Hutan kembali sunyi selepas sosok bertudung itu menghilang. Hanya nafas tercungap-cungap Evelynn dan Adrien yang kedengaran, sementara pengawal yang terselamat cuba menenangkan diri.
Evelynn memandang mayat pengawal-pengawal yang kini benar-benar tenang. Jantungnya terasa berat. Meskipun dia telah membebaskan roh mereka, hakikatnya mereka tetap mati. Mereka tidak akan kembali.
Adrien meletakkan tangan di bahunya. "You already do the best."
Dia ingin percaya kata-kata itu, tetapi rasa bersalah tetap merayap di dalam jiwanya. Namun, dia tidak boleh menunjukkan kelemahan sekarang. Dengan nafas dalam, dia menguatkan dirinya.
"Kita perlu keluar dari sini." Evelynn menoleh ke arah Komander Rhylen, yang masih termengah-mengah. "Berapa ramai yang terselamat?"
Komander itu menyapu dahinya yang berpeluh. "Daripada dua puluh pengawal yang ikut serta… hanya tujuh orang yang masih hidup."
Senyap seketika. Kehilangan separuh daripada pasukan mereka dalam satu pertempuran sahaja adalah sesuatu yang mengerikan.
"Tuan Puteri… Tuan Putera…" Salah seorang pengawal yang masih hidup bersuara dengan gementar. "Apa yang akan kita lakukan sekarang?"
Evelynn dan Adrien bertukar pandangan. Jawapannya jelas.
"Kita akan pulang dahulu." kata Adrien. "Dan bersiap untuk perang."
---
𝗜𝘀𝘁𝗮𝗻𝗮 𝗥𝗼𝘀𝗮𝘃𝗲𝗹𝗹𝗲
Malam masih muda ketika mereka kembali ke istana. Namun, suasana di dalam dewan utama sudah pun dipenuhi ketegangan. Evelynn berdiri di hadapan takhta keluarganya, berhadapan dengan abangnya, Putera Mahkota Lucian.
Lucian menatapnya dengan mata tajam. "Kau tinggalkan istana dengan satu batalion pengawal, dan kau kembali dengan separuh sahaja? Dan sekarang kau bercakap tentang ancaman purba?"
"Aku tidak akan pernah bercakap tentang sesuatu yang aku tidak pasti." balas Evelynn, suaranya tegas. "Kaelith Noctis bukan sekadar legenda. Dia sedang bangkit."
Suasana menjadi tegang.
"Adakah tuan puteri mempunyai bukti yang kukuh?" soal salah seorang penasihat diraja.
Adrien, yang berdiri di sisi Evelynn, mencemuh. "Bukti kami ada dalam kubur separuh daripada pengawal yang terkorban."
Dewan menjadi sunyi.
Lucian mengetap rahang. "Dan apa yang kau mahu cadangkan?"
"Kita perlu bersedia." jawab Evelynn tanpa ragu-ragu. "Kaelith tidak akan menyerang dalam bayang-bayang selama-lamanya. Jika dia sedang merancang sesuatu, kita perlu pastikan kita bersedia sebelum dia menyerang terlebih dahulu."
Lucian kelihatan tidak senang dengan jawapan itu, tetapi dia tidak boleh menafikan kebenaran dalam kata-katanya.
Seorang utusan tiba-tiba masuk ke dalam dewan dengan wajah panik.
"Tuan Putera! Tuan Puteri!" katanya dengan suara tergesa-gesa. "Ada masalah besar!"
Evelynn menegakkan tubuh. "Apa yang berlaku?"
Utusan itu menelan liur sebelum berkata
"Istana Valeios telah diserang."
Dewan menjadi gempar.
Adrien, yang selama ini kelihatan tenang, kini berubah wajah. "Apa?"
Utusan itu menggeleng, wajahnya dipenuhi ketakutan. "Pasukan kegelapan menyerbu istana. Raja dan Ratu Valeios hilang dan takhta kini kosong."
Evelynn merasakan darahnya berderau.
Kaelith Noctis telah mula bergerak. Dan ini hanyalah permulaannya.