Bab 11 : Perbualan Lelaki

Suasana di bar itu jauh berbeza daripada kediaman. Bukan tenang dan damai, tapi riuh rendah, penuh gelak tawa, suara nyanyian, sorakan, malah ada yang bergaduh sesama sendiri. Anehnya, Finn tidak membencinya. Malah, dia terasa seronok. Entah kenapa. Suasana ini… asing, namun menyenangkan.

Mereka bertiga—Finn, Node, dan Leon—duduk di meja panjang sambil berbual kosong tentang pelbagai perkara. Dari hal remeh-temeh, kisah-kisah lucu, hinggalah ke satu topik yang sedikit… sensitif—tentang wanita.

“FINN!!” jerit Node tiba-tiba sambil mengangkat gelas besar di tangannya. Wajahnya sudah merah, jelas dia mabuk.

“Kau… minat perempuan macam mana haaaa?!” tanya Node sebelum menghentak gelasnya ke meja. Air bir tumpah sedikit, tapi dia langsung tak peduli.

“Eh, Node… kau mabuk ke tu?” soal Finn, senyum kelat.

“Taklah, bodoh! Aku mana pernah mabuk! HAAHAHAHA!” Node ketawa terbahak-bahak. Kepalanya terhuyung-hayang, jelas sekali kenyataannya tidak boleh dipakai.

Leon mencelah, menggeleng perlahan. “Tidak… dari mana pun aku tengok, kau memang mabuk.”

“Sudahlah, jangan tukar topik. Jawab saja soalan aku tadi!” bentak Node, matanya terbeliak macam orang bersungguh-sungguh bertanyakan soalan ujian.

“Err... aku... mungkin suka perempuan yang... baik?” jawab Finn, cuba mengalihkan maksud.

“BUKAN ITU!” potong Node kuat. “Maksud aku bentuk badan dia!”

“Eh? Hah?” Finn tersedak sedikit. Tak sangka soalan itu terus ke fizikal.

“Jawab je lah! Jangan segan,” sokong Leon pula, senyum menyeringai.

“Err… aku rasa… kaki…” Finn menjawab perlahan, seperti sedang menahan malu.

“KAKI?!” Leon ternganga.

“Ohh~ paha ya?” gumam Node sambil mengangguk-angguk, gaya seperti seorang pakar. “Tak buruk... jangan jadi macam Leon tu, dia suka perempuan kurus kering. Aku tak faham langsung!”

“Haaah?! Justru kau yang pelik!” balas Leon dengan suara naik. “Tubuh kau dah la tinggi besar, tapi kau suka perempuan yang lebih tinggi dari kau pulak?! Kepala otak kau kat mana sebenarnya?!”

“KAU YANG GILA!” Node melawan. “Kenapa kau suka perempuan kurus sangat?! Tak ada isi langsung macam tulang hidup!”

“ITU NORMAL WEI! Yang kau puja tu cuma lemak tebal! Benda bulat tu semua bukan comel, itu TUMOR!”

“TUMOR KATAMU?!?!” Node bangun berdiri. “KITA TAK SEHALUAN DALAM HAL NI! DASAR PENYUKA TULANG!”

“AKU SETUJU! DASAR MAKHLUK OTOT YANG SUKA LEMAK!!” balas Leon, bangkit sama.

Mereka berdua kini berdiri saling bertekak macam budak kecil bergaduh pasal permainan.

Finn ketawa kecil. “Umm… kalau kau tanya aku... aku rasa... dua-dua pun ada kelebihan?”

Kedua-duanya serentak berpaling ke arah Finn.

“KAU MEMIHAK KEPADA SIAPA?!” tanya mereka serentak.

Finn angkat tangan, cuba menenangkan. “Err... aku neutral...?”

“CEH! PENAKUT!” balas Node.

“PENCUCI TANGAN!” kata Leon sambil duduk semula.

Tiba-tiba seorang pelayan wanita yang sejak tadi memerhati dari jauh menyapa mereka sambil tersenyum lembut.

“Hehe… mereka memang selalu macam ni. Jangan risau, nanti pun akan berbaik semula,” katanya, membawa dulang minuman.

“Oh, haha… saya harap begitu,” balas Finn, sedikit malu.

“Saya Guin. Pelayan bar di sini. Salam kenal.” Dia menghulurkan tangan.

“Finn Carter. Tetamu kepada Puan Shina,” balas Finn, menyambut huluran Guin.

“Oh, jadi kamu lah yang sedang hangat dibualkan tu?” Guin tersenyum penuh makna.

“Dibualkan?” dahi Finn berkerut.

“Iya. Kamu dikatakan mampu hidup selepas cedera parah... dan mampu beri perlawanan kepada Dorothy. Selain empat orang itu, aku belum pernah dengar ada lagi yang mampu buat begitu. Jadi, kau boleh dikira orang kelima.”

“Empat orang?” soal Finn, terkejut.

“Node, Leon, Freya, dan Marco,” jawab Guin sambil mengisi gelas baru.

“Siapa Freya dan Marco tu?”

“Freya tu kawan rapat Dorothy. Mereka selalu berlatih bersama. Manakala Marco pula pemanah, tapi hebat juga dengan pisau. Gaya bertarung dia pelik—panah dari jauh, tapi kalau musuh dekat, dia guna pisau atau pukul dengan busurnya. Ganas tapi efisien.”

Finn mengangguk. “Menarik…”

“Dia orang kepercayaan Puan Shina. Boleh kata dia mata Puan Shina di kawasan hutan Narofa. Aku rasa dia lah yang beri laporan tentang kemunculan High Ogre tu. Jadi… secara tak langsung, dia penyelamat kau juga, kan?”

Finn tersenyum kecil. “Begitu rupanya…”

Percakapan mereka berterusan seketika, dan akhirnya Node dan Leon yang dari tadi bertengkar, kini tertidur di meja. Entah kerana letih, atau akibat mabuk yang keterlaluan. Bar mulai reda. Gelak tawa mula perlahan, dan Finn merasakan satu rasa hangat di dada—dia disambut, diterima.

Malam itu, Finn juga sempat berbual dengan beberapa lelaki lain di bar. Ada yang ramah, ada yang biasa-biasa saja, dan ada juga yang tak begitu senang dengannya. Tapi Finn tak ambil hati. Dia sedar, dalam dunia ini, bukan semua orang akan sesuai dengan kita.

Akhirnya, mereka bertiga pulang. Namun sebelum itu, Node yang masih separa sedar memaut bahu Finn.

“Finn... esok… kita duel... Aku nak lawan kau,” katanya sambil tertunduk sedikit.

“Eh? Kenapa tiba-tiba?”

“Tak ada sebab... aku cuma… rasa kau dah makin kuat. Anggap je ni hadiah... dari aku. Kau tak rugi pun, malah untung, dapat pengalaman…”

Finn senyum. “Baiklah. Betul juga. Esok kita duel.”

Node mengangkat jari. “Aku datang ke kediaman Puan Shina... mungkin pagi-pagi. Jadi siapkan dirimu!”

Mereka akhirnya bubar, dan Finn berjalan seorang diri. Wajahnya tenang. Dia tidak mabuk, cuma pening sedikit di awal, tapi kini hilang begitu saja. Dia pelik… tapi malas memikirkannya.

Setibanya di bilik, Finn terus merebahkan diri di atas katil, masih lengkap berbaju. Matanya tertutup perlahan. Esok menanti—dengan cabaran baru.