Ketenangan Ini

"Mari Mak Senah tunjukkan bilik Ayash."

Safiyah hanya menurut. Kakinya perlahan-lahan menapak mendaki anak tangga ke tingkat atas. Hatinya berdebar-debar. Bukan kerana takut pada si kecil. Tapi lebih kepada takut dengan perasaannya sendiri. Dia takut kasih yang masih tersisa itu berbelah bahagi. Kasih sayang yang masih tersisa itu datang kembali dan melemahkannya semula.

Pintu bilik Ayash dibuka perlahan.

Ada katil kecil yang isinya seorang bayi kecil yang sedang tidur lena. Wajahnya bersih, comel dan..... seakan wajah anaknya Isyraf.

Safiyah berdiri kaku. Terasa kaki dan tangannya kedinginan. Dia menahan nafas.

"Anak itu tak ubah seperti permata yang tercicir dari syurga." Hatinya membungkam penuh dengan tanda tanya.

"Kenapa ada seorang ibu yang sanggup meninggalkanmu anak? Sementara ada seorang ibu yang tidak tega kehilangan anaknya?" Bertubi-tubi soalan membungkam dihatinya. Tidak mampu untuk diluahkan dan ditanyakan pada sesiapapun.

Tiba-tiba Ayash bergerak sedikit. Matanya terbuka perlahan dan dia mula merengek.

Safiyah spontan bergerak melangkah ke sisi katil. Dia mengangkat Ayash ke dalam dakapanya. Tubuh kecil itu mengeeliat manja di dadanya. Safiyah mendukungnya dengan naluri keibuan yang penuh dengan kelembutan. Naluri ibu yg masih tersisa kembali bangkit mendadak.

"Shhhh... sayang, jangan nangis. Mama ada dekat sini."

Dia terkedu. Spontan perkataan mama itu hadir dibibirnya.

Mama?

Air matanya mengalir laju. Kata-kata itu keluar dengan sendirinya. Bagai ada suara lain dari hatinya yang memanggil anak itu sebagai anaknya sendiri.

Ayash tidak menangis lagi. Malah, Ayash melentokkan kepalanya di dada Safiyah, seolah-olah sudah lama kenal, dan seperti sudah lama menunggu kehadiran Safiyah.