Finn kembali ke biliknya dengan wajah termenung. Setelah membersihkan diri dan menikmati secangkir kopi hitam di tepi jendela, dia larut dalam fikirannya. Angin petang yang sejuk menyentuh kulitnya, namun hatinya tetap hangat oleh teka-teki yang belum terjawab. Masa berlalu tanpa disedari, dan langit mula bertukar jingga.
"Ah, dah petang rupanya," gumamnya sambil bangkit. "Tak terasa waktu berlalu. Baik aku pergi sekarang. Lebih awal, lebih baik."
Dia segera menuju ke perpustakaan. Setibanya di sana, dia melihat Shina sudah berdiri di pintu masuk.
"Maaf sebab buatmu menunggu. Dah lama sampai?" tanya Finn.
“Tak, jujurnya aku baru sampai. Cuma beza beberapa minit,” balas Shina.
"Syukurlah..."
Tanpa banyak bicara, mereka melangkah masuk bersama. Penjaga sempat cuba menahan Finn, tetapi Shina memberi isyarat ringkas—dan dia dilepaskan begitu saja. Di dalam, Finn terkesima. Perpustakaan itu kecil, hanya sekitar sepuluh rak, tetapi setiap buku di situ besar dan tebal—hampir sepertiga saiz tubuh manusia. Ukiran pada kulit buku tampak kuno, dan aura keanehan memenuhi udara.
“Wah… besarnya buku-buku di sini,” ujar Finn.
“Kalau berkaitan sihir dan sejarah, memang buku dibuat besar. Supaya tulisan tetap jelas dan tidak hilang ditelan masa. Buku dianggap seperti permata—salah satu sebab kenapa dibuat besar dan berat adalah untuk elakkan kecurian pada zaman dahulu,” jelas Shina.
Finn menyelusuri rak dan matanya tertarik pada sebuah buku tua berwarna coklat kusam.
“Shina, buku itu tentang apa?”
“Itu... asal-usul dunia. Sejarah dan perang zaman dewa,” jawab Shina. “Silakan baca. Aku sarankan. Jujurnya, kamu nampak terlalu asing dengan dunia ini…”
Finn mengangguk, lalu duduk di meja batu dan membuka halaman pertama. Tinta hitam pada helaian kulit tampak berkilau samar—seakan masih hidup. Dan sebaik dia mula membaca, dunia di sekelilingnya seolah-olah menghilang, digantikan dengan bayangan masa lalu yang menggugah.
---
...Dunia Bermula...
Kekosongan. Senyap. Tidak ada warna, tidak ada suara. Hinggalah satu cahaya muncul—diikuti oleh empat lagi.
Lima cahaya agung berputar perlahan, melahirkan dunia dengan harmoni dan ketenangan. Mereka bukan pencipta, tetapi penjaga. Laziel yang bercahaya keemasan menyentuh awan, Morthen yang diselubungi malam membentuk bayang, Euris menumbuhkan hutan dan angin, Seraphin mencium roh pertama, dan Azathoth… hanya diam.
Mereka memelihara keseimbangan: siang dan malam, harapan dan putus asa, kekuatan dan kelemahan. Dunia Ehlef berkembang—manusia, beastkin, elf, dan makhluk lainnya hidup dalam kedamaian.
Namun tiada kedamaian yang kekal.
Pada suatu malam, langit retak. Dari retakan itu, kegelapan mengalir—makhluk-makhluk tiada wajah dan tiada bentuk, hanya dikenali sebagai Outer Gods. Mereka tidak mencipta, tidak memahami—mereka hanya ingin merosakkan.
Dari kehendak mereka, lahir Elder Thing—makhluk menjijikkan yang memamah jiwa dan menyerap kekuatan. Mereka turun, membunuh pahlawan demi pahlawan, meruntuhkan kota, membakar hutan, dan meminum sungai yang menangis.
Para dewa cuba bertahan. Laziel membakar ribuan dengan cahaya, Morthen menelan mereka dalam kegelapan, Seraphin memanggil roh-roh untuk membantu. Namun sia-sia. Satu per satu mereka jatuh, tubuh mereka dilumat dan kekuatan mereka diserap.
Azathoth masih diam. Masih tidur.
Dengan gugurnya empat dewa utama, keseimbangan dunia menjadi rapuh. Pahlawan yang tersisa masih berjuang menahan serangan Elder Thing yang semakin gila. Mereka kini jauh lebih kuat setelah menyerap kekuatan para dewa.
Azathoth, yang biasanya lena, kini bangkit. Dia menjerit—jeritan yang menggegar segala makhluk, seperti ibu yang menyaksikan anaknya dibunuh di depan mata. Dunia terdiam. Elder Thing yang selama ini membabi buta kini kaku. Outer Gods yang selalu tersenyum sinis, kini tak bersuara.
Azathoth ingin turun… tetapi dia terikat oleh aturan kosmik. Maka dia membelah dirinya sendiri, dan mengutus pecahan jiwanya ke dunia—Chutulu. Wujud dari kemarahan, kesedihan, dan penyesalan Azathoth.
Chutulu—berwajah kosong, tubuh manusia bercahaya putih, dan dua cincin berputar di sekeliling kepalanya.
Dia turun.
Dan dunia mula bernafas semula.
Elder Thing yang sebelum ini menyerang tanpa arah kini goyah. Mereka berjumlah lebih dua puluh, masing-masing kuat setelah menelan jiwa pahlawan dan dewa. Namun Chutulu tidak gentar.
Chutulu membantai mereka seperti menyayat kelambu. Darah pekat mereka menitis ke bumi, menyuburkan tanah dengan sihir dan ketakutan. Namun jumlah mereka terlalu ramai. Ketika nafas Chutulu mulai berat, tiga makhluk baru turun dari langit yang terkoyak.
Zar’khel, si penyesap kekuatan.
Thu’raqan, raksasa pemusnah.
M’naleth, pengacau ilusi.
Jumlah Elder Thing berkurangan menjadi sembilan, namun tubuh Chutulu penuh luka. Dan kini, tiga Outer Gods hadir. Situasi semakin buruk.
Chutulu mendongak ke langit. Dia tahu dia tidak cukup kuat. Maka, dia terbang, mengangkat tangannya tinggi—merapal sihir kuno dan mencipta tiga makhluk baru. Mereka tampak seperti manusia, namun hanya luaran. Dalamnya adalah kekuatan ilahi.
"Alice. Pharsha. Odeth. Hiduplah."
Alice, perempuan berkaca mata dengan mantel panjang dan tatapan tajam, penguasa empat elemen sihir.
Pharsha, berambut pendek, bergerak dan menghilang seperti bayangan angin.
Odeth, tenang dan misteri, berjubah hitam putih, penggabung cahaya dan gelap.
Bersama, mereka menyerang. Mereka mengikat, membakar, dan mencantas. Elder Thing mula lenyap satu demi satu. Namun pertarungan melawan Outer Gods adalah cerita lain. Thu’raqan tumbang setelah pertarungan berjam-jam—Chutulu menemukan celah dan menebas dadanya dengan luka parah.
Chutulu menyerap jiwanya seperti yang dilakukan Elder Thing—tetapi tidak menghabiskannya. Masih tersisa mayat. Berbeza dengan musuhnya yang menelan jiwa hingga ke sel terakhir. Dan kerana itu, Chutulu pulih—kekuatan kembali.
Namun... mayat itu hidup semula. Thu’raqan menusuk Chutulu dari belakang. Ternyata dia belum benar-benar mati.
Zar’khel tertawa, lalu menekankan tangannya ke kepala Chutulu—menyedut kekuatan seperti racun. Cahaya tubuh itu mula malap.
"Tidak!" jerit Alice. Dia melangkah, tetapi terhalang sisa Elder Thing.
Dan ketika itu, satu kilatan cahaya meluncur.
Sebuah pedang—dilempar dari jauh—memotong tangan Zar’khel. Dari balik asap dan darah, muncul seorang lelaki—berambut panjang, bermata tajam, tubuhnya penuh luka hingga tulang tangannya kelihatan. Dia Alex, pahlawan terakhir yang selamat dari pembantaian sebelumnya.
Dengan kesempatan itu, Chutulu bangkit semula. Alice dan yang lain menghapus sisa Elder Thing. Zar’khel kini bersendirian. Dia memberi isyarat—M’naleth berlari kepadanya dan diserap.
Zar’khel berubah. Mengerikan. Kuat. Tetapi tidak sempurna.
Alex hanya memerhati. Dia tidak berdaya. Azathoth memiliki kekuatan, namun terikat aturan. Mereka berdua—meskipun entiti berbeza—merasakan perkara yang sama: kebencian terhadap ketidakberdayaan.
Akhirnya, dengan dunia hampir retak dan masa semakin runtuh, Chutulu dan ketiganya menghimpit makhluk terakhir ke sudut ruang. Zar’khel, terdesak, cuba melarikan diri ke Void—ruang tanpa masa, tempat asal mereka. Chutulu dan yang lain berjaya melukakannya—menusuk perut dan memotong tangannya.
Namun itu semua sia-sia. Zar'khel berjaya masuk ke void walaupun tubuhnya penuh dengan luka fatal. Sebelum masuk ke Void, Zar’khel sempat tersenyum. Senyuman seperti mengejek dan merendahkan Chutulu.
Dan setelah itu, Chutulu terdiam sejenak. Terkaku. Dia turun, melangkah perlahan diikuti oleh Alice, Pharsha dan Odeth. Mereka berdiri di hadapan Alex dan...