Evelynn dan Adrien menunggang kuda mereka dalam diam, ditemani pasukan pengawal terlatih yang bergerak dalam formasi ketat. Angin malam yang dingin menyapu wajah mereka, membawa bersama bau hutan yang lembap dan samar-samar bau darah.
Perjalanan ke sempadan timur mengambil masa beberapa jam, dan sepanjang perjalanan, Evelynn tidak dapat mengabaikan rasa tidak enak yang menghimpit dadanya. Dia pernah berdepan dengan musuh yang ganas, tetapi bayangan tentang makhluk-makhluk berkabus dengan mata menyala itu membuatkan sesuatu di dalam dirinya berbisik
"𝘪𝘯𝘪 𝘣𝘶𝘬𝘢𝘯 𝘴𝘦𝘳𝘢𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘣𝘪𝘢𝘴𝘢."
"Kau nampak tegang." tegur Adrien, menunggang di sisinya.
"I'm just thinking." jawab Evelynn pendek.
Adrien tersenyum miring. "Itu perkara yang kau selalu buat. Tetapi kali ini, aku agak bersetuju dengan kau. Sesuatu tentang ini tidak kena."
Tidak lama kemudian, mereka tiba di perkemahan sementara pasukan sempadan. Komander Rhylen, yang telah sampai lebih awal, menanti mereka dengan ekspresi serius.
"Bagaimana keadaan di sini?" soal Evelynn sambil melompat turun dari kudanya.
Rhylen memberikan tunduk hormat sebelum menjawab, "Keadaan semakin buruk. Pasukan yang terselamat masih trauma dan tidak dapat memberikan gambaran penuh tentang musuh. Dan yang lebih membimbangkan..." Dia terdiam seketika, seolah-olah cuba menyusun kata.
Adrien mengerutkan dahi. "Apa?"
Rhylen mengeluh perlahan sebelum berkata, "Kami telah kehilangan dua lagi pengawal malam tadi. Tanpa bunyi. Tanpa jejak. Seolah-olah mereka hilang ke dalam kegelapan."
Evelynn merasakan bulu romanya meremang. Dia menukar pandangan dengan Adrien dan kali ini tiada ejekan atau sindiran. Hanya kesedaran bahawa mereka sedang berhadapan dengan sesuatu yang lebih berbahaya daripada yang disangkakan.
"Aku nak tengok kawasan serangan sekarang." kata Evelynn akhirnya.
Rhylen mengangguk. "Saya akan membawa kalian ke sana sekarang. Tetapi bersiaplah, Tuan Puteri dan Tuan Putera. Ini bukan sesuatu yang biasa kalian lihat."
Mereka bergerak ke tengah hutan, di mana sisa serangan terakhir berlaku. Semakin jauh mereka pergi, suasana terasa semakin sunyi dan menyesakkan. Tiada bunyi burung. Tiada deruan angin. Seolah-olah alam sendiri menahan nafasnya.
Dan kemudian, mereka melihatnya.
Tanah yang kehitaman, seolah-olah dibakar oleh api ghaib. Pokok-pokok di sekelilingnya layu dan mereput walaupun tiada kesan terbakar. Dan di tengah kawasan ida, perisai seorang askar masih tertanam di tanah, tetapi tubuh pemiliknya tiada di situ.
Evelynn berlutut dan menyentuh tanah itu dengan hujung jarinya. Sejuk. Seperti disentuh bayangan kematian.
Adrien mendekatinya, suaranya lebih perlahan dari biasa. "Apa sahaja yang kita hadapi ini… ia bukan berasal dari dunia kita."
Evelynn menggenggam rapat jubahnya, pandangannya tidak beralih dari tanah yang rosak itu.
"Aku tahu." bisiknya.
Dan dalam kegelapan hutan, mata merah bersinar di celah-celah bayang. Sesuatu sedang memerhati mereka.