Bab 22: Bara dalam Dingin Istana

Langit mendung menyelimuti perjalanan mereka ke istana Valeios. Awan gelap menggantung rendah, seolah-olah dunia sendiri sedang berkabung. Derap kaki kuda dan bunyi roda kereta diraja memecah kesunyian, tapi tidak satu pun suara tercetus antara mereka.

Evelynn menoleh ke arah Adrien yang duduk di sisinya dalam kereta kuda. Wajahnya kosong, tetapi matanya menyimpan ribuan emosi yang ditahan—kemarahan, kerisauan, kesedihan, dan dendam yang belum menyala sepenuhnya.

Ketika mereka tiba di pintu gerbang utama istana, bangunan megah itu kelihatan… mati. Tiada cahaya di jendela, tiada pengawal di pos biasa. Gerbang besi terbuka luas seperti menjemput mereka masuk ke tapak pelupusan impian.

Komander Rhylen memberi isyarat pada unit elit Rosavelle yang mengiringi mereka. Mereka bergerak masuk, membentuk barisan pertahanan. Evelynn dan Adrien turun dari kereta kuda dan melangkah ke dalam balai utama.

Daripada kemewahan yang dulunya memancar, kini hanya sisa kehancuran. Langsir koyak rabak, permaidani dibasahi darah kering, dan bau sihir gelap menyelubungi setiap inci ruang.

"Ini pasti kerja necromancer." bisik Evelynn, nalurinya sebagai pengguna sihir darah terasa terganggu. "Tapi lebih kuat… lebih purba."

Adrien berjalan perlahan ke arah tangga besar yang menuju ke sayap utama istana. Dia berhenti di hadapan satu potret keluarga. Wajah ibunya yang lembut, ayahandanya yang gagah, dan adik perempuannya yang ceria—semuanya terpahat dalam bingkai usang.

"Mereka tak akan tinggalkan istana. Kalau mereka masih hidup…" suaranya tersekat, "…aku akan cari mereka sampai ke hujung dunia."

Evelynn berdiri di sisi potret itu. "Kalau mereka ditawan, pasti ada jejak sihir yang boleh kita jejaki."

Mereka melangkah ke dewan takhta Valeios. Di situ, ukiran batu besar di belakang takhta telah retak, dan lambang kerajaan telah dicemari simbol sihir kegelapan—lambang Kaelith.

Adrien berdiri lama di hadapan takhta kosong itu. Tiba-tiba, suara kecil memanggil namanya dari bayang-bayang.

"…Kekanda…"

Dia berpaling pantas. Seorang gadis kecil muncul, tubuhnya separuh lut, seperti bayang roh yang tercemar. Wajahnya adalah milik adiknya, Elira.

"Adrien…" bisiknya. "Tolong kami… dalam gelap… dalam tempat tiada ada cahaya…"

Sebelum Adrien sempat mendekati, bayang itu hilang, diserap ke dalam lantai marmar yang berkilau suram.

Adrien terduduk. Nafasnya sesak. Evelynn melutut di sisinya, meletakkan tangan di belakangnya.

"Itu bukan mimpi. Adik kau masih hidup." katanya yakin. "Dan Kaelith mahu kau tahu yang dia mampu ambil semua yang kau sayang. Tapi kita takkan biar dia menang."

Adrien memandang Evelynn. Matanya sudah tidak berair, tetapi penuh dengan bara.

"Kita akan kumpulkan semua negeri bersekutu. Kita akan bentuk satu pakatan. Dan Kaelith… akan tenggelam dalam darah."

Evelynn mengangguk. "Kita mula dari Rosavelle. Dan kita cipta kerajaan yang mampu berdiri menentang kegelapan."

Sementara itu, jauh di celah gunung yang diselimuti kabus, Kaelith Noctis berdiri di hadapan tiga sosok yang dikurung dalam kubah sihir. Raja dan Ratu Valeios, dan Elira—semuanya hidup, tetapi tak sedarkan diri.

"Permainan ini baru bermula." bisik Kaelith, senyum nipis terbentuk di wajahnya. "Mari lihat sejauh mana kau sanggup bakar dunia demi mereka, Adrien."