Bab 1: Antara Darah dan Takhta

Kilat menyambar langit kelam, menerangi jendela kaca istana Rosavelle dengan sinaran sekejap. Hujan turun renyai-renyai, mencipta melodi hening yang kontras dengan ketegangan yang memenuhi dewan utama. Evelynn Rosavelle berdiri tegak di hadapan abang sulungnya, Prince Lucian, matanya membakar dengan kemarahan yang tertahan.

"Takhta itu lebih layak menjadi milikku!" suara Evelynn bergetar, tetapi bukan kerana takut sebaliknya kerana amarah yang membara dalam dirinya. "Kau tahu aku lebih bijak, lebih strategik, lebih berhak daripada kau!"

Lucian mendengus, bersandar pada takhta peraknya dengan wajah yang penuh sinis. "Kebijaksanaan tidak cukup, wahai adikku. Takhta ini memerlukan lebih daripada sekadar otak yang licik. Ia memerlukan kekuatan, dominasi, dan kepercayaan rakyat. Sesuatu yang kau tidak miliki."

Jari Evelynn mengepal rapat. "Dan kau fikir kau memilikinya?"

"Cukup!" Suara garau bergema di segenap ruang dewan. Raja Alistair Rosavelle, ayah mereka, bangkit dari singgahsananya. Sorotan matanya menikam tajam ke arah Evelynn. "Perebutan takhta ini sudah berakhir. Lucian akan menjadi pewaris."

Darah Evelynn mendidih. Sejak kecil, dia hidup di bawah bayangan abangnya, tetapi tidak pernah sekali pun dia menganggap dirinya lebih rendah. Dia tahu bagaimana dunia ini berfungsi takhta bukanlah sesuatu yang diberikan, tetapi sesuatu yang direbut.

"Tapi ayah—"

"Aku tak mahu dengar bantahan, Evelynn" raja memotong dengan nada dingin."Kau ada tugasan lain. Kau bakal berkahwin dengan Adrien Valeios."

Dunia terasa seakan terhenti sejenak. Evelynn merasakan nafasnya tersangkut di dada. "Apa?"

"Kau bakal menjadi isteri kepada putera Midnight Sovereign Kingdom. Perkahwinan ini akan mengukuhkan hubungan antara kerajaan kita."

Lucian tersenyum sinis, jelas menikmati kehancuran dalam pandangan mata adiknya. "Lihatlah dari sudut positif, Evelynn. Sekurang-kurangnya kau masih berguna untuk sesuatu."

"Kau mahu aku mengahwini Adrien Valeios?" Evelynn menahan ketawa hambar. "Putera angkuh yang melihat semua orang sebagai makhluk lebih rendah? Ayahanda, kau pasti sudah gila."

Raja Alistair menajamkan pandangannya. "Ini bukan pilihan, Evelynn. Ini perintah."

Jantung Evelynn berdegup kencang. Dia bukan bidak di papan catur keluarganya, dan dia tidak akan tunduk dengan mudah. Jika mereka fikir dia akan menyerah, mereka silap besar.

Di dalam fikirannya, hanya satu perkara yang bermain jika ini permainan mereka, dia akan pastikan dia yang menang.