Sejak itu, hidup Idris terus terusan diseksa oleh Lisa. Ada sahaja gelagat Lisa yang mengundang amarahnya.
Tidak dinafikan kecantikan Lisa setanding dengan kekacakannya menyebabkan orang sekeliling tidak mempercayai adiknya itu seorang yang amat nakal dan licik. Di hadapan mereka adiknya seorang wanita yang berkaliber dengan ciri-ciri kepimpinan yang tinggi dan adab santun yang dikagumi. Realiti, dia dan neneknya sahaja yang tahu betapa keanak-anakkan gadis itu. Santun? Heh! Jauh sekali!
Getaran dari kocek seluarnya menuntut fokusnya melupakan adik tirinya itu, "Waalaikumsalam, ada apa Rahmat? Hmm, baik. Ada temujanji penting untuk saya hari ini?"
"Tiada Tuan Idris, cumanya Cik Lisa ada tinggalkan dua kertas cadangan projek untuk tuan. Katanya dia perlukan maklumbalas tuan sebelum lusa." Idris diam seketika.
"Tuan?"
"Ya Rahmat. Saya akan ke pejabat sekejap lagi. Ada apa-apa lagi?"
"Tiada yang penting cuma ada yang pelik je. Nanti tuan sampai, tuan faham." Kedengaran gelak kecil di talian sana.
"Cakap je la. Dia nak buat suspense pula." Suaranya jelas menunjukkan kejengkelannya.
"Susah nak cakap, Cuma saya galakkan tuan banyakkan istifar sebelum masuk pejabat."
"Ini mesti Lisa buat hal lagi kan?!" tuduhnya keras.
"Kali ini, saya amat pasti, Cik Lisa tidak bertanggungjawab. Saya kenal gaya prank Cik Lisa, ini kali, lain sangat gayanya. Tuan ada gandingan baru. Okay la tuan. Saya tunggu ya."
Perbualan itu ditamatkan begitu sahaja. Terkedu Idris namun bukan kali pertama perbualan diputuskan setelah selesai segala maklumat disampaikan oleh Rahmat. Hendak diperbetulkan, tiada salah dalam tingkah Rahmat itu. Kadangkala dia juga keliru, siapa majikan dan siapa pekerja.
Pedal minyak ditekan lebih kuat supaya pancuannya meluncur laju. Ingin sekali dia lihat apa yang dimaksudkan oleh Rahmat tadi.
Sejurus pintu lif dibuka matanya Idris disajikan dengan sengihan lebar Rahmat. Lelaki itu diabaikan dan langkahnya terus menuju ke pejabat yang berada dihujung koridor tetapi sepuluh pasang mata memandang tepat ke arahnya dengan senyuman sumbing.
"Apa?!"
Tepukan gemuruh memenuhi ruang pejabat menambah tanda tanya di kepalanya manakala sengihan mereka menimbulkan rasa jelek di dadanya.
Langkahnya dilajukan menuju ke pintu pejabat. Alangkah terkejutnya apabila melihat seluruh ruangan pejabat dipenuhi dengan jambakan bunga ros merah hati. Di tingkap, di meja di lantai di setiap sudut! Oh tak di lupakan belon berbentuk hati yang tertulis 'Salam Perkenalan.'
"Rahmat!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!" tempikan gempita suaranya mengundang hilai tawa semua yang hadir. "Siapa punya angkara ni? Ini tak kelakar!" mata Idris meneliti setiap individu yang seronok ketawa. Wajah tegang Idris mematikan tawa dan membuatkan semua kembali ke meja masing-masing dan berpura-pura menyambung tugasan mereka.
Namun, Rahmat masih meneruskan tawanya sambil menolak Idris ke dalam ruangan yang dipenuhi dengan haruman ros tersebut.
"Explain!"
"Bagaimana saya nak explain bos. Saya sendiri dikejutkan dengan perkara ini seawal saya masuk. Tiba-tiba ada orang datang dan berikan bunga ini untuk bos. Katanya semua ini ada lebih kurang 5000 kuntum dan ini sahaja bunga kristal yang ada nota bersamanya." Rahmat menghulurkan sekuntum ros berkilau berwarna merah dan nota ke tangan Idris.
Salam perkenalan dari saya. Ini usaha saya untuk memupuk cinta kita berdua. Harap kita dapat usahakan bersama-sama.
Yang Akan Berjuang Sebelum Menyerah,
Dahlia Aznan
Kepala yang tidak gatal digaru keras. 'Ini konklusi yang gadis itu dapat hasil dari pertemuannya pagi tadi atau ini telah dirancang sebelum pertemuan itu?' Merinding roma Idris. Untuk seketika Idris merasakan neneknya kembali hidup atau perempuan ini kelahiran semula arwah neneknya?
"Buang semua bunga ini. Bersihkan bilik saya." Buntutnya dihenyak ke kerusi di hadapan meja. Jambakan bunga diambil dah dilemparkan kepada Rahmat yang berdiri di hadapannya.
"Tuan Idris, daripada buang, boleh tak saya sedekahkan kepada yang memerlukan?"
"Memerlukan? Siapa?" Matanya mengekori ekor mata Rahmat yang menghala ke tingkap cermin di kanan pintu. Sepuluh pasang mata terkedip-kedip penuh pengharapan.
Helaan nafas lemah dihembus, "suka hati kau la Rahmat. Yang penting jadikan pejabat ni tempat yang sesuai untuk kerja, bukan taman bunga."
Sejurus rahmat membuka pintu, sepuluh orang pekerja masuk dengan wajah gembira sebelum menghujani Idris dengan ucapan terima kasih.