Beban

Selepas kejadian di kafe tempoh hari, hidup Hazim kembali tenggelam dalam hiruk-pikuk masalah yang entah bila akan reda.

Dia bukan budak baru nak hidup. Dah lama dia hadap beban, tapi kebelakangan ni, semuanya datang serentak . Kerja makin menekan dan mak pula sakit di kampung.

Setiap pagi, Hazim bangun dengan kepala berat.

Hari-hari dia macam itu. Tempat kerja pun tak beri ruang. Bos makin cerewet, kerja makin menimbun. Ada masa Hazim rasa nak berhenti, tapi dia tahu dia tak mampu.

Satu malam, lepas balik kerja lewat dan penat sangat, Hazim duduk tepi katil sambil pandang telefon bimbit. Tiba-tiba, dia teringat wajah perempuan baju putih hari tu. Rissa.

Entah kenapa, senyuman sinis dan cara Rissa berbicara melekat dalam fikiran. Bukan sebab romantik sangat, tapi sebab... pelik. Dalam hidup dia yang serabut dan penuh tekanan, dia muncul tiba-tiba macam glitch dalam sistem.

Tiga hari kemudian, Hazim singgah semula ke kafe tu. Bukan sebab nak cari Rissa , dia pun tak yakin perempuan tu akan muncul lagi tapi sebab dia perlukan tempat yang tenang, walau sekejap.

Dia duduk di tempat sama. Tepi tingkap. Pesan teh ais seperti biasa, walaupun duit makin menyempit. Dia hanya tenung minuman tu, straw pun tak terusik.

“Awak okay ke?”

Suara tu buat Hazim angkat kepala perlahan. Rissa.

Dia berdiri di tepi meja, dengan beg sandang kecil dan headphone tergantung di leher.

Hazim cuba senyum, walaupun hambar. “Kau selalu muncul masa aku tak sangka, ya?”

Rissa tarik kerusi, duduk perlahan. “aku nampak kau dari luar. Macam... bukan Hazim yang sama hari tu.”

Hazim tunduk sekejap, telan nafas dalam. “Kau tahu tak... hidup aku sekarang tunggang-langgang. Duit tak cukup, kerja makin gila, mak aku sakit... aku tak tahu sampai bila aku boleh bertahan.”

Rissa diam, tapi wajah dia berubah. Tak ada senyuman, tak ada sindiran. Cuma simpati.

“Saya tak tahu nak tolong macam mana. Tapi... saya boleh dengar.”

Hazim pandang dia lama. Waktu itu, dia tak perlukan nasihat. Cuma seseorang yang duduk diam-diam, dan sudi dengar dunia dia yang makin runtuh.

Dan malam itu, untuk pertama kali dalam beberapa minggu, Hazim rasa sedikit ringan.

Bukan sebab masalah selesai.

Tapi sebab akhirnya, ada seseorang yang betul-betul ada walaupun cuma mendengar.

Malam makin pekat, dan kafe dah mula lengang. Hazim dan Rissa masih duduk di meja yang sama. Gelas teh ais Hazim tinggal separuh, manakala Rissa hanya bermain-main dengan penutup minuman caramel lattenya.

“Aku tak sangka aku cakap semua tu kat kau,” ujar Hazim perlahan, jujur.

“Kadang-kadang kita cuma perlukan orang luar,” balas Rissa. “Yang tak kenal kita sangat, jadi tak cepat menilai.”

Hazim angguk perlahan. Tiba-tiba, satu suara menyampuk dari belakang mereka.

“Hazim? Eh, kau buat apa kat sini?”

Hazim toleh cepat. “Malek?”

Seorang lelaki tinggi, berbaju jaket sukan dan topi terbalik berdiri di belakang Rissa. Muka dia nampak terkejut, tapi lebih kepada teruja.

“Aku baru nak bungkus air. Sekali nampak kau. Dengan…” Malek pandang Rissa. Kemudian matanya terbuka luas.

“Eh. Rissa?”

Rissa terus senyum. “Malek? Eh, awak buat apa kat sini?”

Hazim pandang dua-dua orang tu bergilir-gilir. “Kau… kenal dia?”

“Kenal?” Malek tergelak kecil. “Ni kawan aku dari sekolah matrik dulu, bro! Dah lama gila tak jumpa.”

“Kami sama-sama gila Kimia masa tu,” Rissa menyampuk, senyum makin lebar. “Malek ni dulu suka tidur waktu kelas. Tapi result dia selalu lebih tinggi dari saya.”

Malek ketawa, “Sebab saya tiru nota awak lah.”

Hazim tergelak kecil, tapi dalam hati ada satu rasa yang dia sendiri pun susah nak kenal pasti. Antara terkejut, keliru, dan sedikit... risau?

“Lama tak jumpa kau, Rissa. Macam mana boleh jumpa dengan Hazim ni?” soal Malek sambil tarik kerusi di tepi.

Rissa pandang Hazim sekejap sebelum jawab. “Saya rampas tempat duduk dia hari tu.”

Malek pandang Hazim, blur. “Hah?”

Hazim geleng perlahan, senyum pahit. “Panjang cerita. Tapi kau ni… betul-betul kenal Rissa?”

“Of course. Dia ni dulu ‘partner in crime’ aku. Mana aku pergi, dia lepak sekali. Study group, kafe, library…”

Hazim tunduk sekejap, straw teh ais disedut perlahan. Hati dia rasa senyap.

Rissa perasan riak muka Hazim berubah. Dia renung Hazim, cuba cari sesuatu di mata lelaki itu.

“Awak okay?” tanya Rissa perlahan.

Hazim senyum nipis. “Aku okay. Cuma... tak sangka kau dengan Malek pernah rapat.”

Malek tepuk belakang Hazim. “Kecil je dunia, bro.”

Hazim tak jawab. Dia cuma pandang gelas yang makin kosong.

Dalam kepala, macam-macam suara mula bersilang. Malek ,kawan yang selalu ada. Rissa,perempuan yang muncul entah dari mana, tiba-tiba jadi tempat dia luah segalanya.

Dan sekarang, dua-dua kenal antara satu sama lain. Rapat pula tu.

Hazim tarik nafas perlahan.

Malam tu, angin terasa lebih sejuk dari biasa.