Kesedaran Finn perlahan-lahan pulih. Matanya masih tertutup, namun deria rasanya mula mengesan keadaan sekeliling—lembut... hangat... dan jauh lebih empuk daripada bantal di biliknya. Ada rasa nyaman yang aneh di belakang kepalanya.
Dia membuka mata perlahan.
Pandangannya kabur pada mulanya... kemudian segalanya menjadi jelas.
Kepalanya sedang terletak di atas paha Dorothy.
Finn terdiam. Jantungnya berdegup kencang. Dalam kepalanya, ribuan persoalan berlumba-lumba mencari jawapan.
“Aku... pengsan masa latihan. Tapi... kenapa aku di sini? Kenapa atas—”
Dorothy masih bersandar di dinding, lena dengan nafas yang teratur. Wajahnya kelihatan tenang, helaian rambut menutupi sedikit pipinya yang kemerahan.
Tiba-tiba, dia mengeliat perlahan lalu membuka matanya yang masih berat.
“Dah bangun?” suaranya serak dan mengantuk, namun lembut—hampir manja.
“A–ah, ya… nampaknya aku bangun dulu,” balas Finn tergagap, segera mengalihkan pandangan.
“Yaa… nampaknya begitu,” jawab Dorothy sambil menggosok matanya perlahan.
Sekelip mata, suasana menjadi janggal. Finn berdebar—bukan kerana ketakutan, tetapi kerana rasa canggung yang aneh. Namun dia bukan satu-satunya. Wajah Dorothy sedikit merah, dan senyum kecil di hujung bibirnya kelihatan cuba menyembunyikan rasa segannya sendiri.
Bagi meredakan suasana, Finn membuka bicara.
“Hebat juga skill Dance kau tu. Tak sangka kau boleh elak serangan dalam posisi macam tu…”
Dorothy tersenyum nipis. “Sejujurnya... aku pun tak rancang nak guna. Tapi masa bertarung tu, aku terlalu hanyut. Skill tu aktif sendiri.”
“Heh… maksudnya aku berjaya buat kau serius?”
“Lebih kurang,” jawab Dorothy ringkas. Namun kali ini, matanya merenung Finn sedikit lebih lama—dan lebih lembut.
Mereka terus berbual. Nada bergurau, tawa kecil sesekali mengisi ruang. Cahaya senja menghiasi mereka berdua, mencipta suasana yang hampir seperti lukisan klasik—hangat, tenang, dan tulus. Di celah gelak ringan dan diam panjang, keakraban mereka semakin bertumbuh. Ada rasa percaya. Ada rasa... sesuatu yang belum dinamakan.
Malam menjelma. Finn perlahan-lahan bangkit dari pangkuan Dorothy, cuba untuk tidak mengganggu. Namun, sebelum dia sempat berdiri sepenuhnya...
“Finn…” panggil Dorothy.
“Hm?” Dia menoleh.
“Kau suka paha, ya?”
“A–APA?!” hampir tersembur nafas Finn.
“Sebab kau tak berganjak langsung dari tadi. Siap sandar lagi,” sambung Dorothy dengan nada tenang. Namun pipinya... jelas sekali merah padam.
Finn menelan air liur. “A-aku... maaf! Aku tak sengaja! Aku—terbawa suasana! Maaf kalau aku...”
“Tak. Tak perlu minta maaf,” balas Dorothy cepat, matanya melarikan pandangan. “Aku cuma... tanya.”
Finn hanya mampu terkebil. Dan sebelum situasi menjadi lebih sukar dikawal, dia segera kembali ke biliknya.
Namun, sesuatu yang pelik menantinya.
Tilam biliknya terasa... terlalu empuk. Bau lembut seperti lavender menyapa hidungnya. Ada bantal peluk besar yang dia tak ingat pernah dia miliki.
Terlalu penat untuk berfikir, Finn hanya bergumam kecil, “Ah... mungkin aku terlalu letih,” sebelum akhirnya tertidur.
---
Pagi Esoknya
Finn terjaga perlahan. Matanya berat, tetapi deria baunya segera tersedar—bau harum semalam... masih ada.
Dia membuka mata.
Dan hampir terlompat dari katil.
Ini... bukan bilik aku.
Dengan panik dalam diam, Finn memandang sekeliling. Dekorasi dinding, rak buku kecil, langsir berwarna pastel... Ini bukan biliknya. Dia pasti.
Dia segera bangun perlahan, cuba menuju ke pintu dengan penuh hati-hati. Namun—
“Emmm... dah bangun rupanya.”
Finn kaku.
Bantal peluk yang disangkanya bantal rupa-rupanya Shina yang sedang tidur. Shina menggosok matanya perlahan. Suaranya serak manja, dan matanya separuh terbuka menatap Finn.
“A–ah! Selamat pagi! Aku... maaf! Aku silap masuk bilik! Aku terlalu penat semalam dan—”
Shina hanya diam sejenak. Wajahnya sukar dibaca.
Kemudian dia senyum kecil. “Berani juga kau, ya?”
Finn makin panik. “Maaf!! Aku betul-betul tak sengaja! Aku—aku tak—”
Shina akhirnya ketawa kecil. “Tenanglah... aku tahu kau bukan jenis yang suka ambil kesempatan.”
Finn menghembus nafas lega. Tapi—
Tok! Tok! Tok!
“KAKAK!! SAYA MASUK YAAA!!” suara Lucy bergema dari luar.
Wajah Shina serta-merta berubah. Senyumnya hilang, matanya membulat. Dia kelihatan pucat.
“Bawah katil! Sekarang!!”
Tanpa banyak soal, Finn menyelinap ke bawah katil saat pintu terbuka.
Lucy meluru masuk seperti ribut, merungut tentang latihan, kerja sekolah, dan kerana kesibukan, dia tak sempat berjumpa dengan Finn. Shina cuba kekal tenang, tersenyum dan melayan seperti biasa... tapi dari bawah katil, Finn dapat dengar degupan jantung Shina. Nafasnya tidak stabil.
Setelah Lucy keluar, Shina tunduk dan melepaskan nafas panjang.
Finn keluar dari bawah katil.
Beberapa saat hening berlalu. Namun di sebalik kekalutan itu, satu perkara kuat bermain di fikiran Finn.
“Shina.”
“Hm?” Dia menoleh.
“Boleh saya tanya sesuatu?”
Shina mengangguk.
“Perpustakaan. Saya dengar ada satu di sini, kan? Boleh saya pergi ke sana?”
Wajah Shina sedikit berubah. Bukan marah, tetapi seperti sedang berfikir mendalam.
“Perpustakaan?” ulangnya perlahan.
“Ya. Saya sebenarnya nak belajar sihir dan faham sedikit tentang cara kerjanya. Tapi masih susah... jadi saya ingin belajar dengan cara yang betul. Kau sendiri cakap, membaca ialah salah satu cara yang baik untuk belajar sesuatu.”
Shina tunduk sedikit. Ekspresinya masih sama. Mulutnya seakan mahu berkata sesuatu... namun tiada suara keluar.
Finn perasan perubahan itu. “Kalau tak boleh, tak apa. Saya cuma—”
“Tempat tu... tak boleh dimasuki oleh sebarangan orang. Sihir keluarga kami dan sejarah asal-usul dunia ada di sana. Ceritanya tidak ditapis—benar-benar mencerminkan kebenaran yang berlaku pada masa lalu. Boleh dikatakan tempat itu adalah kawasan larangan. Hanya beberapa orang sahaja yang dibenarkan masuk,” jawab Shina.
Finn kaku. “Kawasan larangan?”
Shina mengangguk perlahan. “Ya, bahkan adik saya, Lucy pun hanya boleh masuk dengan pengawasan yang ketat. Ada sihir berbahaya dan buku-buku aneh yang boleh menyerap mana pembacanya.”
Finn menunduk, kesal. “Maaf. Saya tak tahu.”
“Bukan salah kamu...” jawab Shina cepat.
Beberapa detik hening berlalu.
Kemudian, perlahan-lahan, Shina bersuara lagi.
“Tapi kalau kamu... betul-betul nak belajar,” dia menarik nafas, “saya boleh bawa kamu masuk. Tapi saya akan ikut sekali. Dan kamu kena janji... jangan sentuh apa-apa tanpa izin.”
Finn mengangkat wajah. Matanya berbinar. “Serius boleh?”
Shina mengangguk, meski agak perlahan.
“Petang nanti... saya akan bawa kamu.”
“Terima kasih, Shina. Saya janji takkan sentuh apa-apa tanpa bertanya.”
Shina tidak menjawab. Dia hanya mengangguk kecil.
Ketika Finn hampir keluar, dia sempat melihat sekilas pipi Shina yang kemerahan. Namun dia tidak menegur.