Bab 9 : Pahlawan

Hangatnya pagi masih terasa meski cahaya mentari belum sepenuhnya mencurah. Suara burung mulai reda, menandakan fajar akan segera berlalu. Namun, dada Finn kini basah bukan oleh hujan, melainkan oleh air mata seorang wanita—wanita yang selama ini dia anggap kuat, kini menangis dalam pelukannya.

Tanpa sepatah bicara, Finn membalas pelukan itu. Hujung telinga arnab yang panjang menyentuh wajahnya, harum lembutnya menyelinap ke hidung, mencipta suasana aneh... tapi damai.

Tok tok tok.

Bunyi pintu mengetuk—lagi. Tapi kali ini, tidak ada jeda.

Pintu terbuka tanpa izin.

Seorang wanita melangkah masuk. Langkahnya terhenti serta-merta. Pandangannya tertancap pada dua insan yang sedang berpelukan di tengah bilik. Ia adalah Shina.

Finn cepat-cepat berpaling, namun tak sempat melepaskan pelukan. Matanya bertemu dengan pandangan Shina—matanya kosong, namun bibirnya melengkung membentuk senyuman. Senyuman yang aneh. Tubuhnya yang biasanya anggun kini tampak kaku dan dingin.

Dengan suara yang datar, Shina bertanya:

"Finn... apa yang aku sedang lihat sekarang?"

Finn tersentak, suaranya gugup.

"Aa... err… Riana, dia cuma… curhat."

"Ohh. Puan Shina ya," sahut Riana tiba-tiba, cepat-cepat menyeka air mata. "Maaf... saya ganggu."

Shina tidak menjawab. Dia hanya melangkah masuk perlahan, kemudian menatap Riana tanpa kelip.

"Riana."

"Ya?"

"Aku anggap kau seperti adik kandungku sendiri. Aku sayang kau... Tapi aku tak sangka kau mendahului aku." Suaranya lembut, tapi dingin seperti bilah pisau.

"Maaf, Puan Shina... Tapi bila saya bersama Finn, saya rasa… tenang." Jawapan Riana ikhlas, polos seperti kanak-kanak.

"Begitu ya..." Shina mengangguk perlahan. Dia berpaling ke pintu, matanya tidak lagi memandang sesiapa.

"Urusanku dah selesai. Nanti aku maklumkan hasilnya, ya Finn."

"Ah… baiklah. Kalau ada apa-apa—"

Namun sebelum Finn sempat menghabiskan ayatnya, pandangan Shina menikam tajam ke arah Riana.

"Hehe… baiklah, Finn~" balas Riana dengan nada manja, seakan menang dalam permainan

Finn kian bingung. Riana, yang biasanya pasif, kini bersikap terbuka dan ceria—itu menggembirakan. Tapi Shina…

Shina tampak… asing.

"Ada apa, Shina? Kau okay?"

Shina memalingkan wajah, lalu tersenyum pahit.

"Finn… Kau ni bijak. Tapi kadang… bodoh juga."

Finn mengerutkan dahi. Dia tidak faham.

Namun Shina akhirnya menarik nafas panjang dan bersuara lagi, kali ini lebih tenang.

"Sudahlah… aku sebenarnya cuma nak melawat. Kau balik lambat semalam, kan?"

"Iya. Aku berbual dengan Node. Nampaknya… kami serasi."

"Node, ya? Hmm. Itu menjelaskan semuanya. Maaf kalau aku tadi… aneh."

"Aneh?"

Shina tak menjawab, hanya tersenyum. Dia mengubah topik.

"Kau nak ke perpustakaan petang ni, kan?"

"Ya. Tapi semalam aku terbaca buku sejarah. Padahal niat aku nak belajar sihir."

"Hehe, tapi muka kau serius sangat masa baca buku tu."

"Sebab buku tu menarik. Banyak sangat tanda tanya muncul lepas aku baca."

Shina ketawa kecil, lalu berkata:

"Buku tu ditulis oleh anak Alex—Arthur. Semua cerita tu, dia dengar sendiri dari mulut ayahnya. Dialah satu-satunya saksi tragedi hebat itu."

"Arthur? Anak pertama Alex?"

"Ya. Tapi dia bukan pahlawan seperti ayahnya."

"Bukan pahlawan? Tapi bukankah dia anak Raja Dunia?"

Shina tersenyum. Perlahan dia berjalan ke sudut ruang di mana Finn biasa menikmati kopi. Finn mengikutinya. Di situ, di bawah cahaya redup mentari pagi, perbualan mereka berlanjut.

"Finn, bagi kau… apa itu pahlawan?"

Finn diam sejenak.

"Err… seorang yang kuat, lawan kejahatan… agaknya?"

"Tak salah. Tapi definisi itu berubah ikut zaman."

Finn memandang Shina. Nada suaranya kini berbeza—seperti guru bercerita, atau mungkin… seorang wanita yang pernah terluka oleh makna pahlawan itu sendiri.

"Dulu, orang yang membunuh iblis, yang gagah menebas musuh, yang gagah berani—itulah pahlawan. Tapi mereka tak pernah sendiri. Ada tukang senjata, ahli strategi, penyihir penyokong, tukang ubat. Mereka semua bantu menjaga dunia… tapi tak disebut dalam sejarah."

"Arthur lah yang mengubah semua itu."

Shina menoleh, senyumannya lebih lembut.

"Sebagai anak raja, orang berharap dia setanding Alex. Tapi tubuhnya biasa. Sihirnya sederhana. Dia bukan pejuang. Orang kecewa… dan akhirnya lupakan dia."

"Tapi Arthur tak marah. Dia terus hidup. Dan satu hari, dia terjumpa jurnal ayahnya."

"Kamu suka sejarah, nak?"

tanya Alex saat mendapati anaknya membaca buku diam-diam.

"Suka, ayah. Ia penuh emosi, dan manusia boleh belajar dari kisah-kisah ini."

Alex tersenyum.

"Ayah tak pandai menulis. Ayah hanya tahu memimpin dan menghunus pedang."

"Itu pun sudah hebat. Sebab ayah adalah pahlawan."

"Kamu tak mahu jadi pahlawan, nak?"

"Jujur… mahu. Tapi saya tahu kemampuan saya. Mimpi itu dah lama saya kuburkan."

"Siapa kata untuk jadi pahlawan, kamu perlukan kekuatan?"

Arthur terdiam.

"Pahlawan yang membunuh iblis disebut dalam sejarah. Tapi tukang senjata yang buat pedangnya dilupakan. Doktor yang menyelamatkan nyawa? Tak diingati. Padahal mereka juga menyelamatkan orang, kan?"

"Pahlawan hanyalah satu titik. Tapi dunia ini dibina oleh berjuta-juta koma."

---

Sejak hari itu, Arthur berubah. Dia belajar sejarah, sihir, perubatan, geografi—apa saja yang boleh memberi nilai pada masyarakat.

Kemudian tragedi melanda.

Penduduk kota jatuh sakit. Tubuh mereka sihat, tapi suhu meningkat, dan jumlah mana dalam badan melonjak tak terkawal—hingga akhirnya tubuh mereka lumpuh dan mati, ditelan mana sendiri.

Semua panik.

Doktor pun tak tahu puncanya.

Di saat itulah Arthur melangkah masuk—bukan dengan pedang, tapi dengan alat medis dan sihir pengukur mana. Dia bertanya, memeriksa, menyelidik.

Dan akhirnya dia faham.

Punca sebenar: kota terlalu padat, kedai-kedai sihir terlalu dekat, pelepasan mana tak sempat disebarkan ke udara. Mana berkumpul dalam bentuk gas, lalu disedut masuk ke tubuh seperti oksigen. Tubuh manusia tak mampu tampung beban itu.

Arthur mengumumkan teorinya.

Ramai yang mendengar, mungkin kerana dia anak raja.

Dia mencipta penawar—ubat yang memaksa pesakit memuntahkan lebihan mana. Ia berkesan. Tapi perlu diberi perlahan-lahan, agar tidak merosakkan sistem pernafasan.

Akhirnya kota terselamat.

Dan masyarakat… mulai memandang Arthur dengan mata yang berbeza.

Dia bukan menebas iblis, tapi menyelamatkan nyawa.

Gelaran ‘pahlawan’ mula berubah makna. Orang mula menghormati pembuat peta, doktor, ahli ubat, malah arkeologi yang menjejak sejarah.

Semua kerana Arthur.

---

Finn terpaku. Kisah itu menyentuh hatinya. Pandangan terhadap ‘pahlawan’ dalam dirinya mula goyah—atau mungkin, berkembang.

“Jika kau tak boleh menumbuk, maka tendanglah.”

Ayat itu terasa sangat tepat untuk Arthur.

Finn menunduk. Matanya tidak berkelip, merenung jauh ke lantai… mungkin ke masa depan.