Seawal pukul 7 pagi, Farah mengetuk pintu bilik Natasha untuk membangunkannya, tetapi tiada sahutan dari dalam. Farah mengetuk lagi, kali ini dengan lebih kuat. Namun, tiada juga jawapan. Dengan perasaan semakin hairan, Farah membuka pintu bilik Natasha. Ketika masuk, matanya terhenti pada katil yang sudah tertata rapi, seolah-olah tidak ada sesiapa yang tidur di situ. Farah mula rasa curiga. "Nona dimana?" getusnya dalam hati, sambil matanya mengitari bilik yang nampak kosong dan sunyi.
Pandangannya jatuh pada tingkap yang sedikit terbuka, menyedari ada sesuatu yang tidak kena. Dia bergegas ke arah tingkap itu dan melihat ke luar, tetapi tiada apa yang luar biasa. Namun, perasaan risau mula menghantui Farah. "Dia takkan keluar tanpa memberitahu aku, kan?" fikirnya, lalu dia segera keluar dari bilik Natasha, menuju ke tempat-tempat yang biasa Natasha pergi.
Sewaktu Farah ingin mencari Natasha, tiba-tiba pintu rumah terbuka dan terlihat Natasha sedang memakai baju joging, kelihatan keletihan namun tetap tersenyum. Farah terdiam sejenak, dan akhirnya dia dapat meneka kenapa Natasha tiada dalam biliknya awal pagi tadi.
"Nona, dari tadi keluar joging?" tanya Farah dengan nada sopan, cuba menahan rasa curiga yang semakin membesar.
Natasha mengangguk dan menjawab dengan tenang, "Dari jam 6 lagi aku keluar, maaflah sebab tak cakap semalam. Aku nak rehat sekejap sebab penat sikit."
Farah hanya mengangguk perlahan, walaupun hatinya masih berasa pelik. "Lain kali, bagitahu dulu. Saya ingatkan ada apa-apa yang tak kena," kata Farah dengan nada lembut, namun ada sedikit rasa lega dalam dirinya.
Natasha hanya tersenyum kecil dan mengangguk, kemudian mereka berdua berjalan masuk ke dalam rumah. Farah masih sedikit terkejut dengan tindakannya yang tiba-tiba, tetapi dia tidak mahu menambah kerisauan tanpa sebab.
Natasha terus berjalan menaiki tangga menuju ke biliknya tanpa berkata apa-apa lagi. Farah memerhatikan langkahnya yang cepat, namun dia memilih untuk tidak bertanya lebih lanjut. Setelah beberapa detik, Natasha kembali menuruni tangga dengan lebih tenang, lalu berjalan menuju ke ruang makan.
"Mak Pia, boleh sediakan sarapan untuk saya? Saya nak makan dengan abang," kata Natasha sambil tersenyum.
Mak Pia yang sedang sibuk di dapur mengangguk, "Baik, Nona. Saya sediakan sekarang."
Sementara itu, Farah yang masih berdiri di ruang tamu hanya menggelengkan kepala, merasakan sesuatu yang agak pelik. Tetapi, dia tidak mahu terlalu mendesak, memutuskan untuk menunggu dan melihat bagaimana situasi ini akan berkembang.
Beberapa minit kemudian...
Natasha menuruni tangga dengan langkah tenang lalu duduk di meja makan. Dia mengenakan pakaian yang jarang dilihat oleh sesiapa pun sejak kebelakangan ini — sweater gelap, seluar cargo, sneakers. Gaya ini membawa kembali kenangan lama yang dirinduinya.
Dia juga mengikat rambutnya dengan rapi. Tak pernah sekalipun Farah, mahupun keluarga Natasha, melihat rambutnya dibiarkan terurai. Rambutnya yang sentiasa terikat menjadi satu ciri yang tidak pernah berubah, walaupun banyak perkara lain dalam dirinya mungkin sudah berubah.
Farah yang duduk di hadapan Natasha tidak dapat menahan diri untuk bertanya, "Natasha, kenapa tiba-tiba pakai outfit lama? Ada kenangan ke dengan baju-baju tu?"
Natasha hanya tersenyum tipis, matanya seolah-olah melangkaui masa, "Ya, rindu zaman dulu. Ada masa-masa yang tak boleh kita lupakan, kan?"
Farah mengangguk perlahan, memahami bahawa setiap orang punya kenangan yang mereka simpan dalam diam.
Setelah selesai bersarapan, Farah memandang Natasha sambil tersenyum kecil. "Nona, kalau sudah selesai breakfast—jom kita gerak," ucap Farah sopan, memecah kesunyian di antara mereka.
Natasha hanya mengangguk tanpa banyak bicara. Dia menghabiskan minuman terakhirnya, lalu bangkit dari tempat duduk. Farah mengekori langkah Natasha dengan tenang.
Setibanya mereka di hadapan kereta, Farah dengan cepat membukakan pintu untuk Natasha. "Silakan, Nona," katanya lembut.
Natasha memandang Farah sejenak, seolah-olah ingin mengatakan sesuatu, tetapi memilih untuk diam. Dia masuk ke dalam kereta tanpa suara. Farah menutup pintu dengan perlahan sebelum masuk ke tempat pemandu.
Dalam perjalanan ke VIRE UNI, suasana di dalam kereta terasa sunyi, hanya bunyi lembut muzik radio yang mengisi ruang. Farah sesekali melirik ke arah Natasha melalui cermin sisi, namun Natasha hanya memandang keluar tingkap, termenung jauh seperti sedang memikirkan sesuatu.
15 minit kemudian...
Kereta berhenti di tepi jalan, agak jauh dari kawasan utama VIRE UNI, seperti kebiasaan Natasha. Farah memandang Natasha dengan sedikit rasa ingin tahu tetapi memilih untuk tidak bertanya apa-apa.
Natasha membuka pintu kereta dan melangkah keluar. Sebelum pergi, dia menoleh ke arah Farah, suaranya tenang tetapi penuh dengan makna, "Terima kasih, Farah. Jumpa nanti."
Farah mengangguk sambil tersenyum. "Hati-hati, Nona. Kalau ada apa-apa, jangan lupa mesej saya, ya," pesan Farah sebelum Natasha melangkah pergi.
Natasha hanya mengangkat tangan sebagai isyarat dia mendengar. Langkahnya perlahan tetapi pasti, meninggalkan Farah yang memandangnya hingga kelibatnya hilang dari pandangan. Farah kemudian menarik nafas panjang sebelum memusingkan kereta dan memandu pulang, tertanya-tanya seperti biasa kenapa Natasha tidak pernah mahu dihantar ke depan pintu universiti. Namun, Farah tahu, ada perkara yang Natasha lebih selesa menyimpan untuk dirinya sendiri.
Natasha melangkah perlahan menuju ke rooftop bangunan universiti. Waktu masih awal, dan kelasnya hanya akan bermula pukul 11 pagi. Dengan beg sandang di bahu, dia menaiki tangga satu persatu, menikmati kesunyian pagi itu.
Setibanya di rooftop, Natasha berdiri di tepi pagar, memandang ke arah pemandangan luas yang terbentang di hadapannya. Angin segar menerpa wajahnya, membuatkan helaian rambut yang terikat rapi sedikit beralun. Dia menarik nafas panjang, membiarkan udara pagi mengisi paru-parunya.
"Hari yang panjang..." bisiknya pada diri sendiri, sambil memejamkan mata seketika.
Di situ, dia merasa tenang — jauh dari kekalutan dan perhatian ramai. Rooftop ini sudah menjadi tempat kegemarannya sejak pertama kali menjejakkan kaki ke VIRE UNI. Tempat ini bukan sekadar ruang kosong; ia adalah tempat di mana dia dapat berfikir, mengenang, dan melarikan diri daripada dunia seketika.
Dia mengeluarkan telefon bimbitnya, membuka galeri gambar lama. Sebuah foto lama bersama seseorang muncul di skrin. Bibir Natasha melukis senyuman kecil yang sukar ditafsirkan. Namun, dia cepat-cepat memadam senyuman itu, seperti enggan terbawa dengan emosi.
Tiba-tiba, telefon bimbit Natasha berbunyi, mengejutkan kesunyian di sekelilingnya. Pada awalnya, dia hanya memandang skrin tanpa berniat untuk menjawab. Namun, bunyi telefon itu tidak berhenti, seolah-olah mendesaknya untuk memberikan perhatian. Akhirnya, dengan rasa sedikit terganggu, dia mencapai telefon bimbitnya.
Ketika melihat nama pemanggil "Amirul" tertera di skrin, wajah Natasha berubah. Senyuman kecil yang jarang terlihat mula terukir di bibirnya. Tanpa berfikir panjang, dia pantas menjawab panggilan tersebut.
"Hello, Amirul," ucap Natasha lembut, suaranya sedikit ceria berbanding sebelumnya.
"Tasha, aku ganggu kau ke?" suara Amirul kedengaran di hujung talian, penuh keprihatinan.
"Tak, aku free sekarang. Kau apa cerita?" jawab Natasha sambil bersandar pada pagar, matanya kembali memandang ke arah langit yang terbentang luas. Suasana pagi yang tenang kini terasa lebih menyenangkan dengan suara Amirul menemani.
Tiba-tiba, suara Amirul yang tenang berubah seperti seorang kanak-kanak. "Tasha, kau dah lupakan aku di sini?" tanyanya dengan nada serak yang dibuat-buat, seolah-olah sedang merajuk. Natasha mengerutkan dahi, bingung mendengar perubahan suara Amirul yang tiba-tiba.
"Mana ada aku lupakan kau," balas Natasha perlahan, cuba memahami apa yang sebenarnya berlaku.
"Jadi kalau tak lupa, kenapa tak pernah call? Ketara sangat kau tak rindu aku," kata Amirul, nadanya seperti mengadu. Natasha, yang sudah kehabisan kata, hanya mampu diam. Dia cuba mencari alasan, tetapi sebelum sempat menjawab, bunyi bising dari hujung talian menarik perhatiannya.
"Mir... Kau okey? Bunyi apa itu?" tanya Natasha, nada risau mulai kedengaran.
Namun, bukannya suara Amirul yang membalas, tetapi suara lain yang cukup familiar bagi Natasha. "Amboi, Felix aje kau risau?" Suara itu sinis tetapi jelas dikenali Natasha.
"Ray, kau pingsankan Mirul, kan?" tanya Natasha dengan nada menduga.
"Of course," jawab Rayyan tanpa sedikit pun rasa bersalah. "Kalau kau nak tahu, dia ni terlalu bising. Kalaulah bukan aku yang sekhemah dengan dia, confirm semua orang dah lari. Yalah, mulut dia tak reti diam—asyik cari kau aje, macam kau ni mamanya pula."
Natasha mengeluh kecil sambil menggenggam telefon dengan lebih erat. "Ray... itu perkara biasa bagimu. Tapi kau tak patut buat begitu. Lagipun, kau tahu kau perlu jaga dia, walaupun kau lebih muda darinya," balas Natasha dengan nada tegas tetapi tetap terkawal.
Rayyan hanya ketawa kecil di hujung talian. "Ya, ya. Aku tahu. Tapi serius, kau patut call dia lebih kerap. Dia ni rindu kau sangat, tahu?" katanya sambil kedengaran seperti sedang menahan gelak.
Natasha menghela nafas panjang. "Aku faham. Terima kasih sebab ingatkan aku, Ray," katanya dengan nada lebih lembut. Namun, jauh di sudut hatinya, dia tahu Rayyan ada benarnya.
Setelah puas berbual, Rayyan akhirnya berkata, "Okeylah, Tasha. Aku nak kena sambung buat kerja. Nanti kalau Mirul sedar, aku suruh dia call kau balik."
Natasha tersenyum kecil sambil menjawab, "Baik, Ray. Terima kasih sebab jaga dia, walaupun gaya kau... macam mana nak cakap, lain sikit."
Rayyan ketawa kecil. "Lain ke? Aku rasa aku ni guardian angel dia. Okey, Tasha. Jaga diri."
Sebelum Natasha sempat membalas, talian sudah dimatikan. Natasha meletakkan telefon bimbitnya di atas meja kecil yang ada di rooftop itu. Dia termenung seketika, memikirkan perbualan tadi sambil tersenyum tipis.
"Guardian angel konon..." gumam Natasha sambil menggeleng perlahan. Namun, jauh di sudut hati, dia bersyukur Amirul mempunyai seseorang seperti Rayyan yang sentiasa ada untuknya, walaupun caranya kadang-kadang sukar difahami.
Natasha mengalihkan pandangannya ke arah langit biru yang luas, menikmati kembali ketenangan sebelum kelasnya bermula.
Tanpa disedari, Natasha yang sejak tadi merebahkan diri di atas kerusi panjang di rooftop akhirnya tertidur. Angin sepoi-sepoi yang bertiup lembut membuatkan suasana semakin nyaman, hingga matanya perlahan-lahan terpejam tanpa dia sedari.
Beg sandangnya digunakan sebagai bantal, dan rambutnya yang diikat mula sedikit berantakan kerana ditiup angin. Wajahnya yang biasanya tegas kelihatan lebih tenang ketika dia lena.
Namun, matahari yang semakin meninggi mula memanaskan permukaan rooftop. Cahaya yang memancar terang menyentuh wajah Natasha, membuatkan dia merengek kecil dalam tidurnya. Tapi tubuhnya tetap kaku, terlalu letih untuk bangun, dan dia terus terlena di situ, tidak peduli dunia di sekelilingnya.
Tidak jauh dari situ, seorang pelajar yang kebetulan naik ke rooftop untuk mengambil udara segar terlihat terkejut melihat Natasha. "Eh, siapa yang tidur kat sini?" gumamnya perlahan, namun memilih untuk tidak mengganggu. Dia hanya menggeleng kepala sambil berbisik, "Harap-harap dia tak terlupa kelas."
2 jam kemudian...
Natasha yang tertidur pulas dikejutkan oleh suara seseorang. "Tasha, kau okey? Kenapa kau tidur di sini?" suara Arden memecah lamunannya ketika dia terbangun. Dia duduk tegak dengan wajah yang masih kelihatan terkejut dan sedikit bingung.
Natasha memandang Arden yang berdiri di hadapannya dengan raut muka risau. "Aku... tertidur ajelah," balas Natasha ringkas sambil mengelap wajahnya dan melihat jam di tangannya. Jarum jam menunjukkan pukul 10 pagi.
Dia segera merapikan rambutnya yang berserabut dengan pantas, cuba untuk tidak memanjangkan perbualan. "Aku pergi dulu," katanya sambil bangun dan berjalan meninggalkan Arden tanpa menoleh lagi.
Arden berdiri kaku di tempatnya, sedikit hairan dengan sikap Natasha. "Dia macam nak lari dari sesuatu... atau seseorang," gumamnya perlahan.
Natasha, di pihak lain, terus berjalan dengan langkah tergesa-gesa. Dalam hati, dia bertekad untuk tidak membiarkan apa-apa masalah mengganggunya hari ini. Malam ini adalah malam yang sangat penting baginya, dan dia tidak akan membiarkan sesiapa pun mengganggu fokusnya.
Sewaktu di dalam kelas, Natasha duduk dengan postur yang tegak sambil menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran yang sedang diajar. Pandangannya tidak beralih daripada papan putih, dan dia mencatat nota dengan teratur, seolah-olah ingin memastikan setiap butir ilmu tidak terlepas.
Ma'am Jenny yang berdiri di hadapan kelas mula perasan perubahan pada Natasha. Selama ini, dia jarang melihat Natasha memberikan fokus sebegini dalam kelas. Biasanya, gadis itu hanya mendengar sambil lewa atau kelihatan termenung jauh. Tetapi hari ini, Natasha nampak bersemangat dan benar-benar hadir dalam suasana pembelajaran.
Ma'am Jenny tersenyum kecil sambil berkata dalam hati, "Bagus, Natasha. Kalau begini, saya yakin awak boleh capai potensi sebenar awak."
Natasha tidak menyedari reaksi pensyarahnya. Bagi dirinya, fokus penuh ini adalah salah satu cara untuk melupakan perkara yang tidak penting. Lagipun, malam ini adalah malam yang dia nanti-nantikan, dan dia tahu tidak ada ruang untuk kesilapan lagi dalam hidupnya.
Beberapa jam kemudian...
Kelas mereka tamat tepat pukul 2 petang. Natasha segera mengemas barang-barangnya dan keluar dari kelas dengan langkah yang tenang. Dia memutuskan untuk pergi ke pejabat abangnya kerana kelasnya sudah tamat, tetapi sebelum sempat melangkah jauh, telefon bimbitnya berbunyi.
Natasha segera melihat skrin dan menjawab panggilan tersebut. "Hello?" tanyanya dengan nada biasa. Suara di hujung talian adalah Farah.
"Nona, saya baru sampai. Tunggu saya sekejap di taman depan U, okey?" kata Farah.
Natasha mengangguk walaupun Farah tidak dapat melihatnya. "Okey. Aku tunggu di taman."
Dia memutuskan untuk duduk di bangku taman yang terletak berhampiran kampus. Angin petang yang sejuk membuatkan suasana terasa nyaman. Natasha meletakkan begnya di sebelah dan melirik ke sekeliling, menikmati pemandangan hijau di taman itu.
Dia menyandar sambil melihat telefon bimbitnya, sekali-sekala memeriksa mesej atau scroll media sosial. Namun, jauh di sudut hati, dia sebenarnya memikirkan sesuatu yang lebih mendalam—mungkin tentang malam penting yang akan tiba nanti. Tapi dia memilih untuk menunggu dengan sabar, mengelakkan sebarang gangguan emosi.
Sewaktu Natasha tengah ralit termenung, tiba-tiba Farah dan Harraz muncul di hadapannya, masing-masing memakai hoodie jacket berwarna hitam. Natasha memandang mereka dengan kening yang terangkat.
"Tak sangka kau pun ikut juga, Harraz. Ingatkan kau yang jaga Papa dan Mama sewaktu mereka business trip," kata Natasha dengan nada sinis namun tenang.
Harraz tersenyum tipis. "Awalnya memang begitu, Nona. Tapi Dato' meminta saya untuk tinggal di sini bagi menjaga Nona dan juga Tuan Muda."
Natasha mengangguk kecil. "Kalau begitu, baguslah. Memang seharusnya begitu. Tapi… apa cerita kamu berdua pakai hoodie jacket macam ni? Kamu berdua sakit ke?" tanyanya sambil memandang mereka dengan rasa curiga.
Farah tersenyum sambil menjawab, "Tak, Nona. Kami pakai begini supaya mahasiswa dan mahasiswi di sini tak curiga dengan kehadiran kami. Lagipun, ini untuk pastikan identiti Nona tak terbongkar."
Natasha memandang mereka dengan pandangan skeptikal. "Tapi aku rasa gaya macam ni lagi mencolok. Orang mungkin curiga juga," ujarnya sambil berpeluk tubuh.
Farah menunduk sedikit. "Maafkan kami, Nona. Kami tak berniat pun untuk buat identiti Nona terbongkar," katanya penuh rasa bersalah. Harraz, yang berdiri di sebelahnya, turut membungkuk sebagai tanda memohon maaf.
Melihat mereka begitu, Natasha menghela nafas panjang. "Sudahlah. Lagipun, kita berada di taman. Tak ramai orang yang datang ke sini. Tapi jangan lama-lama sangat di sini. Lebih baik kita gerak sekarang sebelum ada orang nampak kita bertiga," katanya sambil bangun dari tempat duduknya.
Dia mula melangkah keluar dari kawasan VIRE UNI dengan langkah tenang, diikuti oleh Harraz dan Farah di belakangnya. Mereka berjalan dalam diam, memastikan tiada sesiapa yang mengekori atau memperhatikan mereka.
Namun, tanpa disedari Natasha, Arden berdiri di sudut kawasan taman, memerhatikan setiap gerak-geri mereka dengan penuh tanda tanya. Matanya tertumpu pada Natasha dan dua orang pengiringnya. "Siapa mereka? Kenapa Natasha nampak begitu misteri?" gumam Arden perlahan, tidak dapat menahan rasa ingin tahunya.
Sewaktu Natasha, Farah, dan Harraz menuju ke kereta, Farah sempat bertanya, "Nona, malam ini apa yang sebenarnya berlaku? Kenapa Nona kelihatan risau sejak pagi tadi?"
Natasha hanya melirik ke arah Farah tanpa menjawab. Dia memasuki kereta dan berkata dengan nada tegas, "Aku tak risau. Fokus pada tugas kamu, Farah."
Farah dan Harraz saling berpandangan tetapi memilih untuk tidak memanjangkan persoalan. Mereka menaiki kereta dan memulakan perjalanan.
Di tempat lain, Arden masih berdiri memerhatikan dari kejauhan. Di dalam fikirannya, dia mula merancang sesuatu. "Aku kena tahu apa yang dia sembunyikan. Dia tak boleh terus berahsia macam ni," tekad Arden, memasang niat untuk menyiasat lebih lanjut.
Tapi sewaktu Arden ingin mengekori mereka bertiga, tiba-tiba ada tangan yang memegang bahunya, membuatkan dia sedikit terkejut dan berpaling dengan cepat.
"Den, are you okay?" tanya seseorang itu.
Rupanya yang memegang bahunya ialah Fariz, kawan baiknya. Arden menarik nafas lega tetapi matanya sedikit tajam. "Eh, kau ni Iz. Next time janganlah buat aku terkejut lagi. Kau tahu aku tak suka hal macam tu," balas Arden sambil mengurut dadanya.
Fariz ketawa kecil sambil mengangkat kedua-dua tangannya seperti minta maaf. "Sorrylah bro. Janganlah serius sangat dengan kawan baik sendiri. Chill sikit. Anyway, kau dah jumpa barang kau yang tercicir tu? Tadi kau kata barang kau jatuh dekat kawasan taman ni, kan?"
Arden tersentak seketika. Dia terlupa tentang barangnya kerana terlalu fokus pada Natasha dan dua orang yang bersamanya tadi. Dia segera mengalihkan pandangannya ke arah Fariz, menyembunyikan rasa gelisahnya.
"Belum lagi. Aku tengah cari tadi. Tapi… mungkin aku cari tempat lain kot," balas Arden sambil mengelak untuk bercerita apa yang sebenarnya dia lihat.
Fariz memandang Arden dengan raut wajah bingung. "Kau ni okey ke tak, Den? Nampak macam ada yang kau rahsiakan dari aku," tanya Fariz, cuba menyelidik.
Arden pantas menggeleng. "Aku okey. Kau jangan banyak tanya. Aku cuma nak settle hal ni cepat."
Fariz hanya mengangguk, tetapi dia masih tidak berpuas hati. Dia tahu ada sesuatu yang Arden cuba sembunyikan. "Okeylah, kalau kau kata macam tu. Aku ikut kau cari barang tu," katanya sambil tersenyum, cuba menenangkan suasana.
Arden terdiam sejenak tetapi akhirnya mengangguk perlahan. Mereka berdua mula menyusuri kawasan taman itu bersama-sama, namun di dalam hati Arden, dia masih tidak dapat melupakan apa yang baru saja dia lihat. "Siapa mereka sebenarnya? Dan kenapa Natasha nampak seperti sedang menyembunyikan sesuatu?" fikirnya sambil berjalan.
Di sisi lain, Fariz hanya memerhati tingkah laku sahabatnya itu. Dia tahu ada sesuatu yang tidak kena, tetapi dia memilih untuk menunggu masa yang sesuai untuk menanyakan segalanya.
10 minit kemudian...
Barang Arden masih belum ditemui, membuatkan Fariz akhirnya menyerah. Dia duduk di salah satu kerusi di taman sambil menyandarkan badannya ke belakang.
"Den, belum jumpa lagi?" tanya Fariz dengan nada penat.
"Belum lagilah," balas Arden sambil mengeluh perlahan. "Tak mengapalah, mungkin barangku jatuh di tempat lain. Nanti aku cari sendiri. Btw, thanks ya sebab tolong aku cari tadi."
Fariz mengangguk sambil tersenyum kecil. "No worries, bro. Tapi kalau barang tu penting, jangan lupa cari betul-betul nanti."
Arden hanya mengangguk. Dia cuba menyembunyikan rasa risaunya, tetapi Fariz masih dapat melihat ada sesuatu yang mengganggu fikiran sahabatnya itu.
"Kalau begitu, lebih baik kita pergi ke kawasan parking sekarang. David dan Ethan dah tunggu kita dari tadi," ujar Fariz sambil berdiri, menyarungkan hoodie-nya dan bersedia untuk bergerak.
Arden memandang Fariz sejenak, kemudian melihat ke arah kawasan taman yang dia periksa tadi. Namun, dia akhirnya menyerah dan mengikut langkah Fariz menuju ke kawasan parking.
Dalam perjalanan, Fariz cuba menceriakan suasana dengan berbual santai. "Kau rasa Ethan tengah buat apa sekarang? Confirm dia tengah gaduh dengan David sebab siapa nak drive, kan?"
Arden tertawa kecil, walaupun fikirannya masih melayang memikirkan Natasha dan dua orang misteri tadi. "Kau tahu Ethan tu takkan lepaskan stereng, kan? Kalau David berjaya ambil alih, itu kira keajaiban besar."
Fariz ketawa besar mendengar jawapan Arden. Suasana di antara mereka sedikit ceria, walaupun Arden masih menyimpan sesuatu yang hanya dia tahu.
Setibanya mereka di kawasan parking, mereka terlihat David dan Ethan sedang berdiri di sisi kereta, seperti yang dijangka, berdebat kecil tentang siapa yang akan memandu. Arden menghela nafas panjang sambil berkata, "Kau tengok? Aku dah cakap, kan? Drama mereka belum habis."
Fariz ketawa sambil menepuk bahu Arden. "Jomlah kita cepat sebelum mereka berdua makin kecoh."
Mereka berdua terus menuju ke arah kereta, bersiap untuk melanjutkan perjalanan ke destinasi mereka. Namun, dalam hati Arden, dia tahu sesuatu tentang Natasha sedang berubah, dan dia nekad untuk mencari tahu apa sebenarnya rahsia yang sedang disembunyikan oleh gadis itu.
"Untuk kali ini, Arden yang drive sebab destinasi kita hanya dia yang tahu tempatnya. Jadi, daripada kamu berdua terus berdebat pasal siapa nak drive, tak mengapalah. Aku tak akan pilih mana-mana pun dari kamu berdua," ujar Fariz dengan nada tegas sambil melipat tangan.
David dan Ethan saling berpandangan, jelas terpancar kekecewaan di wajah mereka. "Alah, kenapa Arden lagi? Aku pun boleh drive ke tempat yang dia nak pergi," rungut David.
"Tapi kau tak tahu tempatnya," balas Fariz sambil tersenyum sinis.
Ethan hanya menghela nafas panjang. "Fine, tapi next time aku yang drive, tak ada kompromi."
Arden yang dari tadi mendengar hanya ketawa kecil melihat muka kecewa kedua-dua sahabatnya itu. "Relaxlah, bukannya aku nak drive selalu. Ini pun sebab tempat yang kita nak pergi aku je yang tahu."
Dia kemudian membuka pintu kereta, masuk ke tempat pemandu, dan memulakan enjin. David dan Ethan masuk ke tempat duduk belakang sambil terus membebel kecil, manakala Fariz duduk di sebelah Arden di tempat penumpang hadapan.
Dalam perjalanan, Fariz mencuri pandang ke arah Arden yang kelihatan agak pendiam sejak mereka berdua bertemu di taman tadi. Dia tahu sesuatu sedang mengganggu fikiran Arden, tetapi memilih untuk tidak bertanya secara langsung.
"Den, kau okay ke? Dari tadi aku tengok kau senyap je. Kalau ada apa-apa, kau boleh cerita," ujar Fariz akhirnya, memecahkan kesunyian.
Arden tersenyum kecil, cuba menyembunyikan kegelisahannya. "Aku okay je, Iz. Mungkin aku penat sikit kot, banyak sangat benda nak difikirkan."
Fariz mengangguk perlahan, tetapi dia tahu itu bukan jawapan yang sebenar. Arden jarang kelihatan seperti ini, dan Fariz yakin ia ada kaitan dengan apa yang berlaku di taman tadi.
Sementara itu, di tempat duduk belakang, David dan Ethan sudah mula berbual tentang rancangan mereka untuk malam itu. Suasana kembali ceria, tetapi di fikiran Arden, dia masih memikirkan pertemuan dengan Natasha dan dua individu misteri di VIRE UNI.
"Apa sebenarnya yang mereka sembunyikan?" fikir Arden sambil tangannya menggenggam erat stereng. Dia tahu, cepat atau lambat, dia akan mendapatkan jawapan.
Natasha akhirnya sampai di pejabat abangnya. Harraz dengan cekap membukakan pintu untuknya. Para pengawal keselamatan yang menjaga di hadapan pintu terus menunduk hormat.
"Selamat petang, Nona Natasha. Lama tak nampak di sini," sapa Encik Umar, salah seorang pengawal keselamatan yang berumur lewat 50-an.
"Ha'ah, banyak sangat aktiviti di universiti, jadi susah nak datang selalu. Encik Umar sihat, ke? Kalau perlukan apa-apa, jangan segan-segan bagitahu abang saya, ya," balas Natasha sambil tersenyum manis.
"Alhamdulillah, sihat, Nona. Saya rasa cukup bersyukur dapat kerja di sini. Tuan Muda Ardan sangat baik orangnya, selalu prihatin pada pekerja macam saya," jawab Encik Umar dengan nada rendah hati.
"Baguslah, kalau begitu. Saya masuk dulu ya," kata Natasha sebelum melangkah ke arah lif. Encik Umar dan pengawal yang lain kembali menunduk hormat.
Namun, ketika Natasha ingin menekan butang lif, terdengar suara lelaki yang meninggi di luar pejabat, membuatnya menoleh ingin tahu apa yang berlaku.
"Orang tua, seperti biasa! Aku nak kau belikan aku minuman di kedai seberang jalan sana," terdengar suara kasar seorang lelaki.
Natasha memutuskan untuk melihat apa yang terjadi. Dia mendapati seorang lelaki bertubuh gempal yang dikenali sebagai Encik Hendry sedang memarahi Encik Umar.
"Maaf, Encik Hendry, sekarang masih waktu kerja saya. Lagi pula, saya pernah ditegur oleh pihak atasan kerana keluar tanpa izin," balas Encik Umar dengan nada penuh hormat.
"Aku peduli apa? Itu bukan masalah aku! Kau cuma pengawal keselamatan, tak layak nak tolak arahan aku. Kau kena ingat, aku ini client penting Tuan Muda Ardan," balas Encik Hendry angkuh.
Natasha yang mendengar ucapan itu mengepal penumbuknya. Rasa marah jelas tergambar di wajahnya, tetapi dia cuba bertenang kerana berada di kawasan pejabat abangnya.
"Encik Hendry, tolong jaga cara bercakap. Encik Umar itu orang tua, tak sepatutnya dilayan sebegini kasar," tegur Natasha dengan tegas.
Encik Hendry mengalihkan pandangannya ke arah Natasha dan tersenyum sinis. "Oh, siapa kau ini? Mahasiswi? Jangan masuk campur hal orang dewasa. Atau... kau nak jadi perempuan aku? Aku tak kisah pun, wajah kau lumayan cantik."
Lelaki itu cuba menyentuh wajah Natasha, tetapi dengan pantas Harraz menepis tangannya.
"Jangan cuba bertindak kurang ajar," ujar Harraz tegas sambil menatap tajam ke arah Encik Hendry.
Encik Hendry mundur selangkah dan tertawa kecil. "Huh, kau ada bodyguard rupanya. Tak apa, kali ini aku lepaskan. Tapi ingat, kalau kita bertemu lagi, kau yang akan berlutut depan aku."
Dia melangkah pergi sambil sengaja melanggar bahu Natasha. Harraz ingin mengejar, tetapi Natasha segera menarik tangannya.
"Harraz, tak perlu. Jangan buat kecoh di sini," pintanya.
Natasha menoleh ke arah Encik Umar. "Encik Umar, jangan risau. Saya akan laporkan hal ini kepada abang saya. Encik Liam, tolong jaga Encik Umar, ya. Kalau lelaki itu datang lagi, terus maklumkan kepada saya."
Encik Umar dan Encik Liam mengangguk patuh. Natasha segera masuk ke lif bersama Harraz dan Farah.
Di dalam lif, Natasha berdiri diam sambil memikirkan apa yang baru sahaja berlaku. Dia tidak suka melibatkan diri dalam drama seperti itu, tetapi perilaku Encik Hendry tadi benar-benar melampaui batas.
"Nona Natasha, saya minta maaf kerana tidak dapat bertindak lebih tegas tadi," ujar Harraz dengan nada bersalah, memecah keheningan.
"Bukan salah awak, Harraz. Awak sudah lakukan yang terbaik. Lelaki itu memang tak ada adab. Jangan terlalu fikirkan," balas Natasha dengan tenang, walaupun hatinya masih terasa geram.
Sebaik sahaja lif tiba di tingkat pejabat abangnya, mereka keluar, dan Natasha disambut dengan hormat oleh para pekerja di situ yang menunduk tanda hormat. Dia membalas dengan senyuman kecil dan terus menuju ke ruang kerja abangnya.
Namun, ruang kerja itu kosong. PA abangnya, Ieqa, segera menyambut Natasha dengan penuh sopan.
"Selamat petang, Nona Natasha. Jika Nona ingin berjumpa dengan Tuan Muda, silakan tunggu sebentar di ruangannya. Tuan Muda sedang bermesyuarat dengan beberapa klien. Dalam masa 10 minit, mungkin mesyuarat akan selesai," ujar Sofea sambil menunduk hormat.
"Tak mengapa, Kak Ieqa. Saya boleh tunggu di luar saja," balas Natasha dengan senyuman.
Ieqa hanya mengangguk kecil dan kembali menunduk hormat sebelum berlalu. Natasha kemudian berjalan ke sebuah sofa yang terletak tidak jauh dari ruang pejabat abangnya dan duduk di situ.
Harraz dan Farah, yang menemaninya, hanya berdiri di sisi dengan penuh profesionalisme. Natasha menoleh kepada mereka.
"Harraz, Farah, duduklah. Tak perlulah berdiri begitu," pelawanya dengan lembut.
Namun, kedua-duanya menolak dengan sopan.
"Terima kasih, Nona Natasha. Kami lebih selesa berdiri," balas Harraz sambil tersenyum kecil.
Natasha menggeleng perlahan, tetapi dia tidak memaksa. Dia tahu sikap mereka sebagai pengawal peribadi adalah untuk sentiasa berjaga-jaga. Lalu, dia memejamkan mata sejenak, cuba menenangkan fikiran yang masih terganggu dengan kejadian tadi.
Natasha yang merasa bosan hanya duduk di sofa akhirnya memutuskan untuk membuat minuman di pantri. Farah segera menawarkan diri untuk melakukannya, tetapi Natasha menolak dengan lembut, menyebabkan Farah hanya mengikuti Natasha dari belakang untuk berjaga-jaga.
Namun, sewaktu Natasha berjalan menuju ke pantri, tiba-tiba seseorang melanggarnya dengan kasar, membuatnya terjatuh terduduk.
"Tak sangka pula jumpa kau lagi, gadis kecil," ujar suara yang Natasha kenali.
Natasha mendongak dan melihat Encik Hendry berdiri di hadapannya. Dia menghulurkan tangan untuk membantu Natasha bangun, tetapi dengan pantas Natasha menepis huluran tersebut tanpa ragu.
Melihat situasi itu, Harraz segera mendekati Natasha, sementara Farah membantunya berdiri.
"Nona, are you fine?" tanya Farah dengan nada sopan.
Natasha mengangguk kecil sambil menepuk-nepuk bajunya yang terkena debu. Kemudian dia memandang tajam ke arah Encik Hendry.
"Kalau saya ada di sini, apa yang Encik Hendry nak buat?" tanya Natasha dengan nada tegas, sengaja menekankan namanya.
Encik Hendry tersenyum sinis, "Mungkin ini sudah takdir kita bertemu. Siapa tahu, kita sebenarnya berjodoh," balasnya sambil mengangkat tangannya, cuba menyentuh wajah Natasha lagi.
Namun, Natasha dengan cepat menepis tangannya dengan kasar. Dia langsung berbalik dan berjalan menuju ke pantri tanpa mempedulikan lelaki itu.
Merasa harga dirinya diinjak-injak, Encik Hendry dengan berani menyentuh bahu Natasha, cuba menghentikannya. Natasha yang sensitif terhadap sentuhan tanpa izin langsung bertindak balas. Tanpa ragu, dia melakukan body slam yang membuat Encik Hendry jatuh terduduk sambil menjerit kesakitan.
Harraz dan Farah yang menyaksikan kejadian itu menahan tawa mereka, cuba menjaga profesionalisme.
Encik Hendry, yang merasa semakin dipermalukan, berdiri dengan susah payah dan berang. Dia mengangkat tangannya, berniat untuk menampar Natasha.
Namun, sebelum tangannya sempat melayang, ia ditahan dengan kuat oleh Tuan Muda Ardan yang tiba-tiba muncul di tempat kejadian.
"Maaf, tangan Encik Hendry itu nak buat apa, ya?" tanya Ardan sambil mengukir senyuman yang kelihatan tenang, tetapi matanya tajam memancarkan amaran.
Encik Hendry yang melihat senyuman itu langsung kelihatan ketakutan. Dia cuba mencari jalan untuk melarikan diri, tetapi langkahnya dihentikan oleh Ardan.
"Encik Hendry, tunggu sebentar. Jom kita bincang di ruang saya," ujar Ardan dengan nada tenang tetapi penuh wibawa.
Ardan berbalik dan berjalan menuju ruang kerjanya tanpa mempedulikan wajah ketakutan Encik Hendry. Dengan terpaksa, Encik Hendry mengikutinya, sementara Harraz dan Farah hanya saling berpandangan, masih menahan tawa.
Di dalam ruang kerja Ardan, suasana terasa tegang. Encik Hendry duduk dengan resah, manakala Ardan duduk tegak dengan ekspresi dingin, tangan bersilang di atas meja.
"Encik Hendry," Ardan memulakan dengan nada tenang tetapi penuh ketegasan. "Sebenarnya, saya sudah banyak mendengar hal-hal buruk tentang Encik Hendry, dari segi kinerja, nada bicara, hingga perilaku terhadap orang lain. Saya cuba untuk mengabaikan itu semua kerana saya masih ingin memberi peluang kepada kerjasama ini. Namun, apa yang saya lihat dengan mata kepala saya tadi—perlakuan Encik terhadap security saya, dan lebih teruk lagi, terhadap adik saya—membuatkan saya harus berfikir dua kali untuk meneruskan tawaran kerjasama antara syarikat kita."
Encik Hendry kelihatan tergagap, cuba mencari alasan. "Saya tak bermaksud untuk menimbulkan masalah. Lagipun, Tuan Muda tahu sendiri, syarikat saya ialah salah satu client penting dan terhormat. Jika Tuan Muda membatalkan kerjasama ini, Tuan Muda mungkin akan menyesal. Saya harap Tuan Muda boleh mempertimbangkannya semula."
Ardan tersenyum kecil, tetapi senyuman itu jelas bukan tanda ramah. "Encik Hendry, dalam dunia perniagaan, nilai profesionalisme dan adab adalah perkara asas. Saya tidak peduli betapa 'penting' Encik fikirkan diri Encik. Jika Encik tidak mampu menghormati pekerja saya, apatah lagi ahli keluarga saya, maka bagaimana saya boleh mempercayai Encik dalam hal yang lebih besar?"
Encik Hendry menelan liur, jelas tertekan dengan kata-kata itu. "Saya... Saya boleh minta maaf kepada security dan Cik tadi. Saya akan pastikan perkara ini tidak akan berulang."
Ardan memandangnya dengan tajam. "Permintaan maaf itu langkah pertama, tetapi kepercayaan yang hilang tidak akan mudah kembali. Saya akan berbincang dengan pasukan saya untuk menilai semula tawaran ini. Sementara itu, saya nasihatkan Encik Hendry untuk memperbaiki sikap jika ingin kekal relevan dalam dunia perniagaan. Jika sikap Encik begini lagi untuk kerjasama kita yg akan datang, saya tak akan teragak-agak untuk blacklist Encik Hendry dari semua syarikat."
Encik Hendry terkaku mendengar kata-kata terakhir Ardan. Wajahnya berubah, cuba menyembunyikan rasa malu dan marah yang bercampur. "Saya faham, Tuan Muda. Saya akan pastikan perkara ini tidak akan berlaku lagi," balas Encik Hendry dengan suara tersekat-sekat.
Ardan mengangguk perlahan, tetapi ekspresinya masih dingin. "Bagus kalau Encik faham. Tapi ingat, tindakan bercakap lebih kuat daripada janji. Jika tiada perubahan selepas ini, Encik Hendry tidak hanya akan kehilangan peluang kerjasama dengan saya, tetapi juga reputasi di kalangan rakan kongsi lain. Saya rasa Encik tahu akibatnya."
"Baik, Tuan Muda. Saya mohon diri," ujar Encik Hendry sebelum bangun dari tempat duduknya dengan tergesa-gesa. Dia menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda hormat sebelum keluar dari bilik dengan langkah berat.
Sebaik sahaja pintu tertutup, Ardan menghela nafas panjang dan menyandarkan dirinya di kerusi. Matanya memandang ke arah meja, cuba menenangkan fikirannya. Dia kemudian menekan butang interkom.
"Ieqa, tolong panggil Natasha masuk ke bilik saya," katanya dengan nada yang lebih lembut.
Beberapa minit kemudian...+
Natasha melangkah masuk ke dalam ruang kerja Ardan. Wajahnya tenang seperti biasa, tetapi jelas terlihat sedikit riak tidak puas hati. Harraz dan Farah mengikutinya dari belakang dan berdiri di tepi pintu dengan sopan.
"Sha, kenapa tiba-tiba datang ke pejabat abang ni? Tak biasanya," tanya Ardan dengan nada lembut. Walaupun hatinya masih panas dengan kejadian melibatkan Encik Hendry tadi, dia cuba bercakap lembut dengan adiknya.
"Harraz, Farah, kamu tunggu di luar dulu. Saya nak bercakap empat mata dengan abang saya," pinta Natasha.
Harraz dan Farah saling berpandangan sebelum mengangguk hormat dan melangkah keluar, meninggalkan Natasha bersama Ardan. Setelah memastikan pintu tertutup rapat, Ardan memandang Natasha dengan rasa ingin tahu.
"So, apa cerita ni tiba-tiba nak bercakap empat mata dengan abang?" tanya Ardan lagi, tangannya bersilang di dada.
Natasha menarik nafas dalam sebelum bersuara, "Sebenarnya, Tasha dapat tawaran untuk berduel daripada seorang kawan. Duel-nya malam ini, pukul 12."
Ardan terdiam sejenak, matanya membesar kerana terkejut. "What?! Sha, jangan memandai-mandai terima tawaran macam ni! Abang tak izinkan. Lagipun kalau Papa dan Mama tahu, abang juga yang kena marah nanti."
Natasha sudah bersiap menutup telinganya, tetapi dia tetap cuba meyakinkan abangnya. "Ala, abang. Bolehlah. Lagipun peluang ni datang sekali seumur hidup," balas Natasha dengan nada memujuk.
"Sha, nak berduel dengan siapa sebenarnya?" tanya Ardan, nadanya mula serius.
Natasha tergagap, "Dengan seorang l-l-lelaki."
Ardan yang mendengar jawapan itu terus memukul meja. "No! Abang tak akan izinkan. Kalau nak berduel, ajaklah Zayn, Amirul, atau Rayyan. Kalau nak perempuan, Farah pun boleh. Kenapa mesti lelaki yang abang tak kenal langsung?"
"Tapi abang, nama yang abang sebut tadi tu pun ada lelaki," balas Natasha, cuba mencari alasan.
"Itu lain, Sha. Mereka lelaki yang abang kenal dan percaya. Tapi kalau dengan lelaki yang abang tak tahu asal-usulnya, abang tak akan benarkan!" tegas Ardan, pandangannya tajam.
Natasha mencebik. "Tasha bosanlah kalau asyik berduel dengan orang yang sama saja. Lagipun, Tasha nak try dengan orang lain. Mana tahu dia boleh kalahkan Tasha. Dan abang pun boleh temankan Tasha masa duel tu. Sebab itulah Tasha datang jumpa abang."
Ardan mengeluh, "Abang rasa Tasha ni sedang sakit sebab terlalu banyak kegiatan kat universiti."
"Mana ada, abang! Tasha sihat sajalah. Lagipun, kalau abang temankan, Tasha tak risau. Kalau Tasha pergi sendiri, nanti mereka makin curious dengan identiti Tasha," balas Natasha, sambil merayu-rayu.
Ardan akhirnya mengalah. Dia tahu jika dia menolak, Natasha mungkin akan tetap pergi tanpa izinnya. "Baiklah. Malam ni, abang ambil Sha pukul 11:30. Tapi pastikan Sha dah siap dan jangan bagi sesiapa nampak Sha keluar dari rumah."
Natasha tersenyum lebar mendengar jawapan abangnya. "Terima kasih, abang!" Dia terus memeluk Ardan erat sebelum melangkah keluar dari bilik dengan hati yang lega.
Harraz dan Farah yang menunggu di luar segera mengikut Natasha menuju ke lif. Masing-masing hanya saling berpandangan, tidak mahu mencampuri urusan majikan mereka.