketika di udara. Tangannya terhulur ke hadapan, cuba menangkap akar di depannya—
Namun, angin tiba-tiba berubah arah.
Dan tubuhnya jatuh.
"Argh—!"
Hoshi terhumban ke bawah, daun-daun kering berkepul di udara ketika badannya menghentam tanah. Debu berterbangan, menggambarkan impaknya yang kuat.
Dia terbatuk beberapa kali, cuba mengatur semula pernafasannya. Kepalanya berdenyut, seluruh badannya terasa remuk.
Langkah perlahan menghampirinya.
Souta berdiri di sisinya, memandang ke bawah dengan wajah yang sama sekali tidak terkejut.
"Kau gagal."
Hoshi mengetap gigi, genggamannya mengeras. "Aku tahu…"
Souta berlutut sedikit, cukup untuk berada pada paras mata Hoshi. "Tapi kau dah lebih jauh dari tujuh hari yang lalu."
Hoshi tersentak, matanya membulat sedikit. Untuk pertama kalinya, kata-kata Souta terasa… bukan seperti ejekan. Tapi sebagai satu pengiktirafan.
Hoshi menarik nafas dalam, sebelum menghembuskannya perlahan. Rasa sakit di tubuhnya masih belum hilang, tapi senyuman kecil terukir di bibirnya.
"…Esok aku akan cuba lagi."
Souta bangkit, membelakangi Hoshi sambil melangkah pergi. "Kita sambung sekarang."
Hoshi melopong. "Apa?!"
"Zodiac Holders tak akan tunggu kau bersedia."
Hoshi merintih dalam hati, tetapi dia tetap bangun.
★
16 hari berlalu.
Percikan air membelah udara ketika Hoshi mendarat di atas batu licin di tengah sungai. Walaupun membawa beban berat di belakangnya, tubuhnya tetap teguh, keseimbangannya tidak tergugat walau sedikit. Nafasnya masih berat, tetapi tidak lagi huru-hara seperti sebelumnya. Otot-ototnya sudah terbiasa dengan tekanan, dan setiap lompatan terasa lebih terkawal, lebih tajam.
Dari tebing sungai, Souta memerhatikannya tanpa ekspresi.
"Jangan berhenti."
Hoshi mengangkat kepala, wajahnya berpeluh tetapi penuh fokus. Tanpa membuang masa, dia menolak tubuhnya ke depan, melompat ke batu seterusnya. Beban di belakangnya terasa menekan bahunya, tetapi dia tidak membiarkan dirinya terganggu.
Satu lompatan. Dua lompatan. Tiga lompatan.
Setiap kali kakinya mendarat, dia sudah bersedia untuk melonjak semula ke hadapan. Jika dahulu dia akan kehilangan keseimbangan, kini kakinya sudah tahu bagaimana menyesuaikan diri dengan permukaan batu yang tidak rata. Jika dahulu dia akan jatuh ke dalam sungai, kini dia melompat dengan keyakinan, seperti ini adalah sesuatu yang dia sudah lakukan selama bertahun-tahun.
Souta melipat tangan di dada, matanya sedikit mengecil.
"Lebih baik daripada sebelum ini," dia bersuara, namun nada suaranya tetap sama—dingin dan tidak beremosi.
Hoshi tersenyum kecil, tetapi tidak membiarkan dirinya leka. Dia terus bergerak, lompatannya semakin laju dan lancar, sehingga dia akhirnya mendarat di seberang sungai. Dengan satu hembusan nafas panjang, dia berdiri tegak, bahunya naik dan turun sedikit akibat keletihan.
Dia mengalihkan pandangan ke arah Souta, yang kini berdiri di hadapannya dengan tangan masih bersilang.
"Bagaimana?" soal Hoshi, menunggu sebarang tanda pengiktirafan.
Souta diam seketika.
Kemudian—
Duk!
Beban tambahan tiba-tiba dilempar ke arah Hoshi. Dengan refleks yang tajam, Hoshi menangkapnya, tetapi sebaik sahaja dia merasakan beratnya, kakinya hampir goyah.
Matanya membulat.
"Kenapa kau tambah beratnya?! Aku baru habis—"
"Kau dah cukup baik dengan berat sebelumnya," Souta memotong, nada suaranya tetap tenang. "Sekarang, kau kena biasakan diri dengan yang lebih berat."
Hoshi mengetap gigi, menatap Souta dengan geram.
Namun, jauh di dalam dirinya, dia tahu—ini bukan hukuman.
Ini adalah satu tanda bahawa dia sudah maju.
Dengan satu helaan nafas, Hoshi kembali bersedia.
"Lagi sekali?"
Souta mengangguk kecil.
Hoshi tersenyum tipis, lalu melangkah ke arah batu pertama semula.
★
25 hari berlalu.
Hoshi memerhatikan pedang di tangannya dengan teliti, jari-jarinya perlahan-lahan meluncur di sepanjang bilahnya yang licin dan sejuk. Cahaya senja memantulkan sinar keemasan pada permukaan pedang itu, memperlihatkan ukiran-ukiran kuno berwarna merah yang berbelit seperti akar.
Pedang ini… dia tidak pernah benar-benar menggunakannya sebelum ini. Sejak diberikan kepadanya, dia hanya membawanya ke mana-mana, tetapi tidak pernah menghayunkan dengan niat sebenar.
"Kenapa kau termenung?"
Souta berdiri beberapa langkah di hadapan, tangannya memegang pedang kayu. Matanya yang biru gelap tajam menikam ke arah Hoshi, menanti tanpa sebarang emosi.
Hoshi menarik nafas dalam. Pedang di tangannya terasa berat, bukan kerana fizikalnya, tetapi kerana hakikat bahawa dia perlu menggunakannya sekarang.
"Tsk…" Dia menggeleng, cuba menyingkirkan rasa ragu. "Baiklah, mari kita mulakan."
Tanpa membuang masa, Hoshi mengambil kuda-kuda, mencengkam hulu pedangnya dengan kuat. Namun, sebelum dia sempat bertindak—
Srak!
Dalam sekelip mata, Souta sudah berada di hadapannya. Satu hentakan dari pedang kayu Souta mengenai perutnya dengan kuat. Hoshi terbatuk, tubuhnya terdorong ke belakang.
Dia tidak sempat bernafas.
Srak!
Satu lagi serangan—kali ini dari sisi. Dia cuba mengangkat pedangnya untuk menangkis, tetapi—
Duk!
Hoshi merasakan kekuatan luar biasa menghentam kakinya. Lututnya melemah, dan dia hampir jatuh terduduk.
"Teruk," suara Souta tenang, tetapi tegas. "Kau bergerak terlalu lambat."
Hoshi mengetap gigi. Dia tahu itu. Tetapi tubuhnya masih belum dapat mengimbangi serangan ini.
Belum sempat dia menstabilkan diri, Souta sudah melompat ke udara.
Srak!
Hoshi cuba mengangkat pedangnya sekali lagi—
Tetapi Souta lebih pantas.
Pedang kayu Souta menghentam bahunya, menyebabkan tubuh Hoshi bergetar dengan hebat. Tangannya yang memegang pedang terasa longgar, dan—
Duk!
Pedangnya terlepas.
Hoshi terhuyung-hayang ke belakang, jatuh terduduk di atas tanah yang keras. Nafasnya tercungap-cungap, tubuhnya terasa berat. Peluh membasahi dahinya, dan setiap ototnya berdenyut kesakitan.
Dia mendongak ke arah Souta, yang masih berdiri tanpa sebarang perubahan ekspresi.
"Kau mungkin dah kuat secara fizikal," kata Souta, memusingkan pedangnya di tangan. "Tapi kalau ini cara kau bertarung, kau akan mati dalam masa tiga saat."
Hoshi mengepalkan penumbuknya.
Sakit… Namun, lebih daripada itu— Rasa marah terhadap dirinya sendiri lebih menyakitkan. Dia menggigit bibir, sebelum mencapai pedangnya kembali. Perlahan-lahan, dia bangkit.
"Aku tak akan jatuh semudah itu lagi," katanya, walaupun tubuhnya masih bergetar.
Souta merenungnya seketika. Kemudian, dia mengangkat pedang kayunya sekali lagi.
"Kita tengok sejauh mana kau boleh tahan."
Hoshi mengangkat pedangnya sekali lagi, cuba menangkis serangan Souta yang datang dari sisi. Namun, sebelum dia sempat mengukuhkan pegangan, hentakan kuat menggoncang tangannya. Pedangnya hampir terlepas.
Souta langsung tidak memberi ruang. Dia mengubah arah serangan, pedangnya menyusup pantas ke arah bahu Hoshi. Terlalu cepat.
Hoshi cuba mengelak, tapi badannya terasa berat. Gerakannya masih lambat.
"Kaki kau masih lemah. Sekali lagi."
Ingatan itu melintas di fikirannya. Waktu dia berlatih melompat dari batu ke batu di sungai, beban yang terikat di tubuhnya membuatkan setiap lompatan terasa mustahil. Kali pertama dia gagal, kali kedua juga begitu. Setiap kali, tubuhnya tenggelam ke dalam air yang menggigit, dan setiap kali dia naik semula ke permukaan, Souta hanya memberi arahan yang sama—tanpa belas kasihan.
Tetapi...
Hoshi mengeraskan genggaman pada pedangnya. Langkahnya berganjak ke tepi, tepat sebelum serangan Souta mengenai sasarannya. Kali ini, badannya bergerak lebih ringan.
Souta menyerang lagi, dari arah bertentangan. Hoshi mengangkat pedangnya tepat pada waktunya, menahan serangan dengan lebih kukuh. Tangannya tidak lagi bergetar seperti tadi.
"Gunakan momentum kau," suara Souta terngiang di fikirannya, dari latihan yang lalu. "Jangan paksa kekuatan yang kau tiada. Gunakan apa yang kau sudah ada."
Ketika Souta mengayunkan pedangnya sekali lagi, Hoshi tidak menahan secara paksa. Sebaliknya, dia menyesuaikan gerakannya, membiarkan serangan itu mengalir sebelum memutarkan pergelangan tangannya dan menghala pedang Souta ke sisi.
Mata Souta sedikit mengecil.
"Baru sekarang kau mula menggunakan otak," katanya, tetapi dia tidak berhenti.
Serangan demi serangan dilancarkan. Hoshi bertahan dengan lebih baik daripada sebelumnya. Kakinya sudah lebih kukuh, pergerakannya lebih pantas. Nafasnya masih berat, tetapi matanya tidak lagi dipenuhi keraguan.
Namun, Souta tetap lebih laju.
Dalam satu detik, pedangnya menyelinap melalui pertahanan Hoshi, menghentak tepat di sisi pinggangnya. Hoshi tersentak, tubuhnya terdorong ke belakang. Kakinya hampir kehilangan keseimbangan, tetapi kali ini dia tidak jatuh.
Dia menghela nafas dalam-dalam, lalu mendongak memandang Souta. Mata mereka bertemu.
Souta mendiamkan diri seketika sebelum mengangkat sedikit hujung pedangnya. "Kau semakin baik."
Hoshi tidak menjawab. Dia hanya menggenggam pedangnya lebih erat. Dia belum menang. Tetapi dia juga tidak lagi sekadar menerima kekalahan.
★
30 hari berlalu.
Derapan kaki kedengaran di atas tanah hutan yang lembap. Nafas Hoshi teratur, langkahnya stabil, dan setiap pergerakannya kini jauh berbeza daripada hari pertama latihan mereka. Jika dahulu dia hanya mampu mengejar, kini dia mampu berdiri sama tinggi dalam pertempuran ini.
Pedangnya diangkat, memantulkan cahaya samar dari celahan dedaunan yang tinggi. Souta berdiri beberapa langkah di hadapannya, posturnya tetap tenang, matanya tetap kosong, tetapi hari ini—untuk pertama kalinya—ada sedikit perbezaan.
Dia serius.
Tanpa sebarang amaran, Souta menghilang dari tempatnya berdiri.
Hoshi tidak perlu melihat untuk tahu serangan akan datang dari arah mana. Otot-ototnya sudah terbiasa dengan corak pergerakan Souta. Dia memusingkan badan, pedangnya diangkat untuk menangkis serangan yang datang dari sisi—
Dentang!
Kali ini, dia tidak terdorong ke belakang. Tidak seperti sebelum ini.
Hoshi mengetap bibir, otot lengannya menegang saat menahan tolakan kuat dari pedang Souta. Dia menukar posisi, mengubah tekanan di tapak kakinya, dan dengan sekali gerakan, dia menolak Souta ke belakang.
Tidak menunggu lama, Hoshi menerpa ke hadapan. Pedangnya menyusur udara, menuju ke bahu lawannya—
Namun, Souta mengelak tanpa sebarang kesulitan. Gerakannya terlalu licin, terlalu pantas.
"Masih lambat."
Pedang Souta meluncur ke arahnya. Hoshi sempat mengangkat pedangnya untuk menahan, tetapi kali ini hentakannya cukup kuat untuk menghantar getaran ke seluruh tubuhnya. Lututnya hampir melemah, tetapi dia bertahan.
"Kaki kau masih lemah. Sekali lagi."
Ingatan itu melintas di fikirannya. Waktu dia melompat dari akar ke akar, tubuhnya sering gagal mengimbangi diri. Licin, rapuh, atau terlalu jauh—setiap kesilapan membuatnya terjatuh, luka-luka kecil menghiasi kulitnya. Namun, setelah berkali-kali tersungkur, akhirnya dia belajar membaca pergerakan hutan, memahami akar mana yang mampu menampung langkahnya.
Dan sekarang—
Hoshi mengubah tapak kakinya. Sebelum Souta sempat memberikan serangan seterusnya, dia sudah bergerak. Pedangnya meluncur ke sisi lawannya, kali ini lebih pantas, lebih tepat.
Souta menepis serangannya, tetapi kali ini dia mengambil satu langkah ke belakang.
Buat pertama kali dalam tiga puluh hari latihan mereka—Hoshi berjaya memaksa Souta mengundur.
Namun, latihan belum berakhir.
Angin hutan mula berubah. Pokok-pokok seolah-olah berbisik di antara satu sama lain, dan tanah di bawah mereka mula bergetar halus.
Persekitaran ini... sedang bergerak.
Souta melangkah ke belakang, seolah-olah memberikan sedikit ruang. Namun, Hoshi tahu itu bukan belas kasihan—itu peringatan.
Dan saat itu juga, angin hutan tiba-tiba berubah.
Dedaunan yang tadinya hanya berbisik lembut kini berdesir ganas, seolah-olah ada sesuatu yang terjaga. Tanah di bawah kaki mereka bergetar, akar-akar besar yang menjalar di sekeliling mula bergerak perlahan, merayap seperti ular yang baru bangun dari tidur panjang. Dahan-dahan di atas kepala mereka bergoyang tanpa angin yang meniupnya.
Hoshi merasakan tekanan di sekelilingnya meningkat. Ini bukan lagi sekadar pertarungan biasa. Hutan ini… sedang melawan.
"Aku dah jangka kau akan sampai ke tahap ini," suara Souta tenang, tetapi matanya berkilat tajam.
Hoshi menggenggam pedangnya erat. Nafasnya masih berat, tetapi kali ini bukan kerana keletihan—tetapi kerana adrenalin yang mengalir dalam setiap urat nadinya.
Akar-akar yang menjalar mula menyerang, melibas dengan kelajuan yang mustahil untuk dielak tanpa ketangkasan yang luar biasa. Hoshi menepis satu, lalu satu lagi. Kakinya melangkah ke sisi, mengelak dahan yang jatuh hampir menghempapnya. Namun, Souta tetap di hadapannya—menunggu, menguji.
Hoshi mengawal pernafasannya. Langkahnya berubah—lebih ringan, lebih tepat. Dia bukan lagi melawan hutan. Dia mengikut arusnya.
Akar yang melibas ke arahnya? Dia tidak menepis. Sebaliknya, dia berpusing, membiarkan momentumnya membawanya ke sisi. Dahan yang jatuh dari atas? Dia menukar tapak kakinya pada saat akhir, membiarkan kayu itu menghentam tanah kosong.
Souta akhirnya bergerak. Pedangnya menyusup ke hadapan dengan kelajuan kilat.
Namun kali ini—
Hoshi melihatnya.
Dia mengangkat pedangnya pada sudut yang betul, dan dalam satu pergerakan yang tepat—
Dentuman kuat memenuhi udara.
Souta terdorong ke belakang buat pertama kalinya. Hoshi tidak percaya. Tangannya menggigil, bukan kerana takut, tetapi kerana kegembiraan yang melonjak dari dalam dirinya.
Dia akhirnya berjaya.
Souta, yang kini berdiri tegak semula, memerhatikan Hoshi tanpa berkata apa-apa. Mata birunya tetap dingin seperti selalu, tetapi ada sesuatu yang berbeza—sesaat, bibirnya seolah-olah ingin melukis senyuman kecil sebelum dia mengawal ekspresinya semula. Dia membetulkan pegangan pada pedangnya, seolah-olah apa yang baru berlaku hanyalah hal biasa.
Namun, jemarinya yang menggenggam pedang sedikit mengendur.
Dengan nafas yang tersengal, mata Hoshi membulat, dan sebelum dia sempat menahan diri, suaranya pecah dalam jeritan kemenangan—
"AKU LAKUKANNYA!"
Souta memalingkan wajah ke sisi, menyembunyikan ekspresi yang hampir terlepas.
Dan sebaik sahaja kata-kata itu bergema, dunia seakan berhenti seketika.
★
Sora menghentikan gerak tangannya.
Suara Hoshi bergema hingga ke dalam istana, lantang dan penuh dengan semangat. Sejenak, dia hanya mendengar, membiarkan gema suara itu menyelusup ke dalam ruang kosong di sekelilingnya.
Kemudian, dia menghela nafas perlahan, mengangkat sedikit keningnya.
"…Bising," gumamnya, namun ada sedikit lengkungan halus di hujung bibirnya.
Dia kembali menumpukan perhatian kepada air takungan di hadapannya. Cahaya biru samar berkilauan di permukaannya, tetapi imej di dalamnya masih kabur—seperti kabus yang menutupi dunia. Sora mengetatkan genggamannya.
Takungan ini sepatutnya lebih jelas.
Dengan sebelah tangan, dia menghala tapak tangannya ke permukaan air, membiarkan aliran magisnya mengalir perlahan. Riak air bergetar, sebelum simbol-simbol kuno di dasar takungan mulai bercahaya.
Sejurus kemudian, takungan itu memancarkan cahaya ke udara, membentuk hologram besar yang melayang di tengah gua. Garisan-garisan berkilauan mulai bersambung, membentuk rupa peta dunia—tetapi masih terputus-putus, seakan-akan berkarat setelah lama tidak digunakan.
Sora mengerutkan dahi.
Dia mengangkat tangannya lebih tinggi, memaksa lebih banyak magis mengalir. Cahaya biru makin kuat, simbol-simbol kuno berdenyut seiring dengan degupan jantungnya. Garisan yang terputus-putus mula bersambung semula, menghubungkan titik-titik cahaya yang melambangkan lokasi-lokasi penting.
Peta dunia akhirnya terbentuk dengan sempurna.
Sora menurunkan tangannya perlahan-lahan, memerhatikan hologram itu berputar dengan stabil di udara. Riak kecil terbentuk di permukaan takungan, seakan memberikan respon kepada kejayaannya.
Dia menarik nafas lega.
"Sekarang, mari lihat siapa yang masih ada."
Sora menyentuh salah satu titik cahaya di hologram. Peta dunia berputar sedikit, dan barisan angka serta simbol kuno muncul di sekelilingnya—penanda tempoh masa bagi setiap Zodiac Holder.
Namun, sebaik saja dia melihatnya, matanya membesar.
"…Tak mungkin."
Tangannya mengepal di sisi. Setiap satu dari tempoh masa yang sepatutnya masih panjang—bertahun-tahun, berdekad-dekad—kini telah menjadi singkat. Ada yang tinggal beberapa bulan. Ada yang hanya berbaki beberapa minggu.
Dan ada yang… hanya tinggal hari.
Sora menggigit bibirnya. Dia menekan tangannya ke dada, merasakan debaran yang kian deras. Kenapa jadi begini? Ini tak sepatutnya berlaku.
Kemudian, satu ingatan lama kembali bergema dalam fikirannya.
—"Akan tiba satu hari, keseimbangan dunia ini akan berubah. Dan perubahan itu akan bermula dari satu nama."
Suara ayahnya bergema di dalam kepalanya, bergema sama seperti suara Hoshi yang masih bergaung di udara istana.
—"Nama itu adalah Hoshi."
Sora memejamkan mata, menarik nafas dalam. Selama ini, dia tidak pernah benar-benar yakin. Hoshi itu… 'Hoshi' yang dimaksudkan ayahnya? Dia selalu menganggap kata-kata itu hanyalah satu kemungkinan, satu ramalan yang kabur dan belum tentu benar.
Tetapi sekarang?
Dia membuka matanya semula, menatap peta dunia yang terus berputar di hadapannya. Cahaya hologram membias ke wajahnya, tapi tidak cukup untuk menyembunyikan riak keterkejutan yang masih terpahat di matanya.
Sekarang, dia tidak lagi ragu-ragu.
Hoshi yang berada di dalam istana ini… Hoshi yang sedang berlatih di dalam hutan itu…
Dialah Hoshi yang akan mengubah segalanya.