Episod 4:Hinakah aku?

Episod 4: Hinakah Aku?

(POV Arina)

Sejak kejadian itu, aku belajar untuk menjadi senyap. Bukan kerana aku takut — tetapi kerana aku sedar, kadangkala diam itu lebih kuat daripada seribu kata.

Namun, diam aku bukan erti pasrah. Ia adalah cara aku bertahan dalam dunia yang mula menyesakkan. Terutamanya bila setiap kali aku melangkah masuk ke kelas, ada sepasang mata yang seolah tak pernah lelah memerhati.

Rayyan.

Dia tak pernah berkata apa-apa lagi sejak tempoh hari. Tapi aku tahu — diamnya bukan kosong. Ada benci yang pekat dalam pandangannya.

Dan aku… aku masih belum tahu kenapa.

Pagi itu, sewaktu kami semua sedang sibuk dengan tugasan masing-masing, suara cikgu kelas memecah kebisuan.

“Untuk Program Kepimpinan Sekolah yang akan berlangsung minggu depan, pihak pentadbiran minta dua orang wakil dari setiap kelas. Saya dah pilih… Arina dan Rayyan.”

Jantung aku serta-merta berdegup kencang.

Rayyan?

Satu kelas jadi riuh kecil. Ada yang memandang sesama sendiri. Ada juga yang sengaja menoleh ke arah aku, seolah-olah mahu meneka apa reaksi aku. Tapi aku cuma kaku di tempat duduk.

Rayyan pula — hanya mengangkat kening, seperti tiada apa-apa. Tapi aku tahu… dia tak suka.

Dan aku benar-benar yakin bila waktu rehat, dia berdiri di hadapan aku di luar kelas, bersandar pada dinding dengan wajah yang tak menyenangkan.

“Aku tahu kau mesti suka gila kena pilih dengan aku, kan?”

Aku terpinga.

“Apa maksud awak?”

Dia mendengus perlahan.

“Liyana cakap kau memang dari dulu dok intai peluang nak rapat dengan aku. Kau lobi cikgu ke, nak kena pilih sekali?”

Aku terdiam.

Jadi ini semua kerja Liyana?

“Aku tak pernah… buat apa-apa pun,” suaraku hampir tenggelam. Tapi tetap keluar, walau perlahan.

Rayyan ketawa kecil — sinis.

“Of course you didn’t. Muka baik. Gaya polos. Tapi dalam diam, ada agenda.”

Aku rasa seperti ditelanjangkan tanpa amaran. Dihukum tanpa bicara.

Dan paling menyakitkan… aku masih peduli pandangan dia.

“Kalau awak tak suka, minta je cikgu tukar nama.” Suara aku perlahan tapi jelas. “Saya tak minta semua ni.”

Dia renung aku lama. Tapi tidak menjawab.

Dia pergi, tinggalkan aku di koridor — tergantung antara ingin melawan atau terus mengalah.

Selepas habis kelas, aku pulang lewat. Kaki aku membawa aku ke belakang dewan, tempat aku selalu menenangkan diri.

Angin petang meniup rambut aku lembut. Tapi dalam dada, ada badai yang tak mahu reda.

Aku duduk. Menatap langit. Mencari jawapan dalam diam.

Hinakah aku… kerana perasaan ini?

Salahkah aku menyimpan rasa terhadap seseorang seperti Rayyan? Salahkah aku menjadi manusia yang pernah berharap?

Seketika kemudian, terdengar tapak kaki menghampiri.

“Tak penat ke lari sorang-sorang?” suara Fika, sambil duduk di sebelah aku. Irfan muncul tak lama selepas itu, berdiri di sisi pokok besar yang teduh.

“Kau okay?” tanya Fika, matanya risau.

Aku geleng perlahan.

“Aku rasa… aku bukan siapa-siapa. Tapi entah kenapa aku jadi musuh dia.”

Fika menggenggam tangan aku. Hangat.

“Kau tak salah, Rin. Orang macam Liyana tu… dia takut. Sebab dia tahu kau ada sesuatu yang dia tak ada.”

Aku terkejut.

“Sesuatu?”

Irfan menyampuk, tenang tapi tegas. “Pengaruh. Aura. Kau buat orang fikir. Kau buat Rayyan… rasa.”

Aku ketawa kecil, pahit.

“Rasa benci?”

“Rasa keliru,” jawab Irfan. “Rayyan bukan benci kau, Arina. Dia benci perasaan dia sendiri bila dia dekat dengan kau.”

Fika mengangguk. “Sebab tu dia kasar. Sebab dia tak tahu nak kendalikan apa yang dia rasa. Dan Liyana… dia tambah bara dalam api tu.”

Aku tunduk. Mata aku panas. Tapi kali ini, bukan kerana lemah. Tapi kerana sedih dengan realiti.

Aku cuma mahu hidup biasa. Tapi nampaknya, hidup aku dah jadi pentas untuk drama yang aku sendiri tak undang.

Tapi satu yang aku pasti — aku dah penat jadi mangsa.

(POV Rayyan)

Langit petang berwarna jingga. Aku masih di padang. Bola yang aku sepak tadi terbiar di hujung rumput.

Aku genggam kertas program yang cikgu beri. Nama aku dan Arina — tertera di bahagian atas.

Aku tak tahu apa sebenarnya yang aku cuba lawan.

Dia?

Atau perasaan aku sendiri?

Aku cuma tahu… bila aku pandang dia, aku nampak sisi diri aku yang aku cuba sembunyikan — rasa lemah. Rasa tertarik. Rasa yang aku tak sepatutnya ada.

Jadi aku benci.

Tapi dalam benci itu… ada sesuatu yang lain. Yang aku belum berani namakan.

Dan itu yang paling menakutkan.