Bab 21: Takhta yang Terkorban

Angin malam yang menyelinap masuk dari tingkap dewan terasa lebih dingin dari biasa, seolah-olah membawa bayangan malapetaka bersamanya. Semua yang hadir di dewan terdiam, kejutan berita itu terlalu besar untuk diterima dalam sekelip mata.

Adrien mengepal tangannya. "Bagaimana itu boleh berlaku? Istana Valeios dikawal ketat. Ada penghalang sihir dan unit elit."

Utusan itu menggigil sebelum menjawab, "Semua itu tidak berfungsi, Tuan Putera. Mereka semua menembusi perisai istana seolah-olah ia langsung tidak wujud."

Lucian melangkah turun dari takhta, wajahnya suram. "Siapa yang bertanggungjawab? Adakah mereka meninggalkan apa-apa petunjuk?"

"Tidak. Hanya bayang-bayang… dan darah."

Evelynn dapat rasakan Adrien menggigil sedikit di sisinya. Bukan kerana takut tetapi marah. Satu kemarahan yang membara, ditahan oleh maruah dan keperibadian seorang putera.

"Evelynn… kau tahu apa maksud semua ni, kan?" Lucian memandang Evelynn, suaranya perlahan tetapi penuh maksud. "Jika keluarga diraja Valeios telah disingkirkan, maka takhta kerajaan mereka kini kosong. Dan kau—kau adalah isteri kepada putera tunggal mereka."

Evelynn hanya mampu menatap Lucian. Dia tahu ke mana arah fikiran abangnya.

"Dengan Adrien sebagai pewaris tunggal, dan kau sebagai permaisuri baginda…" Lucian berjalan perlahan ke arah mereka. "Takhta Valeios akan bersatu dengan Rosavelle. Kita akan jadi satu kerajaan."

"Bukan itu keutamaan sekarang!" Adrien tiba-tiba menengking, suaranya bergema kuat di seluruh dewan. Semua berpaling. "Ayahanda, ibunda serta adinda aku hilang. Rakyat Valeios sedang dalam ketakutan. Kita sedang diserang oleh musuh yang kita sendiri tidak mengerti jalan fikiran mereka, dan sekarang ni kau mahu bercakap soal kuasa?"

Lucian memandangnya, matanya tidak berubah. "Aku bercakap soal kestabilan. Jika kalian berdua tidak mula bersatu dan mengambil alih peranan memerintah, maka rakyat akan mula panik. Dan Kaelith akan menang sebelum dia sempat mengangkat senjata."

Evelynn berdiri di antara mereka. "Sudah. Tak ada guna kita bertengkar sekarang. Kita semua tahu Kaelith bergerak dalam diam. Kalau dia mampu menumbangkan Valeios, Rosavelle pasti akan jadi sasaran seterusnya."

Lucian diam seketika sebelum akhirnya mengangguk. "Baik. Kalau begitu, kita harus mulakan langkah pertama iaitu satukan istana."

Adrien tidak menjawab. Dia berpaling dan melangkah keluar dari dewan tanpa sepatah kata.

Evelynn mengejarnya seketika kemudian. Dia menjumpainya berdiri di luar, di bawah langit malam yang kelam, memandang ke arah utara—ke arah Valeios.

"Adrien…"

"Kaelith sedang menghantar mesej." katanya perlahan. "Dia mahu buat aku rasa lemah. Dia mahu aku hilang kawalan. Tapi aku tak akan bagi dia menang."

Evelynn berdiri di sisinya. "Kau tak bersendirian dalam hal ni."

Dia menoleh padanya. Untuk pertama kalinya, pandangan mereka tidak penuh dengan pertengkaran, tetapi kefahaman.

"Kita akan lawan dia bersama," kata Evelynn. "Bukan sebagai musuh. Tapi sebagai raja dan ratu."

Adrien mengangguk perlahan. "Kalau begitu… perang sebenar baru saja bermula."

Dan di kejauhan, di puncak gunung yang diselubungi kabus, sepasang mata merah terbuka perlahan—memandang ke arah dunia yang akan segera terbakar.