Hujan masih turun dengan lebatnya tanpa menunjukkan tanda-tanda untuk mahu berhenti. Seolah-olah turut sama menangisi pemergian sang buah hati tercinta. Safiyah terduduk, lututnya menumpang di permukaan lantai. Tubuhnya menggigil bukan kerana kedinginan tap ilebih kepada derita hatinya yang telah hancur berkeping-keping.
"Puan, banyakkan bersabar ya.. Kami dah cuba yang terbaik, tapi anak puan tak dapat kami selamatkan."
Kata-kata doktor tadi terus terngiang di corong telingannya. Air matanya sudah kering, mungkin kerana terlalu banyak menangis. Tangan yang biasa mendakap anak kecilnya kini terasa kosong. Kosong dan mati.
Tidak sempat dia mencium dahi anak kecilnya itu buat kali terakhir. Suaminya Farel, entah kemana sejak dari pagi tadi. Hanya mesej ringkas yang diterima.
"Jangan balik rumah! Mak tak nak tengok muka kau lagi."
Mesej ringkas itu langsung tiada rasa belas kasihan dan simpati.
Safiyah menggenggam hujung tudungnya. Wajah anggun wanita yang baru berusia 27 tahun itu tampak lesu dan tidak bermaya. Tidak seperti sebelumnya yang kelihatan putih cerah dan kemerah-merahan. Keluarga mertuanya menyalahkan dia diatas pemergian satu-satunya cucu sulung yang telah lama mereka nantikan. Seolah-olah semua beban ditanggung dibahunya.
Langkahnya longlai, hati dan jiwa raganya kosong. Dunianya menjadi kelam dan gelap gelita. Tidak punya arah dan tujuan untuk hidup. Dia membawa satu beg lusuh yang isinya hanya beberapa pasang baju dan kenangan pahit. Dia menumpang tidur di rumah kawannya Suraya semalam. Tapi dia tahu diri. Dia sedar tidak boleh berlama-lama menumpang di rumah orang, walaupun Suraya tidak keberatan. Namun hati Safiyah tidak senang.
"Ya Allah.. Kemana harus kakiku melangkah?"
Suara kecil itu menangis di dalam hati. Dia duduk di bangku taman, sambil matanya leka memerhati kana-kanak yang bermain disitu. Sosok kecil itu, kuat mengingatkan dia pada satu-satunya cinta hatinya. Dadanya menjadi sesak. Namun nafasnya terus dihela.
"Tuan Haris tengah cari pengasuh untuk anaknya. Dah beberapa orang pengasuh yang dah berhenti, sebab tak tahan nak mengasuh anak encik Haris tu. Sebab tak nak minum susu formula."
"Kesian dengan Encik Haris tu kan? Ada isteri, isteri lari. Yang paling kesian. Kesian dekat anaknya kan Mak Senah?"
"Itulah.. Perkahwinan ni ibaratnya perhitungan. Kalau baik pilihannya, baiklah jalan ceritanya. Tapi kalau tersalah pilih, inilah akibatnya putri." Balas Mak Senah.
"Putri tak tahulah apa yang dicari oleh isteri Encik Haris tu. Encik Haris yang serba serbi sempurna tu pun nak ditinggalkan. Memang ada jenis manusia tak reti bersyukur kan Mak Senah. Nasib baiklah Putri ni dah kahwin dan Putri sayang sangat dengan keluarga kecil Putri. Walaupun hidup tak semewah mana, tapi kalau rasa syukur dengan yang sekecil-kecil nikmatpun sudah memadai bagi Putri. Alhamdulillah." Putri meluahkan rasa tak puas hatinya terhadap kisah Encik Haris sekaligus menyatakan rasa syukurnya terhadap kehidupan yang dia jalani pada saat ini. Wanita yang berpakaian kemas dan bernama Putri itu juga merupakan pekerja Encik Haris.
Safiyah terdengar perbualan seorang makcik yang dikira baru berusia 50-an dengan seorang wanita berpakaian kemas mungkin boleh dianggap sebagai anak beranak. Mereka duduk berhampiran dengan Safiyah.
Pada awalnya Safiyah hanya mahu membiarkan sahaja. Tapi apabila mengenangkan tentang anak Encik Haris, tanpa sedar Safiyah membuka mulut.
"Maafkan saya Makcik. Boleh saya tahu macam mana nak hubungi Encik Haris? Rasanya saya boleh mengasuh anak Encik Haris tu." Meski suaranya teragak-agak, tapi dia memberanikan diri untuk bertanya.
"Ehhh tak apa. Saya Makcik Senah, orang gaji dekat rumah Encik Haris. Kalau Cik nak saya boleh aturkan perjumpaan dengan Encik Haris. Cik nak?" Ujar Makcik Senah ramah.
"Boleh ker Makcik? Kebetulan saya tak ada arah untuk dituju. Kalau saya dapat pekerjaan ni, saya bersyukur sangat Makcik. Terima kasih Makcik." Ujar Safiyah. Seolah-olah ada pintu-pintu lainnya yang terbuka untuk dia masuki. Dia sebetulnya tidak tahu apa yang ada di depannya. Tapi untuk pertama kalinya dia menarik nafas lega. Setidaknya dia ada tempat untuk dituju. Kegelapan yang tadi terasa ada cahaya kecil yang menyapanya. Bibirnya mengukir senyum. Hatinya mengucap syukur. Langkahnya lebih bersemangat untuk diatur.