Keheningan menyelubungi halaman latihan. Angin petang enggan berhembus, seolah-olah turut menyaksikan pertemuan dua jiwa dari dunia berbeza. Finn berdiri tegak, peluh dingin membasahi tengkuknya, matanya tertancap pada wanita anggun di hadapannya.
Wanita itu berdiri dengan tenang, tangan bersilang di dada. Rambut hitam panjangnya berkilau di bawah cahaya senja. Sepasang mata merah menyala memancarkan aura tajam, namun dalam dan tenang. Dia memiringkan kepala sedikit.
“Hmm... mahu dirahsiakan, ya?” Nadanya lembut. “Tak mengapa. Menyembunyikan jenis skill adalah perkara biasa di benua ini. Lagipun, rahsia adalah senjata pertama bagi mereka yang belum cukup kuat.”
Finn sedikit tergamam, namun mengangguk sopan.
“Terima kasih kerana memahami.”
“Sudah menjadi kebiasaan.” Dia tersenyum nipis. “Oh, saya terlupa memperkenalkan diri. Aku Oze Shina, pemilik manor ini... dan juga pentadbir wilayah Eirfa.”
Finn terkejut, walaupun hatinya sudah menjangka. Wajah wanita ini terlalu mirip Lucy, tetapi karisma mereka jauh berbeza. Lucy ibarat musim bunga—riang dan hangat. Tapi Shina... seperti musim luruh: tenang, tajam, dan menggoda dalam diam.
“Saya Finn Carter. Seorang yang diselamatkan oleh Dorothy.”
Shina menatapnya sejenak, seolah-olah menilai lebih dari sekadar kata-kata itu.
“Saya juga berterima kasih kerana memberi tempat berlindung serta rawatan yang layak,” tambah Finn, sopan.
Shina tersenyum tipis. Matanya kemudian jatuh pada pedang kayu di tangan Finn.
“Tadi, gerakanmu... agak kasar. Tapi saya nampak ada kecerdikan dalam setiap langkah. Kamu pernah berlatih?”
“Sedikit... hanya dalam teori.”
“Teori? Kamu belajar dari buku?”
“Aa-a... begitu lah, haha.”
Shina tertawa kecil.
“Bagus. Membaca memang salah satu cara terbaik untuk belajar.”
Belum sempat Finn membalas, Shina berpaling dan melangkah pergi.
“Saya ke perpustakaan dulu. Kebetulan sahaja saya lalu di sini. Saya rasa nanti kita akan bertemu lagi.”
Finn mengangguk perlahan. “Selamat membaca, Cik Shina.”
Shina berhenti sejenak, lalu menoleh dengan senyuman lembut.
“Panggil saya Shina sahaja. Saya izinkan.”
Finn terpinga-pinga, tapi hanya mampu mengangguk.
---
Langkah ringan menyusul dari arah belakang. Suara ramah dan tenang menyapa.
“Kamu jumpa Puan Shina?” Dorothy tersenyum sambil menyerahkan satu botol air.
“Ya. Dia... menarik.” Finn menyambut botol itu.
“Dan cantik, kan?” sambung Dorothy, mengusik.
Finn mengangkat bahu, berpura-pura santai. “Itu tak boleh disangkal.”
Dorothy duduk di sisinya.
“Dia bukan seperti bangsawan biasa. Dia lebih kuat dari saya, tapi langsung tak sombong. Ilmu sihirnya? Jangan ditanya. Setiap tindakannya teliti dan penuh perhitungan. Dia juga pandai membaca potensi seseorang. Saya sendiri... dipungut oleh Puan Shina kerana hal itu.”
Finn menyandar pada tiang kayu.
“Saya faham kenapa kamu hormat padanya.”
Dorothy mengangguk perlahan.
“Puan Shina pernah ditawarkan tempat dalam parti pahlawan,” suaranya menjadi serius. “Tapi dia menolak. Sampai hari ini, tiada siapa tahu kenapa. Sedangkan menjadi ahli parti pahlawan ialah kehormatan tertinggi di dunia Ehlef—namamu akan terpahat dalam sejarah, kau dapat kekuatan luar biasa… dan mungkin dilantik sebagai bangsawan tertinggi.”
Finn terdiam. Dari kata-kata itu, dia tahu—Shina bukan wanita biasa. Luarannya tampak lembut, namun jika dia pernah ditawarkan tempat dalam parti pahlawan, maka kekuatannya pasti luar biasa.
---
“Finn, kamu dah boleh berdiri dan ayunkan pedang dengan stabil. Mahu cuba lawan saya?” tanya Dorothy tiba-tiba.
Finn menoleh, senyum tipis.
“Berlawan dengan kamu? Kedengaran bodoh... Tapi saya takkan lepaskan peluang belajar daripada yang terbaik.”
“Jangan risau. Saya takkan serius. Saya hanya akan guna pedang kayu dan sedikit pengalaman.”
---
Finn memasang kuda-kuda. Dorothy berdiri santai, namun jelas—ini bukan sekadar latihan. Ini ujian. Finn menyerang dahulu. Langkahnya pantas, tikamannya lurus dan tepat.
Clak!
Wossh!
Pak!
Dorothy menangkis dengan mudah, seperti membaca gerakan sebelum ia berlaku. Setiap serangan Finn dibalas dengan gerakan kecil, tapi tepat.
“Lambat. Terlalu bergantung pada bentuk. Kamu ada otak, gunakannya,” ucap Dorothy, tenang.
Finn mula berubah. Dia berundur, kemudian mencuba variasi—serangan melengkung, gerak tipu, dan tikaman berganda. Dorothy masih mengelak, tetapi kali ini matanya lebih fokus.
“Finn, buang egomu. Kamu bukan pahlawan—harga dirimu takkan selamatkanmu dalam pertarungan hidup dan mati. Jadilah licik. Kejam. Gunakan tipu daya. Itu bukan curang—itu kepintaran.”
Finn mengetap gigi. Kata-kata itu... menyentuh di dalam dirinya. Dia tahu dia tak punya kekuatan dan kecepatan sehebat Dorothy. Tapi dia tetap ada kelebihan.
---
Skill Aktif: Ilusi (Cabang Nyarlathothep)
> Ilusi ringkas yang dapat digunakan pada musuh. Bentuk ilusi bebas—visual, suara, bahkan rasa sakit. Efektif terhadap musuh yang lengah atau tidur.
---
Finn mengaktifkan skill itu. Dunia Dorothy tiba-tiba menjadi senyap. Gelap. Kosong. Dalam ruang hening itu, dia berdiri seorang diri.
Seketika kemudian—
Shing!
Serangan datang dari kiri!
---
Tempat latihan yang tadi sepi kini riuh. Ramai yang datang menyaksikan pertarungan.
“Wahh, kenapa Dorothy tak dapat rasa kehadiran budak tu?” tanya seorang lelaki berjubah kelabu.
“Mungkin penglihatannya dirampas. Atau dia terkena ilusi,” jawab lelaki berbadan besar, wajahnya samar dalam bayang.
“Hmmm… masuk akal. Tapi gerak budak tu aneh. Sekarang aku faham kenapa dia mampu beri cabaran pada high ogre tempoh hari.”
“Haha! Setuju!”
---
Kembali ke pertarungan.
Dorothy mengaktifkan Skill: Dance secara refleks. Tubuhnya meluncur ke sisi, setiap gerakan seperti tarian yang mencabar logik ruang dan masa.
“Bagus…” gumam Dorothy, sebelum berpusing dan—
THWACK!
Kayu menghentam dagu Finn tepat. Dunia berputar.
Dan segalanya gelap bagi remaja itu.