Bab 16: Amaran dari Kegelapan

Evelynn bangkit perlahan, tubuhnya masih terasa lemah selepas menggunakan terlalu banyak tenaga. Nafasnya belum stabil, tetapi matanya penuh dengan ketegasan. Dia menoleh ke arah Adrien, yang sedang membersihkan sisa debu dari jubahnya dengan ekspresi jengkel.

"Ini lebih buruk dari yang aku sangka." gumam Adrien sambil mendengus. "Kaelith Noctis bukan sekadar legenda bodoh. Kalau benar dia akan bangkit, kita dalam masalah besar."

Komander Rhylen memandang mereka dengan kebimbangan. "Tuan Puteri, Tuan Putera… siapa sebenarnya Kaelith Noctis?"

Evelynn menarik nafas panjang sebelum menjawab, "Dia adalah salah satu vampir purba yang paling kuat dalam sejarah. Pernah mencabar kekuasaan keluarga diraja, tetapi dikalahkan dan dianggap lenyap." Dia memandang jauh ke dalam kegelapan hutan. "Jika dia masih hidup, seluruh kerajaan berada dalam bahaya."

Sebelum sesiapa sempat berkata apa-apa lagi, satu jeritan tiba-tiba bergema dari kejauhan.

Mereka berpaling serentak. Salah seorang pengawal yang bertugas di barisan belakang terhuyung-hayang ke arah mereka. Matanya terbeliak, tubuhnya berlumuran darah.

"Musuh…" suaranya tersekat-sekat. "Mereka… datang…"

Tubuhnya tiba-tiba terkulai sebelum sempat sampai kepada mereka.

Dari dalam kegelapan, bayang-bayang mula bergerak lagi. Namun kali ini, ia bukan sekadar kabus ia berbentuk humanoid, dengan mata merah menyala dan cakar yang panjang.

Evelynn dan Adrien serta-merta bersedia untuk bertarung.

"Kita belum selesai di sini." bisik Evelynn, matanya bersinar merah.