Hari Isnin yang tenang di SMK Seri Damai. Tiga sahabat — Wei Lin, Arun dan Haikal — dipanggil ke bilik pengetua sekali lagi. Kali ini mereka sudah bersedia. Masing-masing ingat mungkin nak bagi surat rasmi lawatan atau maklumat penerbangan.
Tapi bila masuk saja ke pejabat Puan Harlina, suasana terasa sedikit berbeza. Pengetua itu memandang mereka bertiga dengan senyuman penuh makna.
“Anak-anak, saya nak beritahu sesuatu…”
Wei Lin, yang duduk tegak di kerusi hadapan, terus pasang telinga. Haikal pula sibuk menilik jarinya. Arun tenang seperti biasa.
“Lawatan ke Satri Rachinuthit School ini bukan hanya seminggu seperti yang kita sangka awalnya. Tapi... kamu bertiga akan berada di sana selama sebulan penuh.”
“Sebulan, puan?” ulang Arun perlahan.
Wei Lin terlopong. Haikal pula — dah macam tersedak air liur sendiri.
“Sebulan?” dia ulang kuat.
“Ya. Ini adalah program khas pertukaran budaya dan pembelajaran. Kamu akan sertai kelas, aktiviti kokurikulum, tinggal di asrama pelajar, dan belajar serba sedikit tentang kehidupan dan budaya mereka.”
Reaksi Campur-Campur
Wei Lin segera tanya, “Macam mana dengan kerja sekolah dan peperiksaan kami nanti?”
“Kami sudah aturkan dengan guru tingkatan. Tugasan akan dibekalkan dan kamu boleh siapkan semasa berada di sana. Guru pengiring akan bantu pantau,” jawab pengetua tenang.
Haikal pandang dua sahabatnya.
“Wei Lin, Arun… korang okey tak ni? Sebulan... aku tak pernah tinggal rumah lama macam ni.”
Arun senyum dan tepuk bahu Haikal. “Ini pengalaman sekali seumur hidup, bro. Kita hadap sama-sama.”
Wei Lin tarik nafas. “Kalau aku takut, aku tak akan belajar benda baru. So… aku terima.”
Persiapan Baru Bermula
Pengetua menghulurkan satu fail besar berisi:
> Jadual lengkap selama sebulan
> Nama guru pengiring
> Senarai pakaian & keperluan
> Senarai kelas yang akan dimasuki
> Nama pelajar Thailand yang akan menjadi "buddy"
“Kamu akan berlepas minggu depan. Masa untuk bersedia... dengan mental dan fizikal.”
Wei Lin, Arun dan Haikal saling berpandangan. Masing-masing tahu — ini bukan sekadar lawatan. Ini adalah detik yang bakal ubah hidup mereka.