Episod 5: Kerja Dalam Terpaksa
(POV Arina)
Program Kepimpinan Sekolah. Tiga hari dua malam. Dalam kepala aku, ini sepatutnya jadi peluang untuk bina diri. Tapi sejak tahu aku satu kumpulan dengan Rayyan — dan Liyana — segala semangat hilang ditelan keresahan.
Ternyata sangkaan aku tak salah.
Sejak mula lagi, Liyana ambil kesempatan. Dia tak tunggu masa untuk jadikan aku bahan suruhan.
“Arina, boleh tolong susun semua bahan dalam fail ni?”
“Arina, pergi tengok khemah belakang tu kemas ke belum.”
“Arina, tolong pegang ni jap, berat…”
Dia tak pernah berhenti. Dan setiap kali aku pandang Rayyan, harapan aku hancur. Sebab dia tak pernah bersuara.
Tapi… ada satu suara yang buat aku rasa sedikit dilindungi.
“Tak payahlah Arina buat semua, kita boleh bahagi sama rata.”
Suara itu milik Aqil — pelajar dari kelas Liyana. Wajah dia tenang, senyuman ikhlas. Tak ramai bercakap sangat dengan dia, tapi dia antara peserta lelaki yang paling menonjol — bukan sebab riuh, tapi sebab aura tenang yang dia bawa.
Liyana buat muka. Tapi Aqil pandang aku, senyum nipis.
“Kalau awak penat, rehat kejap. Saya boleh urus bahagian tu.”
Entah kenapa, ada rasa ringan di dada aku bila dengar tu. Aku hanya angguk kecil dan senyum. Sekilas aku terpandangkan Rayyan. Dia sedang memerhati, tapi bila mata kami bertembung, dia cepat-cepat paling muka.
Petang itu, kami diberi tugasan berkumpulan untuk projek komuniti. Aku, Rayyan, Liyana, dan Aqil — satu kumpulan.
Liyana terus dominasi. Dia bercakap paling banyak, tapi buat paling sikit. Bila tugasan teknikal diberi, lagi-lagi dia pandang aku.
“Arina, boleh tolong taip semua idea ni dalam laptop? Tangan aku lenguhlah…”
Sebelum aku sempat jawab, Aqil bersuara.
“Kenapa Arina je kena taip? Awak tak boleh gilir ke?”
Liyana tergelak kecil, konon manja. “Eh, relaks la, Aqil. Dia dah biasa kot…”
Kata-kata itu cukup untuk buat aku berhenti menekan butang papan kekunci.
“Aqil betul. Awak pun boleh buat sendiri,” balas aku. Suara aku mula dapat kekuatan. “Ini kerja kumpulan, bukan kerja Arina.”
Liyana senyum sinis. Tapi tak sempat dia membalas, Rayyan tiba-tiba berdiri dan berkata, “Kita teruskan. Tak penting siapa taip. Penting idea siap.”
Suaranya tegas, tapi wajahnya tegang. Dia tak pandang aku. Tak juga pandang Liyana.
Aqil hanya senyum tipis. Tapi aku tahu, dia sengaja menyokong aku. Dan aku… untuk pertama kali, rasa seperti ada yang melihat aku lebih dari sekadar beban.
Malam itu, selepas semua aktiviti tamat, aku berjalan ke dewan makan untuk ambil air panas. Tak ramai orang. Hujan renyai-renyai. Sunyi dan sejuk.
Di tepi meja, Aqil sedang menyusun cawan kertas untuk peserta lain. Aku hampiri perlahan.
“Masih berjaga?” tanya aku.
Dia angguk. “Rasa nak bantu apa yang boleh. Lagipun… saya suka suasana tenang macam ni.”
Aku senyum. Dia pandang aku lama.
“Arina…” suara dia perlahan. “Saya rasa awak kuat. Bukan semua orang boleh hadap macam awak.”
Aku terkedu. “Saya… tak rasa pun saya kuat.”
“Kalau tak kuat, awak dah lama mengalah.” Dia ketawa kecil. “Dan saya rasa… ada sesuatu dalam diri awak yang buat orang lain rasa tergugat.”
Aku tak sempat balas. Tapi jantung aku berdegup lain macam. Kata-katanya tak berlebihan, tapi cara dia pandang — seperti dia benar-benar maksudkan.
Kami berpisah dengan senyuman. Tapi sewaktu aku berpaling untuk keluar dari dewan makan, aku nampak seseorang berdiri di bawah koridor gelap — Rayyan.
Dia tak bergerak. Cuma renung. Lama.
Aku tak tahu dia dah berapa lama berdiri di situ. Tapi aku tahu, dia nampak segalanya.
(POV Rayyan)
Aqil.
Sejak bila dia jadi pelindung Arina?
Aku tak patut peduli. Bukan urusan aku. Tapi entah kenapa, tengkuk aku terasa panas.
Melihat senyuman Arina yang jarang-jarang muncul sejak program ini bermula… tapi muncul kerana orang lain — buat aku rasa sesuatu. Sesuatu yang aku benci untuk akui.
Cemburu?
Mungkin.
Tapi aku tahu, mulai saat ini, pandangan aku terhadap Arina takkan sama lagi